Diterbitkan pada 30 Mac 2026, 15:33

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Ridzuan Kamis meneliti perkembangan puisi kontemporari yang mula mencabar bentuk dan makna, malah hasilnya mula mendapat pengiktirafan.

Di sinilah timbul persoalan, adakah sebahagian mereka penulis jadi-jadian, penulis suka-sukaan, penulis ikut-ikutan, atau sekadar menulis tanpa benar-benar memahami hakikat sebuah puisi?

Puisi eksperimental secara umum merujuk karya yang mencabar bentuk lazim. Strukturnya dipatahkan. Tipografinya dimanipulasi. Bahasa dan imej bercampur-campur, malah makna sengaja dibiarkan merewang tanpa fokus. “Eksperimental” ini bertujuan untuk menggugat kebiasaan pengalaman pembaca, menguji daya tafsir dan memperluas kemungkinan estetika ciptaan baharu. Hal ini lahir daripada keinginan untuk keluar daripada pola yang dianggap biasa atau konvensional.

Puisi konvensional pula berdiri atas disiplin bentuk dan kesatuan makna sama ada dalam tradisi pantun, syair, gurindam, mahupun sajak moden yang teratur. Puisi konvensional menjaga keharmonian imej, kesinambungan metafora dan kejelasan tema. Konvensional tidak bererti jumud dengan menandakan adanya landasan yang jelas, tempat jasad dan roh puisi berpaut secara tertib dan terkawal.

Dalam era laman maya kini, semakin ramai penulis muda (baharu) tampil menulis secara wewenang. Medium arus perdana pula lebih selektif, yakni puisi yang dianggap sebagai tidak memenuhi piawaian mungkin tidak disiarkan. Maka, ruang digital menjadi wadah terbuka: sesiapa sahaja boleh menobatkan diri sendiri sebagai penulis waima penyair. Di sinilah timbul persoalan, adakah sebahagian mereka penulis jadi-jadian, penulis suka-sukaan, penulis ikut-ikutan, atau sekadar menulis tanpa benar-benar memahami hakikat sebuah puisi?

Pertanyaan itu wajar ditimbang dengan adil. Tidak semua puisi eksperimental lahir daripada kejahilan atau kekurangan. Ada puisi yang bentuknya ganjil dan asing pada pandangan mata pertama, tetapi pengolahannya tetap berada di landasan makna. Imej tidak bercampur, metafora terarah dan gagasannya kukuh. Bentuknya mencabar, namun maknanya tetap teruji.

Sebagai contoh, puisi berbentuk 3V yang sering dikaitkan dengan AGI dan Puzi Hadi kerap dianggap sebagai eksperimental kerana bentuk visualnya yang tidak konvensional. Namun apabila diteliti, pengolahan dan penyampaiannya masih berada dalam kawalan makna. Imej dan imejan tidak bercampur, simbolnya terarah dan falsafahnya tidak terlepas daripada paksi tematik. Bentuk mungkin menyimpang daripada tradisi, tetapi roh puisi masih bersatu dan utuh. Hal Ini menunjukkan bahawa eksperimental tidak semestinya merosakkan atau menjahanamkan secara mutlak.

Yang membimbangkan ialah apabila lesen eksperimental dijadikan alasan untuk melakukan kecuaian. Muncul puisi ambiguiti yang kabur tanpa tujuan, puisi kabut yang tidak pernah menjernihkan ufuk makna dan puisi imej bercampur sehingga simbol bertindih tanpa hubungan yang meyakinkan. Puisi memang mengizinkan antilogik, tetapi antilogik tanpa kesedaran estetik hanya menghasilkan kekeliruan yang maha menyesatkan.

Ada juga kecenderungan untuk memuatkan istilah saintifik, suntikan istilah bombastik atau fakta sejarah sekadar untuk kelihatan intelektual, sedangkan fakta itu tidak tepat atau tidak menyumbang kepada tema berfokus. Percampuran bahasa Inggeris pula kadang-kadang hadir bukan sebagai strategi makna, tetapi sebagai gaya santai atau hiasan bahasa yang longgar atau sengaja dibuat-buat. Apabila bahasa menjadi tempelan, yakni bukan alat perenungan, puisi kehilangan daya tahan dan wibawa secara natural.

Tidak kurang yang berlagak falsafah atau berselimutkan kesufian, namun gagasannya longgar dan mengelirukan. Tidak mudah untuk kita melabelkan sesebuah puisi itu berelemen sufi, meskipun kecenderungan penulis menggunakan istilah keislaman dalam keseluruhan nukilannya. Kesufian bukan sekadar istilah berbahasa tinggi, tetapi memerlukan kejujuran jiwa dan ketelitian fikir. Tanpa elemen ini, puisi hanya kelihatan mendalam, tetapi sebenarnya amat tohor.

Walaupun demikian, menolak puisi eksperimental secara total juga tidaklah bijaksana. Ada perkembangan dalam dunia puisi yang memperlihatkan bahawa pembaharuan sering bermula dengan penolakan. Bentuk yang dahulu dianggap asing akhirnya diterima setelah terbukti kukuh dari segi makna dan teknik. Evolusi berlaku apabila keberanian disertai disiplin dan tanggungjawab estetik, seperti puisi-puisi 3V.

Persoalannya, adakah karya eksperimental akan diterima sebagai arus umum sehingga dinobatkan sebagai pemenang utama dalam medan sastera? Tanda-tandanya sudah wujud. Beberapa karya berani mencabar bentuk dan makna telah diraikan. Polemiknya mungkin tidak diperbesar atau sengaja dibiarkan sahaja oleh penulis mapan. Dengan mengambil contoh pemenang utama Hadiah Sastera Selangor 2025 memperlihatkan beberapa puisi “aneh” menggondol Hadiah Utama.

Akhirnya, pertanyaan “evolusi atau hakisan” bergantung pada kesedaran penulis itu sendiri. Jika karya eksperimental lahir daripada kefahaman mendalam terhadap tradisi dan bahasa, hal itu mampu membuka horizontal baharu. Jika lahir daripada kegopohan dan keghairahan untuk kelihatan berbeza, hal itu akan perlahan-lahan menghakiskan estetika. Penulis wajar berani mencabar bentuk, tetapi makna mesti tetap diuji dan dipertahankan. Di situlah maruah puisi bersemayam.

_________________________

Ridzuan Kamis ialah penulis dari Perlis Indera Kayangan. Walaupun karyanya tidak pernah sekalipun tersiar dalam Tukang Puisi, beliau menulis sejak tahun 1996 dengan menghasilkan beberapa buah kumpulan puisi terbitan DBP, ITBM, UUM, dan PENA. Beliau juga aktif menulis rencana sastera dan kritikan puisi. Beliau pernah menghiasi Karyawan Bulan Ini Dewan Sastera Bil. 11/2021.

Kredit Foto: Firus Fansuri
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi