Diterbitkan pada 18 Mei 2026, 06:50

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Penulis dan penyair Jack Malik mendedahkan pengalaman menterjemahkan karya penyair Abdul Ghafar Ibrahim (AGI) yang terkenal dengan penghasilan karya puisi eksperimental berkonsepkan 3V.

Beliau memberitahu, cabaran utamanya bukan sahaja pada proses membaca, tetapi memahami struktur teks yang bersifat bebas, selain mengekalkan roh asal puisi itu sendiri.

Menurut beliau, pengalaman pernah membaca teks karya penyair E.E. Cummings banyak membantunya dalam kerja menterjemahkan karya AGI.

“Kalau sesiapa yang biasa dengan teks E.E. Cummings, insya-Allah akan biasa dengan teks AGI,” katanya pada program Wacana Ilmiah Pelancaran Buku Siri Tokoh Puisi dan Wacana Karya Tokoh Puisi bertempat di Sudut Karyawan (Stor Teater) Dewan Bahasa dan Pustaka, 15 Mei yang lalu.

E.E.Cummings ialah penyair Amerika abad ke-20 yang terkenal dalam kesusasteraan dunia kerana gaya penulisannya yang radikal, eksperimental dan tidak konvensional.

Jack Malik berkata, konsep 3V teks AGI tidak menetapkan pembacaan secara garis lurus, sebaliknya bebas membaca dari pelbagai arah; kanan, kiri, atas, atau bawah, tetapi maknanya tetap kekal.

“Pendekatan ini barangkali membuka ruang kepada lahirnya pelbagai kemungkinan atau tafsiran baharu, dan itulah antara uniknya serta menariknya puisi AGI menerusi konsep 3V,” katanya.

Dalam perkembangan yang sama, beliau yang juga penyusun kumpulan puisi terbaharu AGI terbitan Kata-Pilar Books, Bulan Pecah di Tengah Hari, turut berkongsi persoalan yang timbul daripada beberapa pengkritik sastera bahawa kemungkinan konsep 3V akan berkembang menjadi 4V.

Menjawab persoalan tersebut, beliau berkata, dugaannya kuat mengatakan bahawa AGI akan memperkenalkan konsep 4V dalam penciptaan puisi-puisinya pada masa akan datang bagi memperkaya lagi seni kreatifnya.

“Saya kira ada V keempat yang akan menjadikan konsep 4V pada puisi-puisi pak AGI suatu hari nanti. Dan sudah ada yang mengatakan V keempat itu nanti ialah vektor, merujuk maksud kelajuan pergerakan.

“Namun, pada pengamatan peribadi saya, V yang keempat itu ialah vivential, mengambil daripada perkataan Sepanyol yang membawa maksud pengalaman peribadi, jadi mungkin inilah V yang keempat itu nanti,” ujarnya.

Kredit Foto: Syafiq Selamat
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi