Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangKuala Lumpur – Rancangan Bicara Karyawan; “Alam Hakiki Dalam Puisi Penyair Sarawak” telah menampilkan sasterawan negeri Sarawak ke-5, iaitu Zainal Abidin Suhaili atau nama penanya Abizai, baru-baru ini.
Beliau yang juga penerima S.E.A Write Award pada tahun 2017 membuka ruang bicaranya dengan berkongsi pengalaman melibatkan diri dalam dunia pengkaryaan seawal tahun 1980-an hinggalah sekarang.
Pada usia muda, beliau sudah didedahkan dengan bahan bacaan yang meluas, hal ini menyemai minat beliau untuk mula menulis terutamanya, sajak.
Pada awal penglibatan dalam bidang penulisan sajak, saya banyak dipengaruhi dengan gaya penyair T.Alias Taib, seorang yang kaya dengan penggunaan metafora.
Beliau turut menegaskan, jika ingin menghasilkan metafora yang baik seseorang pengkarya perlu banyak menikmati alam. Alam dikatakan banyak memberikan kiasan dan pengajaran kepada manusia jika rajin direnungi. Jelas beliau;
Alam itu guru yang mengajar manusia dalam kehidupan
Selain itu, beliau turut berpendapat bahawa kritikan dalam dunia sastera merupakan satu perkara yang sangat penting. Kritikan sastera yang dihasilkan menjadi jambatan di antara karya penulis dengan pembaca.
Kritikan sastera kini begitu pesat kemajuannya. Sehingga lahirnya ramai pengkritik yang berwibawa dengan mentafsir pelbagai teori sastera. Beliau juga turut menyentuh perihal perkembangan kritikan sastera di negeri Sarawak.
Beliau berkata dengan adanya ruangan “Yang Indah Itu Bahasa”, yakni satu ruangan olahan DBP Cawangan Sarawak, sekaligus menampilkan pengkritik-pengkritik baharu dan yang telah mapan. Ini membuktikan esei kritikan sastera berkembang maju di negeri Sarawak.
Pada akhir sesi, beliau sempat menitipkan pesanan bahawa menghasilkan sebuah penulisan kritikan, seboleh-bolehnya bermula dengan mengetengahkan kekuatan dan kebaikan yang dimiliki oleh karya tersebut.
Selepas itu barulah disusuli dengan lontaran kritikan kelemahan dan cadangan. Hatta, kritikan itu dibuat adalah untuk proses penambahbaikan penghasilan sesebuah karya dan memudahkan pembaca memahami kritikan tersebut.