Oleh Rasoul Manan
20 Januari 2024, 16:36

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), YBrs. Dr. Hazami Jahari telah merasmikan majlis Wacana dan Pelancaran Buku Siri Tokoh Puisi, Kumpulan Puisi Tercipta dari Kala dan Malam Berbau Lilin pada pagi tadi di Stor Teater, Wisma DBP. Majlis tersebut merupakan kerjasama antara DBP melalui Bahagian Penyelidikan Sastera (BPS) dengan penerbit Kata-Pilar.

Dalam ucapan perasmian, YBrs. Dr. Hazami mengatakan bahawa wacana dan pelancaran dua buah buku karya Sasterawan Negara (SN) Anwar Ridhwan dan SN Baha Zain selaras dengan fungsi DBP, iaitu menyemarakkan perkembangan sastera di Malaysia.

Dalam usaha mengembangkan sastera, DBP tidak boleh bersendirian kerana tanggungjawab ini perlu dipikul bersama-sama. DBP sentiasa membuka ruang dan peluang dalam membentuk kerjasama dengan mana-mana pihak untuk menganjurkan seminar, wacana, diskusi atau penerbitan buku”.

Ulas beliau lagi, “Kata-Pilar Books yang diterajui oleh orang muda sudah tentu mampu menarik minat golongan muda dan baharu dalam mencintai, menyukai sastera dan seterusnya memberikan manfaat kepada mereka serta negara”.

.
YBrs. Dr. Hazami Jahari ketika memberikan ucapan perasmian program di Stor Teater, Wisma DBP pada pagi tadi.

Lantaran itu, usaha yang ditunjukkan oleh penerbit seperti Kata–Pilar Books amat dihargai. Sejak tahun 2015 lagi, Kata–Pilar Books telah menerbitkan lebih 100 judul buku sastera dalam pelbagai genre. Beberapa buku yang diterbitkan turut memenangi anugerah dalam Hadiah Sastera Perdana Malaysia (HSPM) dan hadiah sastera negeri.

Bahkan, Kata – Pilar Books juga aktif dalam menganjurkan pelbagai acara sastera termasuklah tiga siri sayembara penulisan puisi yang kini dijenamakan sebagai Hadiah Puisi T. Alias Taib.

Sebelum itu, dua buah karya SN Anwar Ridhwan dan SN Baha Zain telah diperkatakan oleh Zaen Kasturi dan Dr. Mohamad Shaidan. Buku Tercipta dari Kala memuatkan 30 buah puisi baharu selain pilihan puisi-puisi daripada buku Tercipta dari Tanah dan Tercipta dari Tanya.

Buku Tercipta dari Kala bermula daripada kembara dan pertanyaan peribadi, seterusnya  berakhir dengan pertanyaan yang lebih besar, sekali gus meninggalkan pembaca dalam diam yang lebih panjang.

Manakala karya SN Baha Zain pula, iaitu Malam Berbau Lilin, SN Baha Zain menuliskan segala rasa yang muncul dalam dua sisi yang bertentangan, yakni protes-romantis, garang-penyayang, benar-palsu, dan juga hitam-putih.

Naskhah Siri Tokoh Puisi ini mengumpulkan puisi-puisi terbaik daripada khazanah sasterawan dan penyair mapan tanah air yang malar segar untuk tatapan khalayak baharu. Antara karya yang pernah diterbitkan ialah Sudah Hampir Malam di Kyoto nukilan SN Muhammad Haji Salleh, Rahang Gelombang karya Moechtar Awang dan terakhir, Lelaki Berambut Rumput karya Rahimidin Zahari.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.