Diterbitkan pada 24 Februari 2026, 10:37

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Adie Abd Gani memberikan pandangan apabila puisi dikatakan tidak lagi diperlukan pada zaman ini.

Puisi bukan laporan, bukan manifesto, bukan juga khutbah. Pengertian pada jasadnya memang akan membawa kita meneroka ke semua wilayah itu, tetapi puisi tidak perlu memohon kewarganegaraan untuk menetap di sana.

Segala-galanya mahu segera: bukan lagi memo tetapi pesanan di WhatsApp, bukan lagi kaset dan cakera padat, tetapi Spotify, dan tentunya bukan lagi janji temu bersama-sama pegawai kaunseling tetapi paparan kata-kata hikmat di skrin. Dalam keadaan demikian, puisi tekal dengan prinsip konvensionalnya yang menuntut masa, taakul dan renungan. Namun begitu, hal itu seakan-akan menjadi beban kepada generasi muda.

Puisi memang tidak menawarkan kesegeraan. Hal itu tidak menjanjikan penyelesaian. Malah, kadang-kadang hanya meninggalkan pertanyaan yang lebih berat serta dalam daripada sebelumnya. Dalam dunia yang dimukimi penghuni yang cenderung terhadap segalanya seringkas slogan, petikan motivasi atau video berdurasi seminit, puisi seolah-olah menjelma sebagai teks zaman yang tidak lagi praktikal.

Namun persoalannya, adakah “tidak praktikal” itu bermakna tidak perlu?

Puisi tetaplah puisi kalaupun berlainan abad dan generasi. Hanya manusia yang pudar, malah hilang kesanggupan untuk “membaca”. Kita sering mendengar keluhan bahawa puisi hari ini berkurang pemujanya, terlalu peribadi, malah ada yang mengaku tidak relevan. Namun jarang-jarang kita bertanya, adakah kita masih sudi berkenalan dengan bait-baitnya? Atau kita lebih sudi menuntut puisi berubah menjadi sesuatu yang lebih sehala, ringkas dan jinak? Biar sesuai dengan gaya hidup kita yang tergesa-gesa.

Puisi seperti cuti tahunan pekerja yang tidak perlu diketahui alasannya diambil dan diguna. Sudah tentu kewujudan puisi tidak patut dipersoal dari segi maslahat, malah agenda yang dibawanya. Memang rangkap-rangkapnya takkan jauh menyuarakan isu, mendidik masyarakat atau menjadi alat perubahan sosial. Semua itu tidaklah salah. Hanya apabila kita terlalu mendesak puisi untuk “berguna”, kita membunuh nilai estetikanya. Puisi bukan laporan, bukan manifesto, bukan juga khutbah. Pengertian pada jasadnya memang akan membawa kita meneroka ke semua wilayah itu, tetapi puisi tidak perlu memohon kewarganegaraan untuk menetap di sana.

Barangkali puisi hari ini tidak lagi diperlukan untuk menjelaskan serba-serbi perihal dunia, kerana dunia sendiri sudah sarat dengan penjelasan. Biarlah mulai hari ini kita maklum, keberadaan puisi sudah cukup untuk mengingatkan kita bahawa tidak semua perkara perlu difahami (langsung mahupun sepenuhnya). Ada hal-hal yang memadai dibaca tanpa dirasai, dihadam renung, atau tekal sebagai misteri.

Dalam konteks ini, memilih untuk berpuisi (dan “mensahabati” puisi) usahlah atas jawapan dan sekalian manfaatnya sahaja, tetapi juga sebagai jeda. Jeda di antara dua kesibukan. Jeda antara keyakinan dengan kemusykilan. Maka, apabila kita bertanya sama ada puisi masih diperlukan, barangkali soalan yang lebih jujur ialah, adakah kita masih ingin menemukan “sebahagian pekerti bernama manusia” yang ralit, rapuh dan rencam itu?

_________________________

Adie Abd Gani ialah nama pena Adisuwandi Abd Gani yang lahir pada bulan Mei 1988 di Tanjung Manis, Sarikei, Sarawak. Adisuwandi menulis karya secara serius terutamanya sajak moden dan cerpen sejak umur 18 tahun. Beberapa karyanya tersiar dalam Suara Sarawak, Mingguan Malaysia, Utusan Sarawak, Tunas Cipta, Tukang Puisi, SelangorKini, dan juga laman sastera luar negara Riau Sastra dan Media Permata. Sajak bahasa Inggeris beliau yang bertajuk “Beneath the Dark, in the Earth’s Hold” telah dimuatkan dalam Worvid International Magazine (2023). Adisuwandi turut meminati genre certot, pantun dan gurindam. Sajak beliau pernah memenangi Sagu Hati untuk sayembara anjuran majalah Kayu Api (2024) dari Singapura.

Kredit Foto: Firus Fansuri
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi