3 November 2023, 10:06

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Gedong – Pelancaran buku penerbitan khas berjudul Pantun Melayu Sarawak: Beraie Tembang Lamak terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dengan menggunakan dana sumbangan Kerajaan Sarawak telah disempurnakan oleh YB Tuan Haji Safiee Haji Ahmad, Ahli Lembaga Pengelola DBP, merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri N.43 Daro, di Dewan Masyarakat Gedong pada Sabtu yang lepas.

Buku yang ditulis oleh Dr. Hazami Jahari , Ketua Pengarah DBP yang juga merupakan anak jati Gedong sendiri, terbahagi kepada dua bahagian, iaitu esei tentang gendang Melayu Sarawak dan himpunan sebanyak 362 pantun asli dalam dialek Melayu Sarawak.

Kesemua pantun dalam buku ini bertemakan kasih sayang, percintaan orang muda yang berkaitan dengan rindu dendam dan putus harapan. Persoalan yang banyak digarap adalah tentang tembang lamak, iaitu berkenaan kekasih yang telah terputus hubungan dan juga ditinggalkan.

Buku ini dihasilkan atas kesedaran bahawa seni bermukun dalam persembahan gendang Melayu di Sarawak masih lagi popular pada masa kini dan perlu didokumentasikan sebagai rujukan kepada generasi akan datang. Di samping itu, penerbitan buku ini juga dapat memperkaya sastera kreatif dan memelihara warisan budaya bangsa supaya terus berkembang dalam kalangan masyarakat, khususnya dalam kalangan generasi muda.

YB Tuan Haji Safiee Haji Ahmad menandatangani dan seterusnya melancarkan Pantun Melayu Sarawak: Beraie Tembang Lamak, baru-baru ini di DBP Sarawak.

Turut memeriahkan majlis pelancaran buku tersebut ialah Pengarah DBP Cawangan Sarawak,  Encik Abang Haliman Haji Abang Julai, pegawai dari Pejabat Pendidikan Daerah Simunjan, Encik Hasbi Ancheh, dan Sasterawan Negeri Sarawak ke-3, Datu Dr. Haji Adi Badiozaman Tuah.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.