4 Jun 2023, 19:41

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur “Kita harus terus-menerus membaca supaya dapat menajamkan pemikiran. Apabila berlaku kekeliruan, jalan penyelesaiannya adalah dengan memikirkan sedalam-dalamnya atau secara kritis mungkin agar lahir sebuah jawapan.”

Demikian kata-kata YB Dato’ Sri Hajah Nancy Shukri merangkap Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat dalam Majlis Pelancaran Buku dan Bicara Karya Kumpulan Puisi Puisi Ganjil SaTU! karya R. Hamkama bersempena dengan Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2023 di Bilik Kuala Lumpur, Pusat Dagangan Dunia (WTC), Kuala Lumpur, sebentar tadi yang merakamkan 70 buah puisi dalam naskhah tersebut, yang mengajak masyarakat berfikir melihat dunia.

YB Nancy Shukri, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.

Selain menantikan jawapan terhadap persoalan yang dikemukakan dalam karya Puisi Ganjil SaTU! dan kepentingan menghasilkan karya sastera, YB Dato’ Sri Hajah Nancy turut menyentuh tentang peri mustahak meningkatkan jumlah buku di Malaysia kerana industri buku merupakan cabang kepada sektor ekonomi yang bertaraf global.

Menurut beliau, memetik statistik Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu atau (UNESCO), pengeluaran bahan terbitan seharusnya sekurang-kurangnya satu peratus daripada jumlah penduduk.

Oleh hal yang demikian, penerbit buku perlu lebih giat menghasilkan produk. Ulas beliau lagi, karya sastera mahupun bahasa perlu dihasilkan dengan kandungan yang menyuntik elemen budaya, citra dan identiti tempatan.

Karya baharu R. Hamkama terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).

Kumpulan Puisi Puisi Ganjil SaTU! karya YBhg. Tan Sri Dato’ Sri Hamad Kama Piah Che Othman atau nama penanya, R. Hamkama yang dilancarkan pada petang ini menampilkan 70 buah puisi dan merupakan telahan serta pengamatan beliau akan pesona sebuah dunia yang kian ganjil. Puisi ini disusun dalam sifir yang tersirat dan para pembaca akan dapat menemukan takrifnya yang tersendiri setelah meneliti setiap bait puisi tersebut. Ujar R. Hamkama,

Puisi merupakan cara saya lepaskan tekanan dan membolehkan diri ini berekspresi.

Bagi R. Hamkama, menulis puisi bagaikan sebuah terapi di sebalik kekacauan dan gundah gulana di tempat kerja ataupun persekitaran yang berserabut. Oleh itu, dengan menghasilkan puisi, perkara ini memberikan perspektif yang baharu untuk melihat dunia.

YBhg. Tan Sri Dato’ Sri Hamad Kama Piah mengulas buku baharu beliau dan menyatakan harapan beliau kepada pembaca di Bilik Kuala Lumpur, WTC.

Ketika membicarakan karya ini, Sasterawan Negara, YBhg. Dato’ Rahman Shaari menjelaskan bahawa sajak-sajak R. Hamkama mengajak kita berfikir dan pembaca akan terus berada dalam pencarian makna.

Oleh itu, beliau menggunakan pendekatan teori resepsi dalam mengulas tentang karya ini. Beliau menyifatkan puisi yang dihasilkan oleh R. Hamkama mengangkat tema kehidupan yang bersifat abstrak dan memerlukan tanggapan tersendiri untuk merungkai maknanya. Melalui teori resepsi, pembaca akan berfikir secara kritis dan mentafsir untuk memahami makna dan pemikiran sesebuah sajak yang dinukilkan oleh penulis.

Sasterawan Negara, YBhg. Dato’ Rahman Shaari.

Bagi Timbalan Ketua Pengarah (Dasar), DBP, YBrs. Tuan Haji Md. Johari Hasan pula, DBP akan sentiasa membuka ruang kepada para penulis untuk menerbitkan karya dengan DBP. Bantuan, bimbingan dan latihan kepada semua akan diberikan agar dapat menghasilkan karya yang bermutu tinggi.

Timbalan Ketua Pengarah (Dasar), DBP, YBrs. Tuan Haji Md. Johari Hasan.

Sebelum berakhir, majlis turut diserikan dengan persembahan nyanyian dan lagu puisi oleh YBrs. Dr. Shafa’atussara Silahudin bersama-sama kumpulan klasik Malaya dari Universiti Malaya. Istimewanya persembahan ini ialah YBrs. Dr. Shafa’atussara menendangkan lagu yang dipetik daripada buku tersebut, “Di situ Tempat Bertemu”.

Persembahan oleh YBrs. Dr. Shafa’atussara diiringi oleh Kumpulan Klasik Malaya dari Universiti Malaya.

Turut hadir bersama-sama dalam majlis pelancaran tersebut ialah mantan Ketua Pengarah DBP, YBhg. Datuk Abang Sallehuddin Abg Shokeran; Timbalan Ketua Pengarah (Operasi), Encik Zulfa Hamzah; Pengarah Jabatan Penerbitan, Puan Fauzilahyatun Mustafa; dan Pengarah Jabatan Dasar dan Penyelidikan, Tuan Haji Razali Che Mat.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.