Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangRidzuan Kamis memberikan reaksi terhadap kenyataan penyair Abdul Ghafar Ibrahim (AGI) bahawa sajak membawa persoalan, bukan jawapan.
Sebetulnya, sajak tidak hilang sifatnya hanya kerana mengandungi jawapan, tetapi apabila jawapan itu terlalu pasti dan menutup kemungkinan tafsiran, sajak kehilangan daya tarikannya sebagai karya seni.

Pernyataan AGI bahawa sajak membawa persoalan dan bukan jawapan membuka medan tafsir yang luas terhadap hakikat puisi sebagai bentuk wacana estetik. Sajak tidak lahir untuk menutup makna, tetapi untuk membentangkan kemungkinan makna yang sentiasa berkembang dan membesar. Dalam konteks ini, sajak berfungsi sebagai pemantik kesedaran, yang menggugah akal dan rasa pembaca untuk terus berfikir melangkaui teks.
Dalam kerangka asas ini sebenarnya memperlihatkan peralihan daripada autoriti pengarang kepada kebebasan pembaca dalam membina makna. Teks tidak lagi menjadi suara tunggal yang dominan, sebaliknya menjadi ruang interaksi antara bahasa, pengalaman dengan tafsiran meski terlahir penanggapan yang pelbagai. Sajak menjadi medan dialog yang hidup antara pengarang dengan khalayak secara berterusan dan berseni.
Pendekatan reader-response (tanggapan p4embaca) memperkukuh pandangan ini dengan menegaskan bahawa makna sebenar tidak terletak sepenuhnya dalam teks, tetapi dalam pengalaman pembaca yang menanggapi teks tersebut. Persoalan dalam sajak berfungsi sebagai alat untuk menggerakkan imaginasi dan refleksi, yakni menjadikan setiap pembacaan sebagai pengalaman yang unik dan berbeza-beza.
Sajak yang sarat dengan jawapan cenderung menjadi wacana tertutup, yang tidak lagi memberikan ruang kepada pentafsiran. Keadaan ini menyebabkan puisi kehilangan daya hidupnya sebagai seni yang dinamik. Apabila makna diputuskan secara mutlak, pembaca tidak lagi diajak berfikir, sebaliknya hanya menerima secara sehala.
AGI melalui eksperimental (ya, masih dianggap sebagai eksperimen) bentuk 3V, yakni visual, vokal dan verbal memperlihatkan bagaimana sajak boleh melangkaui batas bahasa linear. Bentuk ini memperkaya pengalaman pembaca dengan lapisan makna yang berbeza, sekali gus menguatkan sifat sajak sebagai medan persoalan yang kompleksiti dan terbuka.
Jika ditinjau melalui pendekatan strukturalisme pula, sajak merupakan jaringan tanda yang saling berhubung dan tidak berdiri secara terpisah. Makna terbentuk melalui hubungan antara simbol, metafora dengan struktur bahasa. Oleh itu, persoalan dalam sajak menjadi sebahagian daripada sistem yang sentiasa bergerak dan berubah-ubah.
Mengapa sajak membawa persoalan demi persoalan? Hal ini kerana kehidupan manusia sendiri tidak pernah mencapai kepastian mutlak. Puisi, yakni sajak, mencerminkan realiti yang penuh ketidaktentuan, kekonflikan dan pencarian makna yang berterusan. Dalam keadaan ini, persoalan menjadi lebih jujur daripada jawapan yang mungkin tergesa-gesa.
Dalam kerangka eksistensialisme, manusia sentiasa berdepan dengan persoalan tentang makna kewujudan, kebebasan dan pilihan. Sajak mengekalkan ketegangan ini sebagai sebahagian daripada pengalaman estetik. Sesungguhnya, pengalaman ini tidak memadamkan kegelisahan, sebaliknya merangkulnya sebagai inti makna yang subjektif.
Sekiranya wujud jawapan dalam sajak, jawapan tersebut lazimnya berbentuk konklusi kognitif yang bersifat sementara dan terbuka kepada tafsiran baharu. Jawapan itu bukan titik akhir, tetapi persimpangan yang membawa pembaca kepada persoalan lain yang lebih mendalam dan mencabar. Jawapan juga mungkin dalam bentuk objektif tetapi boleh berubah kepada perspektif yang luas ruang litupnya.
Sebagai contoh, sebuah sajak tentang kematian mungkin menyatakan bahawa hidup ini singkat dan sementara. Namun begitu, kesimpulan ini tidak menamatkan pemikiran, sebaliknya membuka ruang pertanyaan yang lanjut tentang nilai kehidupan, tujuan kewujudan dan bagaimana manusia harus mengisi masa yang terhad dan terbatas itu.
Analogi yang sesuai untuk memahami sifat sajak ini ialah cermin berkabus yang tidak memaparkan imej secara jelas. Pembaca perlu mendekati, merenung dan mungkin mengelap permukaan cermin itu untuk melihat bayangan dengan lebih terang dan jelas. Proses ini melambangkan usaha tafsiran yang tidak pernah selesai. Kadang-kadang, hal ini bersifat ambiguiti, yakni tidak bertemu jawapan mutlak walaupun terpampang di depan mata.
Persoalan sama ada sajak terhenti menjadi sajak apabila menyediakan jawapan perlu dilihat secara holistik. Sebetulnya, sajak tidak hilang sifatnya hanya kerana mengandungi jawapan, tetapi apabila jawapan itu terlalu pasti dan menutup kemungkinan tafsiran, sajak kehilangan daya tarikannya sebagai karya seni.
Dalam perspektif hermeneutik, teks yang bermutu sentiasa membuka ruang tafsiran yang berlapis dan tidak terhad. Sajak yang menyediakan jawapan mutlak menutup ruang ini, menjadikannya statik dan kurang berdaya hidup dalam konteks pembacaan berulang. Waima sajak remaja atau sajak kanak-kanak juga sebenarnya mempunyai persoalan demi persoalan yang tidak dapat dijawab secara tepat meskipun ada kalanya menggunakan bahasa selapis atau mudah difahami.
AGI melalui gagasannya menegaskan bahawa sajak ialah suatu proses berfikir yang berterusan, bukan produk akhir yang muktamad. Sajak bergerak bersama-sama pembaca, berkembang melalui tafsiran, dan sentiasa berubah mengikut konteks pengalaman dan zaman.
Kesimpulannya, kekuatan sajak terletak pada keupayaannya menghidupkan persoalan yang merangsang pemikiran dan perasaan. Jawapan mungkin hadir sebagai bayangan atau kemungkinan, tetapi tidak pernah mematikan pencarian makna. Di situlah puisi yakni sajak terus bernafas sebagai seni yang hidup, dinamik dan sentiasa relevan.
_________________________
Ridzuan Kamis ialah penulis dari Perlis Indera Kayangan. Beliau telah menghasilkan beberapa buah buku puisi umum, remaja dan kanak-kanak terbitan DBP, ITBM, UUM Press, dan PENA. Beliau juga aktif menulis rencana bahasa, sastera, kritikan cerpen, dan kritikan puisi. Beliau pernah menghiasi Karyawan Bulan Ini Dewan Sastera Bil.11/2021.