20 September 2023, 15:41

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuching – “Siapa kata buku-buku sastera tidak boleh dijual?” soal Fahd Razy, pengurus Katapilar Books, semasa pembukaan pembentangan dalam Wacana Ilmu: Penerbitan dalam Era Malaysia Madani yang berlangsung di Dewan Bahasa dan Pustaka Cawangan Sarawak (DBPCS), baru-baru ini.

Beliau yang membentangkan kertas kerja berjudul “Membina Sikap Baharu Penerbitan Sastera Malaysia: Beberapa Cabaran dan Saranan” menyatakan bahawa tanggungjawab penerbitan sesebuah karya sastera tidak harus dilihat sebagai tanggungjawab sosial semata-mata, lantas menyebabkan karya sastera dianggap sebagai sebuah produk anti-pasaran.

Menanggapi hal tersebut, beliau yang juga penerbit ruangan Tukang Puisi mengakui bahawa pemasaran sesebuah karya (sastera) mesti melibatkan penulis seiring dengan peralihan zaman, perubahan ekonomi dan teknologi.

Tugas penulis yang dahulunya semata-mata menulis dan tidak patut terlibat dalam pemasaran karya sudah berubah. Bahkan, pemasaran masa ini juga tidak lagi tertumpu pada kaedah jualan semata-mata, sebaliknya menjurus kepada pembinaan jenama seseorang penulis.

Para pembentang bersama-sama Pengarah DBP Cawangan Sarawak, Encik Abang Haliman bin Abang Julai (tengah).

Penulis yang melibatkan diri dalam pemasaran buku-buku sastera terbukti berupaya membina khalayak pembaca yang lebih luas. Menyebut beberapa contoh karya sastera yang terjual melebihi seribu naskhah, beliau menyenaraikan kumpulan puisi penulis Sarawak, Sekumpulan Epitaf dan Surat-surat yang Lewat (Karl Agan) sebagai karya yang pernah menjadi fenomena dalam kalangan pengikut penulis buku tersebut.

Oleh itu, beliau menyeru agar penulis, khalayak dan penerbit mengubah mentaliti konvensional yang mengatakan bahawa karya sastera tidak boleh dijual.

Selain itu, beliau turut menyebut impak positif kehadiran penerbitan sendiri (indie) dalam industri penerbitan dan sastera secara khusus. Penulis-penulis prolifik dan berpotensi besar seperti Shield Sahran, Lokman Hakim, Karl Agan dan Clariessa Kesulai adalah antara penulis yang lahir dari jalur begini dan kualiti penulisan mereka telah terbukti dengan pengiktirafan hadiah-hadiah sastera.

Bakat-bakat yang muncul dari jalur bukan perdana seperti media sosial dan swaterbit harus diraikan dan para penerbit sepatutnya melihat perkembangan tersebut sebagai sesuatu yang positif dalam konteks pembangunan dunia sastera.

Selain beliau, menerusi sesi pertama wacana ini, Dr. Faezah Muhayat, Encik Syed Mohd Zakir, dan Encik Edison Ricket dari Pustaka Negeri Sarawak turut diundang sebagai pembentang.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.