Oleh Rasoul Manan
20 Januari 2024, 17:55

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Dr. Mohamad Shaidan telah mengupas dengan lebih lanjut karya Sasterawan Negara (SN) Baha Zain, Malam Berbau Lilin dalam Wacana dan Pelancaran Siri Tokoh Puisi terbitan Kata-Pilars Books dengan kerjasama Bahagian Penyelidikan Sastera, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) di Stor Teater, Wisma DBP pada pagi tadi.

Beliau menyatakan SN Baha Zain menulis puisi untuk membentuk peribadinya. Hal ini dengan jelas daripada 60 buah puisi yang dimuatkan, sebanyak 41 buah puisi menghadirkan ‘aku/ku’ yang merujuk kepada diri penyair.

Dr. Mohamad Shaidan sedang membentangkan dapatan kajian beliau mengenai sajak-sajak SN Baha Zain.

19 buah puisi lagi tidak menghadirkan ‘aku/ku ‘secara jelas. Manakala terdapat sebuah puisi yang menghadirkan ‘aku/ku’ dalam “Rayuan Wanita Asia”, merujuk kepada wanita Vietnam.

Dr. Mohamad Shaidan menjelaskan umumnya ‘aku’ itu merujuk kepada diri penyair yang melihat hubungan penyair dengan masyarakat atau perkara sekeliling. Ujar beliau;

Peranan orang lain atau sekeliling dalam diri penyair telah memberikan pengalaman kepada ‘ku’, iaitu memperkayakan pengalaman peribadi Baha.

“Orang lain telah menjadikan SN Baha Zain seorang yang kritis dan kehadiran orang lain juga dapat memberikan harapan dan masa depan yang beliau impikan”.

Sebagai contoh, Dr. Mohamad Shaidan telah menggunakan sajak “malam berbau lilin” untuk melihatkan sisi peribadi SN Baha Zain. Dalam sajak tersebut manusia akan mencari dan mengharapkan kebahagian hidup. Harapan kebahagian dalam kehidupan ialah hakikat yang tidak dapat dinafikan. Namun harapan adakalanya hanya tinggal kenangan.

Begitu juga dengan puisi “bisikkan ke telinga sayangku”, Baha Zain pada awalnya membangunkan dan mengembangkan diri dan kadang-kadang kehilangan peribadinya.

Dalam Siri Tokoh Puisi, SN Baha Zain menuliskan segala rasa yang muncul dalam dua sisi yang bertentangan, yakni protes-romantis, garang-penyayang, benar-palsu, dan juga hitam-putih.

Naskhah Siri Tokoh Puisi ini mengumpulkan puisi-puisi terbaik daripada khazanah sasterawan dan penyair mapan tanah air yang malar segar untuk tatapan khalayak baharu. Antara karya yang pernah diterbitkan ialah Sudah Hampir Malam di Kyoto nukilan SN Muhammad Haji Salleh, Rahang Gelombang karya Moechtar Awang dan terakhir, Lelaki Berambut Rumput karya Rahimidin Zahari.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.