Diterbitkan pada 9 Mei 2025, 16:10

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Penjenamaan semula pertandingan Hadiah Puisi T. Alias Taib daripada Sayembara Puisi KataPilar bertujuan mengangkat ketokohan dan sumbangan besar penyair tanah air, iaitu T. Alias Taib dalam dunia kesusasteraan.

Hadiah Puisi T. Alias Taib yang memasuki siri kedua penganjurannya sejak dijenamakan semula pada tahun 2023 dan secara keseluruhan merupakan penganjuran kali keempat, telah berjaya dilaksanakan dengan sambutan yang memberangsangkan.

Pengurus Penerbitan KataPilar, YBrs. Encik Mohd Rasydan Fitri Mohd Baharin berkata, penjenamaan semula pertandingan tersebut dilakukan bagi mengangkat martabat pertandingan tersebut ke tahap yang lebih tinggi, seiring dengan sambutan dan potensi besar yang ditunjukkannya.

Menurut beliau, T. Alias Taib merupakan pengarang signifikan yang banyak menumpukan penulisan puisi dalam dunia kesusasteraan, selain menerima pelbagai anugerah hasil daripada karya-karyanya yang menjadi rujukan dan bacaan meluas dalam kalangan pembaca serta pengkaji sastera.

“Meskipun karya beliau masih mendapat tempat sehingga hari ini, bahkan menjadi buruan termasuklah dalam kalangan generasi baharu, tetapi masih ramai lagi yang belum mengenali sosok ini.

“Keputusan yang kami ambil adalah untuk memperkenalkan ketokohan beliau kepada khalayak yang baru mengenalinya (menerusi penjenamaan semula pertandingan ini),” ujarnya ketika berucap dalam Majlis Penyampaian Hadiah Puisi T. Alias Taib II 2025 di Dewan Dato’ Hassan Ahmad, Menara DBP, pagi tadi.

Selain itu, beliau turut memaklumkan bahawa pertandingan ini telah berjaya menyerlahkan ramai bakat baharu sepanjang empat kali penganjurannya dan membuka ruang kepada penulis mapan juga untuk terus berkarya.

Malah, melalui sayembara ini, pihak penganjur turut menemui manuskrip dan suara penyair yang berbakat besar.

“Walaupun terdapat mereka yang tidak mendapat tempat dalam pertandingan terdahulu, kami tetap menggunakan peluang dalam pertandingan kali ini untuk menggilap karya mereka dan menerbitkannya. Kami mahu membawa suara mereka ke hadapan sebagai bakat tempatan yang wajar diberikan perhatian,” tambahnya lagi.

Pada masa yang sama, beliau mengakui cabaran dalam penerbitan dan pemasaran buku puisi, namun menegaskan bahawa puisi tetap memainkan peranan penting dalam membina jiwa dan empati masyarakat.

“Dalam dunia serba pantas dan penuh kekalutan ini, puisi memberikan ruang untuk kita merenung, mencerna dan merasa.

“Oleh sebab itu, kami akan terus komited untuk menerbitkan karya puisi yang bermutu kerana kami yakin karya tersebut suatu pelaburan jangka panjang dalam usaha membentuk masyarakat yang lebih manusiawi,” ujarnya.

Bersempena dengan ulang tahun ke-10 penubuhan KataPilar sejak 2015, beliau juga menyeru orang ramai agar terus menyokong usaha penerbitan mereka.

“Buku-buku yang terbit dan memenangi pertandingan pada hari ini, saya harap dibaca, diulas, dikritik, dan dikongsi. Kita gunakan apa-apa sahaja medium atau wahana yang ada untuk membawa buku ini ke tahap yang lebih tinggi.”

Sementara itu, penganjuran pertandingan Hadiah Puisi T. Alias Taib adalah untuk mencari manuskrip baharu yang segar dan kreatif dalam bahasa Melayu bagi memperkembang bakat sastera dalam negara.

Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Pengerusi Lembaga Pengelola DBP, YBhg. SN Dato’ Dr. Mohd Anuar Haji Rethwan; Pengarah Jabatan Dasar dan Penyelidikan DBP, YBrs. Puan Fauzilahyatun Mustafa; Ketua-ketua Bahagian dan Ketua-ketua Editor serta para pelajar dari Sekolah Seri Puteri dan Sekolah Menengah Sains Seri Puteri.

Kredit Foto: Adib Zulkifli
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi