Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangHidayyah AT Mizi berbicara tentang sajak “healing”, atau mungkin dalam istilah Melayu yang terdekat ialah sajak “penyembuh” atau sajak “pemulih”, yang kini banyak dibincangkan dalam kalangan peminat sastera mutakhir.
Puisi ‘healing’ berfungsi sebagai sumber inspirasi dan sokongan bagi individu yang menghadapi cabaran dalam kehidupan atau mengalami perasaan yang mendalam.
“Adakah puisi-puisi healing layak dianggap sebagai puisi sebenar?” Inilah persoalan utama yang ditanyakan oleh Akmal Uzair. Percubaan Akmal untuk menilai dua jalur sastera berbeza (dalam konteks ini, antara bahan sastera perdana dengan sastera pop) seperti membandingkan epal dengan oren.
Sebagaimana penulis membesar bersama-sama karyanya, pembaca juga membesar bersama-sama bahan bacaannya. Selain minat, intensiti atau kedalaman input daripada pembacaan juga turut meningkat apabila kecintaan terhadap bahan bacaan semakin mendalam. Perasaan ini akan lebih dirasai apabila pembacaan tadi disertai dengan munculnya rasa minat yang mendalam tentang sesuatu bidang.
Dengan hal yang demikian, saya menggalakkan Akmal untuk membaca buku kumpulan puisi Luka Mencair Sebagai Sunset, karya Nasser Mikraj. Buku ini merupakan salah satu daripada beberapa karya retrospeksi diri yang ada dalam pasaran, namun begitu menonjol dengan pengolahan yang teliti dan pilihan perkataan yang kukuh. Saya yakin sepenuhnya bahawa buku ini dapat membawa pembaca kepada perjalanan bahasa yang lebih mencabar dan memberikan nilai tambah sebagai salah satu pilihan kumpulan puisi healing dalam gaya sastera perdana. Setelah membaca, sila pertimbangkan semula soalan ini.
Saya menjangkakan jawapan Akmal akan berbeza usai membaca buku ini; sebuah naskhah healing dalam gaya sastera perdana. Sajak-sajak yang ditulis dalam kumpulan puisi ini bercerita tentang isu-isu domestik dan bergerak dalam putaran sisi pandang “saya”. Terdapat gejolak rasa yang meledak dan isu-isu seputar keresahan individu, tetapi dalam masa yang sama, buku ini memperlihatkan konflik semasa yang menghantui masyarakat: menjadikan suara Nasser kedengaran dekat dan mewakili “kita”.
Berbalik pada persoalan tadi— apakah itu puisi healing?
Puisi healing atau puisi “penyembuh” atau “pemulih” (dengan terjemahan secara langsung) ialah jenis puisi yang dicipta dengan tujuan memberikan kesejahteraan emosi atau menggalakkan proses penyembuhan jiwa dan emosi kepada pembaca dan penulisnya. Puisi seperti ini sering kali mengusung tema-tema yang memupuk kesedaran diri, menawarkan ketenangan, menanamkan harapan, atau membantu dalam pemulihan daripada pengalaman emosi yang mencabar. Puisi ini boleh menjadi medium untuk meluahkan perasaan, merenungkan pengalaman, atau mencari ketenangan melalui penggunaan kata-kata yang bermakna.
Puisi healing berfungsi sebagai sumber inspirasi dan sokongan bagi individu yang menghadapi cabaran dalam kehidupan atau mengalami perasaan yang mendalam. Di Malaysia, konsep puisi healing lebih didominasi oleh aliran sastera pop daripada aliran sastera perdana.
Sajak Healing Gaya Perdana
Kumpulan puisi Luka Mencair Sebagai Sunset terbahagi kepada empat bahagian: di kamar, di beranda, di jalanan, dan di pejabat.
Pada bahagian satu, penyair menuliskan tiga puisi awal tentang keresahan emak dari kaca mata seorang “saya”. Tiga puisi awal ini berjaya membuka pintu kamar untuk suara Nasser didengari:
dengan bekal cahaya yang dibungkus mak
ketika kegelapan begitu banyak
ditawar orang di mana-mana
mak juga mengirimkan sunyinya
dari kamar mak mendiris ke dapur
cuma rindu berupa bah
Pada bahagian dua, Nasser menuliskan 11 romansa buat sang isteri; ada pasang surut perhubungan:
kesedihan adalah seorang saya
yang semakin minum
semakin haus renjanamu
saya ingin duduk di balkoni matamu
sebagai sesuatu yang tidak ingin kau lepaskan
saya ingin cempera sebagai aroma
dan berbaring di kasur nafasmu
sebagai harum vanila
ruang ini tidak berpintu
tapi kita telah keluar
dalam pertelingkahan waktu
saya apa-apa yang tertinggal dan hilang
Pada bahagian tiga, penyair menuliskan kisah-kisah diri sewaktu merantau. Mungkin lebih tepat tentang hal-hal gelandangan:
mereka yang lapar
ingin memakan bulan
saya tidak mahu tidur tuan
ada raksasa menggelugut dalam selimut
tiada apa yang hampir sempurna
di kota ketika semua mimpi dikambus
kegelapan adalah rumah saya!
Pada bahagian empat, sajak-sajaknya bercerita tentang rusuh dan kejengkelan di pejabat. Desah perasaannya dijelaskan:
arahan mesyuarat menghendap
dalam bekal makanan
siang telah beberapa kali
menguap di kubikelnya, tapi malam
dilarang masuk ke pejabat
saya bangun sebagai orang malas
benarkah di jalan yang sama, akan ada
yang memilih jalan lebih jauh?
Membaca Isu Semasa Khalayak Semasa
Inilah perjuangan yang sedang dihadapi oleh anak muda. Keresahan memahami kedukaan dan ketidakmampuan ibu bapa, melawan depresi dan isu-isu kesihatan mental diri, belajar memahami dunia dari kaca mata orang ketiga …
Salah satu kekuatan sajak-sajak dalam kumpulan puisi ini ialah tema yang menunjanginya. Isu-isu domestik dalam buku ini merupakan isu besar yang dihadapi dalam kumpulan sasaran pembaca. Dianggarkan sasaran pembaca berumur sekitar 15 sehingga 25 tahun. Isu-isu ini sepatutnya dianggap penting kerana menceritakan kegelisahan realiti zaman sekarang.
Inilah perjuangan yang sedang dihadapi oleh anak muda. Keresahan memahami kedukaan dan ketidakmampuan ibu bapa, melawan depresi dan isu-isu kesihatan mental diri, belajar memahami dunia dari kaca mata orang ketiga, contohnya gelandangan, dan akhirnya kegetiran menempatkan diri dalam masyarakat sebagai seorang dewasa.
Ada banyak fasa yang diperlukan untuk seorang dalam awal remaja memahami pergolakan hidup orang dewasa. Sastera perlu diserapkan seawal mungkin kepada generasi akan datang. Dengan tugas ini, sajak-sajak yang berkisar tentang diri, pergolakan domestik dan kecil sebegini sepatutnya diangkat untuk dibaca oleh khalayak.
Dalam setiap zaman, ada gejolak yang harus kita akui. Oleh itu, peranan sastera sebagai pendokumentasian zaman tidak seharusnya dipandang enteng. Tentu sahaja, ada pihak yang masih “menunggang” isu sajak healing ini—yang pada dasarnya hanyalah satu lagi label yang dilekatkan pada olahan gaya perpuisian.
Kredit Foto: Zhivko Minkov/Unsplash
_________________________
Hidayyah AT Mizi ialah penulis dari Perak. Beliau banyak menyumbangkan puisinya di beberapa media massa. Kata-kata yang Muncul di Cermin (Kata-Pilar, 2021) merupakan kumpulan puisi sulungnya.