Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangKuching – Dewan Bahasa dan Pustaka Cawangan Sarawak (DBPCS) terus mengorak langkah untuk membangunkan sastera tempatan dengan mengukuhkan kerjasama strategik bersama-sama syarikat akhbar Cina tempatan, Sin Chew Daily.
Kunjungan hormat yang diketuai oleh Pengarah DBPCS, Abang Haliman Abang Julai ke ibu pejabat Sin Chew Daily membuka pintu rundingan dua hala antara kedua-dua pihak tentang penambaikkan, pencapaian dan perancangan jangka masa panjang penerbitan dalam ruangan Bahasa Ekspresi Sastera Tunas (BEST).
Ruangan yang bermula pada bulan April 2023 itu menerbitkan karya-karya puisi penulis berbangsa Cina berserta dengan bimbingan puisi.
Sepanjang pelaksanaannya, ruangan tersebut telah memperlihatkan impak positif dengan peningkatan penerimaan karya daripada penulis Cina selain anjakan dari sudut mutu pengkaryaan.
Pengarah Urusan Sin Chew Daily, Chung Hon Shin turut menyatakan maklum balas positif yang diterima oleh pihaknya sejak ruangan BEST diwujudkan.
“Walaupun ruangan itu merupakan penerbitan pertama bahan berbahasa Melayu dalam akhbar tersebut, namun reaksi positif daripada khalayak pembaca menunjukkan bahawa usaha penerbitan ruangan ini tidak sia-sia dan harus diluaskan kepada aspek-aspek lain agar objektif untuk menjadikan bahasa kebangsaan sebagai agen pemupukan perpaduan kaum benar-benar tercapai”.
Selain itu, dalam pertemuan tersebut, dibincangkan juga tentang penyiaran karya-karya terjemahan bahasa Melayu-bahasa Cina dan sebaliknya, dalam usaha menyebarluaskan manfaat karya-karya sastera kepada khalayak yang lebih luas.
Langkah ini juga dilihat relevan, seiring dengan inisiatif Perdana Menteri untuk merakyatkan sastera melalui penterjemahan dan cadangan tersebut turut mempertimbangkan pelibatan persatuan-persatuan sastera Cina di seluruh Sarawak.
Malah, agenda pembangunan penulis menerusi bengkel-bengkel bimbingan dan potensi karya-karya dalam ruangan BEST untuk pencalonan hadiah-hadiah sastera tempatan turut diperkatakan dalam pertemuan hampir dua jam itu.