Oleh Aliff Awan
16 November 2023, 12:20

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Aliff Awan memberikan reaksi balas pada artikel yang membicarakan isu sajak “healing”, yang kini banyak dibicarakan oleh peminat sastera mutakhir.

Usaha ini seperti sebuah sekolah yang menunggu kehadiran murid yang gagal. Kemudian, selepas murid-murid ini membayar yuran dan duduk di dalam kelas, muncul seorang guru untuk mengajar subjek ‘Menuju Kejayaan’.

Innalillah. Sastera kita sering wafat dengan hal-hal label atau penulis yang selalu bertumbuk sipi-sipi. Padahal, penjahat sebenar masih selamba berborak kosong sambil minum kopi. Al-Fatihah.

Sebelum jauh, izinkan saya menggantikan istilah “puisi healing atau puisi “penyembuh” dengan “barang dagangan kapitalis” atau “barang kapitalis”.

Sebulan lepas, Akmal Uzair tegas mempertahankan “barang kapitalis” ini dengan memberitahu, “tidak tepat untuk kita mengatakan puisi-puisi healing bukanya puisi ‘sebenar’ hanya kerana ia tidak memerlukan kita untuk berfikir kritis.” Saya yang berada di Damansara masa itu terus menggaru hidung dan bertanya, “Sejak bila puisi memerlukan kita untuk berfikiran kritis?”

Samuel Coleridge ada menggambarkan sifat puisi yang paling tepat – kata-kata terbaik dalam susunan terbaik. Dan inilah yang menentukan sedap atau tidak sesebuah puisi, bukannya apabila pembaca perlu berfikir secara kritis.

Apabila Hidayyah AT Mizi hadir dan cuba untuk mengajar Akmal dengan mencambahkan barang dagangan kapitalis ini pada satu jenis pelabelan yang dipanggil sebagai gaya perdana, saya terus macam, “Apakah ini, miska?”

Apa yang kedua-dua penulis ini gigih sangat untuk pertahankan sebenarnya?

Hal-hal healing ini cuma barang yang didagangkan oleh kapitalis untuk mengaut untung pukal. Tak ada niat baik untuk perkembangan sesiapa kecuali lejar akaun syarikat mereka, dan tak ada rasa tanggungjawab jangka panjang kepada pembaca ataupun industri buku.

Usaha ini seperti sebuah sekolah yang menunggu kehadiran murid yang gagal. Kemudian, selepas murid-murid ini membayar yuran dan duduk di dalam kelas, muncul seorang guru untuk mengajar subjek “Menuju Kejayaan”. Tapi, selepas kelas, daripada beribu-ribu murid tersebut, tak ada sesiapa pun yang berjaya kerana mereka sibuk meraikan kegagalan pada kadar yang tidak sihat. Lalu, mereka akan terus memilih untuk kekal di sekolah tersebut sehinggalah berjumpa dengan kejayaan yang tidak pernah wujud pun. Dan paling penting, perlu diingat, sukatan pelajaran “Menuju Kejayaan” ini disusun oleh sekolah tadi, untuk memastikan mereka menerima yuran pelajar secara berterusan.

Barang dagangan kapitalis yang satu ini cuma menyuap pembaca mereka dengan kesedihan supaya setiap tindakan sayu mereka dipersetujui dan pembaca percaya akan rasa sunyi yang semakin menebal itu adalah sah. Kalau healing sewajarnya meredakan gelisah dengan memberikan semangat untuk keluar daripada payah, yang satu ini pula sibuk memanjakan pembacanya supaya menjadi benak.

Saya rasa, sikap menolak puisi healing ini bukanlah satu bentuk pilihan untuk menjadi “penjaga pintu” sastera, tetapi menyampaikan suatu sikap risau akan kelahiran komuniti baharu yang mula mengekspresikan perasaan terlalu sedih untuk hidup.

Hal inilah yang sepatutnya dipedulikan oleh Akmal dan Hidayyah. Bukannya menghalalkan atau membesarkan lagi barang kapitalis ini dengan cambahan-cambahan yang tidak perlu. Kerisauan mereka sepatutnya disalurkan pada kerisauan jangka panjang apabila wujud lebih ramai orang yang menyuap diri sendiri dengan kesedihan yang berlebihan dan berpanjangan. Dan kita pun tahu, dalam apa-apa perkara sekalipun, apabila sesuatu itu berlebihan, hal itu tidak sihat.

Bukankah hal ini hakikatnya satu dosa penerbit?

Jadi, siapa yang menyuap pembaca dengan kesedihan yang berlebihan ini?

Saya tak berapa pasti kenapa apabila kita bercakap seputar isu ini, hal ini akan kembali menjadi salah penulis. Bukankah hal ini hakikatnya satu dosa penerbit?

Hal ini berbalik pada tulisan Akmal yang mencari titik temu antara muzik dengan puisi, namun gagal menuding jari kepada siapa yang salah sebenarnya. Malah, menyamakan barang kapitalis ini sebagai “lagu arus perdana”, sementara puisi-puisi kurang sambutan sebagai lagu alternatif. Inilah katanya, “Puisi-puisi ‘healing’ menggunakan formula yang serupa dengan lagu-lagu arus perdana untuk memecah-masuk pasaran.”

Saudara, lagu-lagu arus perdana lazimnya diuruskan oleh label muzik. Mereka mempunyai beberapa fasa yang perlu dilalui sebelum sebuah lagu akhirnya dipasarkan. Salah satu fasa yang ada, kalau dalam bahasa mudah ialah fasa “benda ’ni boleh go atau tak?”

Dan untuk mengetahui boleh go atau tidak sesebuah lagu itu, hal itu akan berbalik pada trend dan kehendak pasaran pada waktu tersebut. Untuk mencapai kata putus, mereka memerlukan yes daripada label muzik kerana akhirnya, “Duit perlu masuk.”

Kalau kita asyik mendengar lagu arus perdana yang kedengaran jijik dan tak masuk akal, hal itu jadi salah penerbit bukan?

Jadi, kenapa apabila hal ini yang melibatkan hal-hal yang berlegar tentang barang kapitalis yang satu ini, hal ini tiba-tiba jadi salah penulis?

Saya tak pasti kalau Akmal, Hidayyah dan penulis-penulis lain sengaja menutup mata dan membiarkan kesalahan ini sepenuhnya ditanggung oleh penulis kerana risau manuskrip mereka tidak akan diterbitkan oleh mana-mana penerbit lagi jika bersuara. Tapi, jika kita rasa hendak tengok sastera kita lebih seronok dengan perkembangan yang sihat, awat ghisau?

Kredit Foto: Aiva Apsite/Unsplash

_________________________

Aliff Awan editor #mainsurat yang cuba untuk merakam ragam seni di Malaysia. Beliau sudah berehat sebagai artis persembahan kerana menjadi pemerhati jauh lebih menyeronokkan.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.