17 Oktober 2024, 09:28

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Airul Affendi Ali melaporkan program wacana buku di rumah penerbitan kecil serata kota, khususnya yang diadakan di Tinta Budi buat dua penulis muda pada bulan September yang lepas.

Pada 28 September 2024, kehadiran ahli panel yang terdiri daripada Khoo Pau Liang, Ahmad Muziru Idham dan sasterawan Zaen Kasturi memperlihatkan perbezaan zaman di lapangan sastera yang tidak menghalang ketiga-tiga figura ini untuk duduk di satu pentas yang sama.

Wacana atau bual bicara perihal buku mula mendapat tempat dalam kalangan pembaca sekarang. Wadah ini seolah-olah tempat berkumpulnya ulasan, kritikan dan pemikiran terhadap sesuatu karya yang telah dibaca dan diluahkan semula dalam bentuk perbincangan yang santai.

Kini, wacana ilmu ini tidak lagi tertumpu di dewan-dewan besar, pentas-pentas gah atau kehadiran berpakaian formal. Kedai buku, perpustakaan, kafe dan padang awam mula mengambil peranan dalam menyediakan pentas yang lebih santai dan mesra pengunjung kepada pendengar wacana ilmu yang bakal diperkatakan.

Lihat saja Kultus Kata, kumpulan awam yang digerakkan oleh Fazleena Hisyamuddin, yang setiap bulan mengadakan sesi ulasan buku di pelbagai tempat secara konsisten. Usahanya kini sudah masuk edisi kesembilan pada bulan September 2024. Pelbagai latar belakang pembaca atau penggemar buku dan sastera hadir, daripada kanak-kanak hinggalah ke dewasa (dalam hal ini, saya akan bicara tentang Kultus Kata dengan lebih lanjut dalam artikel lain).

Tinta Budi menjadi Lokasi wacana ilmu dan majlis pelancaran dua buah buku baharu terbitan Kata-Pilar Books, Manusia yang Diikat Jamin Tuhan tulisan Khoo Pau Liang dan Bukan Perindu karya Rafi Harumin. Dengan suasana yang santai, ditemani rak-rak yang dipenuhi buku menarik daripada pelbagai penerbitan, Tinta Budi menyediakan ruang yang secukupnya untuk majlis ilmu.

Pada 28 September 2024, kehadiran ahli panel yang terdiri daripada Khoo Pau Liang, Ahmad Muziru Idham dan sasterawan Zaen Kasturi memperlihatkan perbezaan zaman di lapangan sastera yang tidak menghalang ketiga-tiga figura ini untuk duduk di satu pentas yang sama. Majlis dikendalikan dengan baik oleh Qurratul ‘Ain, seorang penulis wanita yang tidak asing lagi di negara ini.

Khoo Pau Liang membuka bicara dengan luahan perasaan tentang buku pertama yang diterbitkannya dan kecenderungan menulis puisi dalam bahasa Melayu. Baginya, keterujaan bercampur kegelisahan sering bermain dalam jiwanya sejak manuskripnya dipinang oleh pihak penerbitan. Namun begitu, inilah titik permulaan kehadiran Khoo dalam arena sastera negara. Memilih bahasa Melayu sebagai bahasa dalam karyanya juga hadir daripada pemikiran dan persekitaran beliau, ditambah dengan gerak hati atau intuitif semula jadi dalam kepengarangannya.

Sasterawan Zaen Kasturi juga menambah, dalam soal buku pertama yang diterbitkan, hal itu merupakan satu kejayaan peribadi penulis itu sendiri. Soal bagus atau tidak biarlah pembaca yang menilai. Selain itu, beliau menyambut baik kehadiran penulis baharu di lapangan ini, bahkan memberi sokongan dalam aktiviti penerbitan manuskrip pertama daripada kalangan penulis baharu.

Qurratul ‘Ain mencungkil persoalan: adakah latar belakang penulis akan mempengaruhi kepengarangan seseorang? Muziru beranggapan bahawa penulis akan dipengaruhi oleh persekitaran yang berlegar-legar dan dekat kepada penulis. Hal ini merupakan perkara biasa bagi mana-mana penulis. Pemikiran seseorang akan dibentuk oleh persekitaran. Zaen Kasturi pula memberikan contoh sajak yang dinukilkan oleh Rafi Harimun, “Pasir”:

……..kami anak pedalaman
……..tak pernah melihat pantai
……..hanya mampu berangan-angan disapa ombak
……..menjilat garam membayang masinnya lautan

Rafi Harimuna lahir di Keningau, di pedalaman yang jauh dari masinnya laut. Hal ini jelas membuktikan bahawa latar belakang penulis akan mempengaruhi karya beliau, sama ada peringkat awal mahupun masa kini.

Puan moderator sekali lagi menyelongkar pemikiran Khoo Pau Liang melalui sajak-sajak yang menggunakan objek kecil sebagai subjek dalam karyanya. Teliti saja sajak “Biografi Ais”:

……..menyangka hayat
……..bakal kekal, selama lama
……..tak terkikis lagi

……..kini lencun keringat
……..di dalam gelas
……..terkapai-kapai

Jelas dalam karya beliau, penulis menggunakan objek kecil sebagai simbol dalam kehidupan. Kata Khoo Pau Liang, beliau tidak mahir untuk membicarakan hal yang besar lalu mengambil objek kecil dan menjadikannya besar dalam sesebuah karya.

Sajak-sajak Khoo Pau Liang mengingatkan pembaca pada karya sasterawan negeri Terengganu, Hilmi Rindu, yang gemar bermain dengan objek-objek kecil.

Qurratul ‘Ain (kiri) mengatur bual bicara dua buku baharu Kata-Pilar Books yang dibicarakan oleh seorang daripada penulisnya, Khoo Pau Liang, pengkritik Ahmad Muziru Idham dan sasterawan Zaen Kasturi.

Zaen Kasturi pula melahirkan keterujaan melihat karya daripada kedua-dua penulis ini dan merasakan ada sifat kejujuran yang meliputi sajak-sajak mereka. Tegasnya, kejujuran dalam karya adalah penting bagi menghasilkan sesuatu pemikiran yang bakal dirasai oleh pembaca dan pengkritik.

Apabila menyentuh soal tema, kedua-keduanya lebih menulis soal kekeluargaan atau lebih tepat, tentang ibu. Bukan sahaja sebagai perindu yang sarat dengan emosi, tetapi gelora seorang anak dan kenangan. Gaya bahasanya juga ada paradoks, yang turut menimbulkan estetika tertentu. Zaen Kasturi memilih baris “aku belum puas derhaka lagi” sebagai tanda puitik bagi sajak “Tuhan, Biarlah Ibu Terus Disisi” Rafi Harumin, manakala tulisan Khoo lebih bersahaja namun sajak-sajak ibunya membawa pemikiran dan falsafah yang tersendiri. Baca dan renunglah sajak “Emak, Aku Ingin Tahu”.

Sebelum berakhir wacana ilmu ini, Qurratul bertanya soal pengajaran yang boleh diambil oleh penulis mapan daripada karya atau buku pertama daripada penulis baharu. Muziru tegas mengatakan yang penulis mapan perlu membaca karya penulis baharu dengan lebih terbuka. Dapatan beliau, pada zaman ini, penulis baharu kini menunjukkan hasil karya yang lebih baik jika dibandingkan dengan zaman-zaman yang terdahulu. Zaen Kasturi pula menambah, pada permulaan, raikan kehadiran penulis muda di lapangan, dan usah gelojoh mencari kekurangan yang terdapat dalam karya penulis muda kerana proses perkembangan setiap penulis itu mengikut peredaran masa dan zaman.

Tahniah kepada Kata-Pilar Books kerana mengangkat penulis baharu di pentas sastera negara. Usaha yang berterusan ini perlu dipuji dan dihargai oleh segenap lapisan masyarakat.

_________________________

Airul Affendi Ali, pemula dalam lapangan sastera. Beliau menulis puisi, cerpen dan ulasan buku. Karyanya pernah tersiar dalam Dewan Sastera, Dewan Masyarakat, Dewan Tamadun Islam, Dewan Kosmik, Tunas Cipta, WadahDBP, Berita Harian, Mingguan Malaysia, Suara Sarawak, Harian Ekspres, Utusan Borneo, Berita Minggu Singapura, Media Permata Brunei, dan beberapa portal di Indonesia.

Kredit Foto: Airul Affendi Ali
Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.