Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangRidzuan Kamis menyambut tulisan Adie Abd Gani dengan beberapa perumpamaan dan pandangan tentang kepentingan puisi.
Teknologi mengubah cara manusia bekerja, berkomunikasi dan berhibur, namun perubahan tidak semestinya menuntut penghapusan nilai tradisi atau lama.
Tulisan Adie Abd Gani yang menyatakan bahawa ada golongan tertentu mengatakan yang puisi mungkin tidak lagi diperlukan pada zaman serba pantas ini wajar direnung dengan akal yang jernih dan jiwa yang terbuka. Ketika beliau menyatakan bahawa puisi bukan laporan, bukan manifesto, bukan juga khutbah, kenyataan tersebut sesungguhnya memperkukuh hakikat bahawa puisi berdiri dalam wilayahnya yang tersendiri, yakni wilayah estetik yang tidak tunduk pada desakan globalisasi.
Namun apabila timbul tanggapan bahawa puisi semakin tidak praktikal dan kian jauh daripada keperluan generasi muda, persoalannya bukan pada puisi, tetapi pada perubahan sikap manusia terhadap makna. Dunia hari ini memang bergerak laju. Pesanan digantikan dengan notifikasi, wacana dipadatkan menjadi slogan, perbincangan dipotong menjadi klip 30 saat atau 60 saat. Segala-galanya mahu kesegeraan, ringkas dan tuntas.
Jika ukuran keperluan ditentukan oleh kepantasan dan keberkesanan segera, maka bukan sahaja puisi yang akan tersingkir. Cerpen akan dianggap sebagai lambat, novel akan dikatakan membebankan dan drama teater akan dilihat melelahkan. Mengapa perlu membaca ratusan halaman sedangkan video pendek mampu merumuskan cerita dalam satu minit? Logikal ini jika diteruskan akan meruntuhkan seluruh tradisi kesusasteraan.
Malah lebih jauh, buku mungkin akan tinggal nama sahaja. Akhbar bakal menjadi catatan sejarah. Televisyen yang pernah menjadi nadi informasi keluarga mungkin sekadar nostalgia generasi lampau. Radio, majalah cetak, malah perpustakaan fizikal pun, semuanya boleh dipersoalkan kewajarannya jika ukuran nilai hanyalah pada kecepatan masa dan keuntungan segera.
Perubahan hidup memang tidak dapat dielakkan. Teknologi mengubah cara manusia bekerja, berkomunikasi dan berhibur, namun perubahan tidak semestinya menuntut penghapusan nilai tradisi atau lama. Misalnya, kereta menggantikan kereta kuda, tetapi berjalan kaki tetap relevan meskipun lambat. E-mel menggantikan surat bercetak, tetapi tulisan tangan tetap mempunyai nilai sentimental yang tidak mampu diganti oleh papan kekunci.
Puisi hadir sebagai jeda dalam hiruk-pikuk itu. Dalam dunia yang “menjerit”, puisi pula “berbisik”. Dalam masyarakat yang cenderung menyimpulkan, puisi mengajak manusia berfikir dengan akliah rasional. Ketika segala hal mahu diselesaikan segera, puisi mengajar bahawa ada perkara yang wajar direnung tanpa perlu segera difahami sepenuhnya. Di situlah letaknya kekuatan yang tidak terlihat oleh neraca pragmatik.
Adie Abd Gani sendiri menegaskan bahawa puisi tidak perlu memohon kewarganegaraan untuk menetap di mana-mana wilayah makna. Kenyataan ini sangat tepat. Puisi tidak bergantung pada pengesahan pasaran atau sorakan audiens atau khalayak. Keindahannya terletak pada kemampuannya mengusik kesedaran, walau hanya dalam kalangan segelintir pembaca yang setia (taasub atau fanatik).
Apabila puisi dituntut agar sentiasa “berguna” secara langsung, yakni mendidik, menghasut (mempengaruhi) perubahan, menyelesaikan masalah sosial, kita sebenarnya mengecilkan lapangan estetiknya. Kegunaan puisi bukan seperti alat pertanian yang dapat diukur hasilnya dalam musim tertentu. Nilainya meresap perlahan, membentuk empati, memperhalus bahasa, dan menajamkan nubari.
Bayangkan jika semua karya seni dipaksa tunduk pada keperluan segera. Lukisan perlu menjadi infografik, muzik perlu menjadi iklan pengaruh dan filem perlu menjadi selingan seminit, maka lenyaplah ruang kontemplasi yang menjadikan manusia lebih daripada sekadar makhluk produktif. Tanpa ruang itu, manusia akan cekap bekerja tetapi tumpul rasa dan emosi.
Puisi tidak menawarkan kesegeraan itu memanglah tepat dan benar, tetapi kesegeraan bukanlah ukuran tunggal pada keperluan. Ironinya, udara tidak kelihatan, namun tanpanya hidup terhenti. Begitu juga puisi yang barangkali tidak dirasai setiap hari, namun kehadirannya mengekalkan lapisan halus dalam peradaban dengan bahasa yang indah, simbol yang mendalam dan ruang tafsir yang pelbagai.
Generasi muda kini lebih mesra skrin daripada helaian kertas, namun hal itu tidak bermakna mereka menolak makna. Mereka cuma mendekati makna melalui medium berbeza. Tugas penyair bukan meratapi perubahan, tetapi memanfaatkan ruang baharu tanpa mengorbankan kedalaman makna dan estetika. Puisi boleh hadir di pentas digital, tetapi tetap dengan roh renungannya.
Oleh itu, apabila timbul persoalan sama ada puisi masih diperlukan, soalan yang lebih wajar diajukan mungkin: adakah manusia masih memerlukan keheningan (healing) untuk memahami dirinya? Jika jawapannya ya, maka puisi akan sentiasa mempunyai tempat. Hal yang berubah hanyalah cara kita mendekatinya. Yang kekal ialah keperluan manusia terhadap makna, yakni makna yang tidak mampu dipadatkan sepenuhnya dalam 30 saat tontonan.
_________________________
Ridzuan Kamis ialah penulis dari Perlis Indera Kayangan. Walaupun karyanya tidak pernah sekalipun tersiar dalam Tukang Puisi, beliau menulis sejak tahun 1996 dengan menghasilkan beberapa buah kumpulan puisi terbitan DBP, ITBM, UUM, dan PENA. Beliau juga aktif menulis rencana sastera dan kritikan puisi. Beliau pernah menghiasi Karyawan Bulan Ini Dewan Sastera Bil. 11/2021.