Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Haniff Zikri, pemenang hadiah utama Hadiah Puisi T. Alias Taib II membawa gaya kepengarangan yang tidak setara dengan usia.
Penerima Anugerah SEA Write 2010, YBhg. Tuan Zaen Kasturi ketika membicarakan karya itu usai majlis penyampaian hadiah berkenaan baru-baru ini berkata, beliau secara peribadi tertanya-tanya siapakah yang menulis himpunan 53 buah puisi itu.
“Ada pandangan menyebut, puisi mudah, sesiapa saja boleh menulisnya.
“Tetapi sebenarnya puisi ini mudah atau tidaknya dibezakan oleh intensiti kata-kata yang dipilih dan intensiti kata-kata itu yang menarik minat.
“Penulis yang berfikir akan menggunakan kata-kata yang mampu meninggalkan kesan kesegaran dan (hasilnya) lain daripada yang lain,” katanya.
Zaen Kasturi berkata, dalam konteks Haniff Zikri, penulis itu mungkin menggunakan perkataan yang biasa, tetapi hasilnya membawa kesan yang baharu.
Malah akuinya, puisi kadang-kadang membina persepsi baharu dan membunuh persepsi yang lama.
Tambah Zaen Kasturi lagi, Haniff Zikri, bahasanya terjaga malah mengambil contoh puisi “Hasrat Gunung” dalam kumpulan puisi Nama Pertama untuk Duka yang membawanya muncul juara, terdapat ungkapan “bersenang ledang” yang digunakan mungkin satu kesilapan (typo), namun kata Zaen Kasturi, beliau mengekalkannya kerana hal itu juga membawa maksud yang lain.
“‘Bersenang ledang’ ada bawa makna tersendiri; Ledang itu nama gunung dan mungkin hendak menunjukkan perjalanan nak naik sampai ke puncak itu susah tetapi di puncaknya, kita boleh bersenang.
“Jadi perkataan itu luar biasa dengan makna yang menarik, kerana selama ini, orang menggunakan bersenang lenang,” katanya.
Zaen Kasturi mengakui, kata-kata yang dipilih oleh Haniff Zikri dalam kumpulan puisi sulungnya itu “sedap” dan menarik, termasuk dari sudut pengucapananya.
“Karya Haniff Zikri ini menghadirkan sentuhan yang secara tidak langsung mengujakan penaakulan.
“Hal sedemikian berpangkal daripada kemampuannya menghidangkan gaya baharu dan pengucapan yang mengiktirafkan suatu pemikiran,” katanya.
Beli kumpulan puisi Nama Pertama untuk Duka di sini.
