Oleh Fenny Liging
22 Februari 2024, 21:04

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kota Kinabalu – Program Aroma Meja Bulat siri pertama anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka Cawangan Sabah (DBPCS) dan Institut Latihan Perindustrian Kota Kinabalu (ILPKK) mengupas tiga buah buku pada pagi tadi.

Karya yang dibincangkan ialah Selimutkan Alam dengan Cinta karya Fauziah Haji Mohsin, Gedung Kesaksian nukilan Awang Abdul Muizz Awang Marusin dan Bagai Kelekatu milik Rukimah Pandawa atau nama penanya, Kims Diwa.

Ketiga-tiga buku tersebut merupakan kumpulan puisi dari Sabah yang telah dilancarkan pada tahun lalu.

Prof. Madya Dr. Mohammad Puad Bebit selaku panel penilai menjelaskan bahawa puisi yang dihasilkan oleh ketiga-tiga penulis, merupakan karya yang mempunyai gaya tersendiri, nilai yang boleh direnung dan menarik untuk dihadam.

Jelas beliau, “Fauziah menulis dengan isu-isu yang dekat dan senang difahami, manakala Awang Muizz meluahkan isi hatinya dengan ayat-ayat yang puitis dan terakhir Kims Diwa menulis puisi dengan mengajak para pembaca berfikir secara tersurat serta tersirat.”

Selimutkan Alam dengan Cinta menghimpunkan 71 buah puisi, manakala Gedung Kesaksian dengan 70 buah puisi dan 80 buah puisi terkandung dalam Bagai Kelekatu.

Tiga buah buku yang diulas dalam program Aroma Meja Bulat.

Para penulis berkongsi cabaran yang dihadapi sewaktu menghasilkan karya adalah masa yang ditetapkan kerana ketiga-tiga mereka merupakan warga pendidik, namun kekangan tersebut tidak mematahkan semangat untuk menyiapkan karya ini.

Dari kiri: Fauziah Haji Moksin, Awang Muizz Abdul Marusin dan Kims Diwa ketika menjelaskan karya mereka dalam Aroma Meja Bulat.

Sebanyak 280 orang peserta menghadiri program ini yang melibatkan pelajar dan staf ILPKK, Universiti Malaysia Sabah, Universiti Teknologi Mara Cawangan Sabah, Institut Kemahiran Mara, Politeknik Kota Kinabalu, dan Sekolah Indonesia Kota Kinabalu.

Turut hadir memeriahkan program ialah YBhg. Datuk Jasni Matlani, Ahli Lembaga Pengelola DBP, Puan Aminah Awang Basar, Pengarah DBPCS, Encik Ts. Sudirman Hammade, Pengarah ILPKK, wakil kepada Pengarah Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Sepanggar, dan wakil kepada Pengerusi Majlis Penasihat, Ikatan Penulis Sabah (IPS).

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.