Oleh Suyuthi Yusuf
22 Disember 2023, 21:05

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Buku Daku Kembara Lagi: Manifestasi Lukisan dan Puisi nukilan Mazlan Noor Along telah merangkul Buku Umum Terbaik (Puisi) dalam majlis penganugerahan Anugerah Buku Negara 2023 yang berlangsung di Hotel Seri Pasific pada petang tadi. Majlis tersebut telah dirasmikan oleh Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tuan Yang Terutama Tun Seri Setia Dr. Haji Mohd Ali Mohd Rustam.

Encik Ruslan Abdull Raffar (dua dari kiri), Ketua Editor Bahagian Buku Sekolah dan Puan Zaharahanum Kamarudin, Editor Bahagian Buku Sastera (wakil daripada DBP) ketika menerima anugerah Buku Umum Terbaik (Puisi) Anugerah Buku Negara 2023.

Buku Daku Kembara Lagi: Manifestasi Lukisan dan Puisi merupakan buku yang unik dan istimewa kerana buku ini menggabungkan tulisan puisi, esei dan lukisan oleh Mazlan Noor Along (yang lebih dikenali sebagai Along).

Puan Zaharahanum Kamarudin, Editor Bahagian Buku Sastera DBP ketika ditemu bual oleh wartawan JendelaDBP menyatakan bahawa proses penerbitan buku Daku Kembara Lagi: Manifestasi Lukisan dan Puisi ini sangat mencabar dan getir kerana dilakukan ketika dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Proses penerbitan buku ini sedikit renyah kerana terpaksa dilakukan di rumah. Oleh itu, terdapat beberapa kekangan tertentu yang terpaksa dihadapi dalam proses penerbitannya. Puisi nukilan oleh Along terlalu banyak, jadi saya harus meneliti sebaik-baik mungkin puisi-puisi tersebut.

Menurutnya lagi, penulis juga berjuang untuk menempatkan puisi-puisi terbaik dalam naskhah ini. Mengulas tentang keunikan buku ini yang merupakan gabungan antara puisi, esei dengan lukisan, beliau menyatakan bahawa penulis mempunyai tema tertentu terhadap lukisan-lukisan yang terdapat dalam buku ini walaupun lukisan-lukisan tersebut berbentuk abstrak.

Along mempunyai tema-tema khas yang berkaitan dengan lukisan-lukisan tersebut. Terdapat keserasian antara lukisan dengan puisi yang ditampilkan. Kebanyakan puisi bertemakan ketuhanan, keinsafan, perjuangan rakyat, dan keadilan. Walaupun puisi dan lukisan tidak dibuat secara bersama-sama, namun apabila disusun dengan sangat baik oleh Along, kelihatan lukisan dan puisi tersebut selari dari aspek mesej yang hendak disampaikan.

Menjelaskan keistimewaan buku ini, beliau menyatakan bahawa pembaca akan mendapat ketenangan apabila membaca buku ini kerana “bunyi” puisi-puisi melengkapi lukisan-lukisan yang terdapat dalam buku ini. Semua lukisan yang dihasilkan merupakan ciptaan asli Along.

Bercakap tentang perwatakan dan keperibadian penulis, beliau menerangkan bahawa Along merupakan penulis yang kreatif dan kritis serta sering memastikan reka letak buku ini bukan sahaja bersesuaian dengan kehendak beliau, tetapi turut akur dengan gaya dan kaedah penerbitan DBP selaku penerbit.

Along memberikan kerjasama yang sangat tinggi bagi memastikan buku ini terbit walaupun terpaksa berhadapan dengan PKP.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.