26 Julai 2023, 08:34

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Ibnu Din Assingkiri meneroka lagi persoalan penulisan puisi yang baik daripada puisi “merapu” dan beberapa lagi persoalan dalam usaha menentukan kekuatan diri untuk mengarang puisi yang baik.

Jadi, kalau apresiasi seni itu berbeza-beza antara satu penikmat dengan penikmat yang lain, bagaimana pula kita boleh meletakkan penanda aras terhadap puisi berkualiti? Siapakah yang boleh menjadi pengawal kualiti puisi yang nyata (tangible) dan tiada ukuran spesifikasi ini?

Kita sering dijentik oleh terma-terma seperti puisi berimpak tinggi, puisi merapu, puisi asal jadi, dan sebagainya. Ramai pula yang merungut dengan tanggapan orang bahawa puisi yang dihasilkan mereka tidak berkualiti. Ada pula bunyi-bunyi yang kita dengar, bahawa mereka yang bijak bestari berkata-kata namun dalam hal menulis puisi – puisi mereka juga sama, tidak berkualiti.

Puisi ialah seni berbahasa. Seperti kita sedia maklum, apresiasi seni adalah subjektif. Keindahan di mata Si A belum tentu sama dengan Si B. Manusia dijadikan Tuhan sebagai makhluk yang unik dari segi perspektif dan persepsi. Dalam teori resepsi pembaca pula, didapati pembaca sudah ada tanggapan awal dan juga horizon jangkaan (horizon of expectation) terhadap teks yang dibacanya.

Kita juga perlu tahu tentang cabang ilmu bahasa, iaitu sosiolinguistik yang menyelidik tentang laras bahasa dan pertukaran kod (code switching) yang memainkan peranan dalam kenikmatan memaknai teks puisi. Simbolik, pencitraan dan kiasan yang begitu dekat dengan latar kehidupan pembaca akan lebih memberi nikmat (jelira estetika atau katarsis) kepada pembaca.

Kita perlu juga akui bahawa latar kehidupan, latar geografi (di mana asal usul), latar lingkungan (masyarakat/kejiranan), latar pekerjaan, dan juga latar pendedahan/pencapaian ilmu pembaca juga memainkan peranan penting dalam apresiasi seni berbahasa bagi platform puisi.

Kita belum lagi melihat ke arah mazhab pascamodenisme, yang dengan berani meruntuhkan struktur grand theories dan grand narrative atau naratif agung yang dibuat oleh pengikut mazhab modenisme. Imam-imam besar mazhab pascamodenisme, Foucault, Lyotard dan Derrida, siang-siang lagi sudah mengumumkan bahawa strukturalisme telah hilang kekuasaannya pada era pascastrukturalisme. Tentu ada pengikut taasub mazhab ini yang tidak memandang pun karya-karya puisi moden!

Jadi, kalau apresiasi seni itu berbeza-beza antara satu penikmat dengan penikmat yang lain, bagaimana pula kita boleh meletakkan penanda aras terhadap puisi berkualiti? Siapakah yang boleh menjadi pengawal kualiti puisi yang nyata (tangible) dan tiada ukuran spesifikasi ini?

Bolehkah kita bandingkan epal dengan epal puisi penyair hebat Abizai dengan puisi penyair hebat Jack Malik? Kalau kita gunakan spesifikasi yang sama untuk menilai karya kedua-dua penulis ini, kitalah yang akan khilaf kerana perbezaan dua mazhab puisi tidak boleh dihakimi dengan spesifikasi daripada salah satu mazhab sahaja.

Perbezaan olahan bahasa, pilihan dan gandingan kata-kata tidak boleh dijadikan penentu ukur kerana ada penulis yang gemar menyolekkan bahasanya dengan solekan tebal. Ada pula penulis menyolekkan bahasanya dengan sentuhan minimalis. Ada penulis seperti Roslan Jomel yang tidak perlu dipakaikan bulu mata palsu untuk menghiasi puisinya. Kebanyakan puisinya komunikatif dan minimalis, namun pilihan atau tukangan katanya mempunyai substance.

Kita perlu berdamai dengan semua jenis puisi. Kita cari jalan tengah dengan membuka minda tentang kewujudan perbezaan persepsi dan perspektif, minat, kecenderungan mazhab, dan pelbagai faktor perbezaan yang lain daripada penulis dan penikmat puisi. Jadi, bagaimana caranya kita dapat berlapang dada dan berdamai dengan puisi namun tidak sampai mengorbankan kualiti?

Pada pendapat saya, sebagai penulis dan penikmat puisi, yang menjadikan puisi itu berkualiti bukan hanya bergantung pada penampilan luaran. Kombinasi isi yang mengandungi pemikiran, falsafah dan ilmu lintas disiplin bersama-sama dengan gaya bahasa yang sesuai dengan tema dan perasaan penulis semasa dia menulis sudah memadai untuk menjadikan puisi itu berkualiti. Lagipun, kalau hendak ke pasar malam, tak perlulah bersolek seperti hendak ke majlis makan malam!

Bagi saya, “Sastera adalah kebijakan yang membijaksanakan.”

Kredit Gambar: Melancholy (1894) oleh Edvard Munch/www.EdvardMunch.org

_________________________

Ibnu Din Assingkiri berasal dari Singkir Laut, Kedah. Beliau telah menghasilkan dua kumpulan cerpen, empat kumpulan puisi serta berpuluh antologi pelbagai genre terbitan di Malaysia dan Indonesia. Turut terlibat sebagai editor, penyelenggara serta pembimbing bengkel penulisan kreatif. Karya eceran puisi, cerpen dan eseinya terbit di pelbagai media tempatan dan antarabangsa.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.