Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangLabirin dalam Helaian kali ini menampilkan Haniff Zikri. Beliau merupakan Karyawan Bulan Ini Dewan Sastera Bil. 05/2026. Cari dan telaah buku pilihannya serta selami pengalaman bacaannya.

Buku yang dibaca sekarang | Syurga Kedua, terjemahan puisi Vasko Popa oleh Shafiq Said. Semasa membaca puisi terjemahan ini, saya cuba membezakan suara pengarang dan suara penterjemah. Pada saya, puisi terjemahan ialah satu karya baharu yang lain. Penterjemah selalu terpaksa membuat pilihan, sejauh mana mereka harus setia. Kadang-kadang, jurang bahasa dan budaya menyukarkan semua makna untuk dipindah. Tetapi, hal ini membuka peluang penciptaan makna baharu. Itulah yang menarik.

Rethinking Ourselves oleh Anwar Ibrahim. Saya rasakan beliau dan Mahathir Mohamad boleh sahaja menjadi penulis sepenuh masa, kalau mahu. Dua orang intelektual Melayu yang membina legasi sebagai ahli politik.
Ilham di Tepi Tasik, A. Samad Said. Untuk bacaan lebih santai, tapi sangat menyegarkan.

Buku yang digemari sepanjang zaman | Pandangan Hidup Muslim, Hamka. Buku yang saya cadangkan untuk kembara. Tulisan Hamka mengubah cara pandang saya dalam kehidupan. Bahasanya sampai ke hati. Masih saya ulang baca hingga ke hari ini.
Risalah untuk Kaum Muslimin, Syed Muhammad Naquib al-Attas. Tidak tebal, tapi berat dengan pemikiran. Antara kandungan yang diingati, tentang perbezaan puisi dan prosa, serta faham tentang pengalaman.
Risalah Nur, Said Badiuzzaman Nursi. Kaya dengan tamsil tentang hakikat hidup. Bahasanya lembut dan menusuk.

Buku yang menjadikan saya seorang penulis | Catatan, Latiff Mohidin. Mungkin kerana Latiff telah menulis di hadapan buku, “untuk penulis muda”. Saya senang membaca catatan pendek buku ini, keluar masuk dari mana-mana pintu.

Buku tentang penulis yang perlu dibaca oleh penulis | Siri Jambak 1 – 4: Proses Kreatif Pengarang Melayu, diselenggarakan oleh Ahmad Kamal Abdullah.

Buku bacaan sewaktu kanak-kanak dan remaja | Siri Ensiklopedia Tanya Jawab (12 buku), terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka. Sebagai kanak-kanak, saya sukakan gambar. Kaedah Sokratik dalam ribuan tanya jawab ini begitu menghiburkan. Mungkin sebab ini juga, saya asyik bertanya.
Senjakala, Baharuddin Kahar. Saya sudah lupa hujung cerita, tapi masih ingat saya menangis.
Siri Bercakap dengan Jin, Tamar Jalis.
Panrita, Arena Wati.
Siri Harry Potter, J.K. Rowling.

Kumpulan puisi kegemaran | Antara yang cukup memberi kesan termasuklah:
Pesisir Waktu, Latiff Mohidin.
Bunga-bunga Hujan, Hilmi Rindu.
Menghening Sunyi, Ridzuan Harun.
Manusia yang Diikat Jamin Tuhan, Khoo Phau Liang.

Rancangan bacaan seterusnya | Mahu menamatkan bacaan Tafsir Al Azhar, Hamka. (Tafsir)
Beli buku tulisan sendiri? | Ya, untuk mak abah dan kawan-kawan yang kita sayang.
Suasana ideal membaca | Dalam kelana ke mana-mana, apabila saya tidak menjadi pemandu. Dalam bas atau kereta api, yang menyediakan lampu dan tilam. Saya lebih mampu berjaga tengah malam berbanding awal pagi. Tempat membaca selalu berubah, di kerusi, meja dan katil. Buku terbuka tertutup di sini sana. Mujurlah isteri bersabar.
Rak buku atau pustaka? | Saya berterima kasih kepada mak abah kerana menyediakan bilik khas sebagai pustaka di rumah kami. Setelah berkeluarga, saya jadikan bilik tetamu sebagai pustaka kecil.
Pilih seorang penulis untuk menjadi Sasterawan Negara | Masih, saya memilih Latiff Mohidin.
_________________________
Kenali Haniff Zikri dengan lebih mendalam melalui Dewan Sastera Bil. 05/2026.