Oleh Jack Malik
7 Disember 2023, 13:59

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Jack Malik menyambung polemik tentang sajak “healing” yang dibicarakan dalam kalangan peminat sastera akhir-akhir ini.

Masalah ‘pemerdagangan’ ini bukanlah sains roket. Kita cuma perlu faham produksinya.

Sajak healing sama seperti mana-mana karya sastera—baik perdana mahupun alternatif—wajar dikritik setelah memasuki medan awam.

Buah bicaranya perlu disebut-sebutkan; dibincang secara kritis, kupasannya mendatangkan laba kepada para pembaca, penulis serta pengkaji-pengkritik dan waktu kelak akan menentukan sama ada ia tak lapuk dek tahun, tak lekang dek bisu; ataupun hilang ditelan pasang-surut dasawarsa yang silih berganti.

Namun begitu, saya tidak suka dengan pernyataan “waktu adalah penentu sesebuah karya.” Mengapa? Sebab, bagi saya, hal itu separa malas, sedikit malu tidak bertempat, dan selebihnya kesombongan untuk bersikap jujur. Entah apa yang nak disegankan? Atau hendak tampak besar? Adakah jatuh “saham” kita sebagai seorang pengarang andai kita berbicara tentang sesuatu perkara? Tatal skrin dan ketik papan kekunci, tanyalah diri sendiri.

Ada benarnya Wittgenstein menyatakan bahawa apa-apa yang kita tidak boleh bicara dengan jelas biarlah berlalu dalam kebungkaman. Akan tetapi, bukankah tugas hakiki penulis adalah untuk memberi “suara” kepada yang tidak memiliki suara? Kebungkaman juga layak punya suara. Oleh itu, tibalah pada detik, waktu dan ketika untuk kita semua bertemu di sini. Saling balas-membalas. Saling menggerakkan satu sama lain. Saling mendengar.

Dalam esei Aliff, beliau hadir dengan serangan jelas. Masalah yang dibawa oleh Aliff semestinya melibatkan sesuatu yang lebih besar daripada sastera. Soal kapitalisme. Dan, kata-kata Kak Hidayyah juga benar bahawa sastera ialah barang dagangan. Kita “menjual beli” pantun. Begitu menarik cara kita menggunakan kiasan ekonomi dalam dunia puisi tanah air (berbeza daripada tanka, iaitu salah satu bentuk puisi tradisional Jepun yang lebih kepada “surat-menyurat” antara kekasih). Pada masa yang sama, saya juga faham kegusaran Aliff tentang cara puisi “diperdagangkan”.

Masalah “pemerdagangan” ini bukanlah sains roket. Kita cuma perlu faham produksinya. Penerbit selayaknya menginginkan sesuatu yang menguntungkan. Penulis mahukan sambutan. Pembaca pula ingin apa yang mereka inginkan. Demikian, kita semua sama-sama terlibat dalam hal ini. Bekalan tidak akan ada jika tiada permintaan, bukan? Justeru, inilah satu lagi sisi segi pernyataan “sastera ialah cerminan masyarakat”.

Apa yang menjadikan “pemerdagangan” ini suatu masalah, sebenarnya, apabila ia mencipta tanggapan bahawa “barang dagang” yang paling laris itulah penanda aras bagi produk lain yang sama. Kesan ini tidak akan nampak sekarang. Paling kurang, barangkali ia dapat dilihat lima tahun akan datang. “Tradisi” atau “susur galur” yang manakah para pemuisi muda akan selusur kelak? Sebagai pengkarya, kita hanya mampu membina kraf sendiri, menghasilkan karya dan percayakan pembaca kita “tahu membaca” dan menilai usaha kita.

Melalui kemungkinan, datangnya pilihan.

Antara dosa besar seorang pengkarya boleh lakukan adalah dengan menganggap bahawa pembacanya tidak cerdik dan celik. Namun begitu, ada kalanya pembaca, secara umumnya, barangkali tidak sampai pada tahap yang kita, sebagai pengkarya, inginkan.

Jadi, apakah penyelesaiannya?

Dalam jangka masa pendek—para pengkritik sila berdiri. Nah, mereka inilah yang perlu menghebahkan kepada kita mengapa sesuatu karya itu harus dibaca; atau menerangkan mengapa karya itu tidak mencapai tahap yang sepatutnya karya itu sampai. Dalam jangka masa panjang pula—pengkarya perlu terus mencabar diri sendiri dan tidak terlalu selesa dengan sesuatu gaya. Baca di luar zon selesa. Baca sesuatu yang berlainan. Baca lebih sedikit karya dunia daripada karya tempatan untuk elak terjadinya penciptaan karya daripada hasil—dengan izin—“sumbang mahram” (ini juga masalah besar “gaya” puisi healing yang akan dibincangkan pada waktu lain).

Maka, saya mengukuhkan hujah Aliff dalam “menyampaikan suatu sikap” yang kritis serta objektif demi pembangunan dunia dan industri sastera tanah air; pada masa yang sama, mengangkat sikap inklusif Kak Hidayyah yang seharusnya meraikan kepelbagaian. Dunia puisi ini, meminjam sebaris dua daripada sajak “Alang Rentak Seribu” oleh Salleh Ben Joned, merupakan sebuah dunia yang mempunyai “seribu kemungkinan/kecil dan besar.”

Melalui kemungkinan, datangnya pilihan. Setiap daripada kita memiliki pilihan dan kemahuan. Terpulanglah. Minat masing-masing. Jelaslah akan ada yang diangkat, akan ada juga yang mendapat perhatian nan sekerat. Jangan dikatakan karya avant-garde serta eksperimental tidak mendapat sambutan, karya perdana mahupun alternatif pun semput mengejar jualan—seperti Kak Hidayyah nyatakan. Akan tetapi, adakah jualan menjadi kayu ukur dunia kita semata? Sejauh manakah penjenamaan semula dapat menangani isu-isu malar yang berlegar tentang pembinaan kraf seorang penulis atau warisan sebuah rumah penerbitan dalam industri ini? Apakah yang akan berlaku pada lima hingga sepuluh tahun akan datang?

Dan, suka atau tidak suka, waktulah penentu sebuah karya. Sebagaimana sedekad dahulu Jargon Books mempunyai Perempuan yang Patah Hati karya Rasyidah Othman; Sang Freud Press menerbitkan Langit Vanilla oleh Wani Ardy; dan Rabak-Lit mengeluarkan Protopunk oleh Adam Kasturi—pada era pasca-indie kini, kita berhadapan dengan label “healing” dan kehendak audiens yang terang lagi bersuluh menyuapkan permintaan pada pasaran semasa.

Walau bagaimanapun, kerja mengkritik dan mengulas perlu terus berlangsung. Hal ini suatu usaha yang tidak bertitik noktah. Selain itu, jangan sekadar membuat hingar tanpa membuahkan hasil yang produktif. Apa gunanya juga kalau beribu tahun sekalipun berlalu tapi kita tidak berlari di antara Safa dan Marwa kita; tidak menggoncangkan pohon kita; dan tidak mengikat tambatan tunggangan kita.

Jangan tunggu nanti. Lakukannya kini.

Ya, waktu akan tentukan. Tetapi kita juga perlu bergerak seiring dengannya. Dan bukankah “sekarang” juga sebahagian daripada waktu?

Adakah penulis-penerbit “gaya healing” ini peduli tentang perkembangan puisi Melayu Moden? Jawapan tersebut memerlukan segala asa dan upaya kita semua—pembaca, penulis, pengkaji dan pengkritik—untuk lebih berkeyakinan, rendah hati dan paling penting, tidak berserah begitu sahaja pada hak dan hakikat waktu. Kita juga ada kudrat tersendiri. Ingat: kita perlu dikelilingi suara; bukan gema.

Kredit Foto: Ludmila Uleva/Unsplash

_________________________

Jack Malik merupakan seorang penyajak dari Ipoh. Karyanya pernah tersiar dalam Mekong Review, Dewan Sastera, Selangorkini, dan halaman Tukang Puisi. Jack juga sebahagian daripada kolektif seniman Projek Rabak. Beliau mempunyai dua kumpulan puisi, iaitu Wannabe Sasau dan Sajakjakja(c)k. Jack juga merupakan salah seorang penerima anugerah Hadiah Sastera Selangor 2020 bagi kategori sajak eceran.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.