Diterbitkan pada 16 Mei 2026, 08:28

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Allahyarham J.M. Aziz merupakan tokoh penyair prolifik yang banyak menghasilkan puisi bertemakan laut sejak mula terlibat dengan dunia penulisan pada tahun 1950-an.

Kemampuan serta keunikannya memanifestasikan kehidupan, jiwa dan falsafah laut menerusi karya-karyanya itu menjadikan beliau terkenal dengan julukan “penyair laut”.

Penyair dan penulis Dr. Haniff Zikri yang menyusun buku puisi Menggarami Ombak karya J.M. Aziz berkata, laut sangat dekat dengan kehidupan penyair Terengganu itu, malah puisi-puisinya sendiri banyak mencerminkan fasa laut.

“Sebenarnya, ramai penyair yang memperkatakan hal laut, tetapi saya rasa J.M Aziz antara penyair yang paling banyak sekali menghasilkan puisi tentang laut dan puisi-puisinya itu cukup istimewa, bahkan begitu dekat dengan pembaca.

“Hal demikian kerana laut pun agak signifikan dalam budaya dan bangsa kita,” katanya pada program Wacana Karya Tokoh Puisi yang bertempat di Sudut Karyawan (Stor Teater) Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), semalam.

Wacana yang dikendalikan oleh Sdr. Hafiz Latiff itu membariskan empat ahli panel, selain Haniff, termasuk Sdr. Wan Nor Azriq, Dr. Mohamed Nazreen dan Sdr. Jack Malik.

Mereka membicarakan empat buah buku puisi terpilih, iaitu Wanita Itu Siapa Namanya? karya Sasterawan Negara Datuk A. Samad Said, Bulan Pecah di Tengah Hari (Abdul Ghafar Ibrahim/AGI), Taman Insaniah (Dr. Shamsudin Othman), dan Menggarami Ombak (J.M. Aziz).

Mengulas lanjut, Haniff berkata, meskipun banyak berkisarkan fasa laut, namun elemen pemilihan kata J.M. Aziz menggerakkan naratif puisinya dengan penuh teliti dan berkesan, malah sukar ditiru oleh orang lain.

“Ketelitian, kepekaan dan penghayatannya menjadi satu elemen yang sukar ditiru oleh orang lain. Semua orang boleh berbicara tentang laut, tetapi perincian tentang laut itu akan lebih mendalam oleh orang-orang yang dekat, bahkan pernah bergelumang dengan laut,” katanya.

Menurut beliau, Menggarami Ombak yang menghimpunkan 64 buah puisi J.M. Aziz merupakan satu simbol pergerakan aktif manusia mendepani pelbagai cabaran meredah gelombang kehidupan.

“Hal demikian selari dengan apa yang pernah disebut oleh J.M. Aziz sendiri, iaitu puisi-puisinya sebenarnya melihat kehidupan manusia yang panjang, tetapi penuh dengan teka teki.

“Kadang-kadang, kita sebagai pelayar sentiasa bertemu dengan laut, dengan badai dan karangnya. Kita sering cemas bersama-samanya atau kita sering menemu sesuatu yang tidak kita duga,” katanya memetik ungkapan J.M. Aziz.

Beliau turut menyifatkan J.M. Aziz sebagai seorang penyair tanah air yang berjiwa kental dalam berkarya, meskipun berhadapan dengan ujian fizikal yang kritikal, malah ketabahannya itu seharusnya menjadi inspirasi kepada penulis dan pencinta sastera tanah air masa sekarang.

Kredit Foto: Syafiq Selamat
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi