Oleh Suyuthi Yusuf
22 Disember 2023, 19:52

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Buku Hegemoni Kepengarangan A. Samad Ismail karya Profesor Dr. Azhar Wahid telah merangkul Buku Biografi Terbaik (Tokoh Kewartawanan) dalam majlis penganugerahan Anugerah Buku Negara 2023 yang berlangsung di Hotel Seri Pasific pada petang tadi.

Majlis tersebut dirasmikan oleh Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tuan Yang Terutama Tun Seri Setia Dr. Haji Mohd Ali Mohd Rustam.

Profesor Dr. Azhar Wahid (dua dari kiri), penulis buku Hegemoni Kepengarangan A. Samad Ismail ketika menerima Anugerah Buku Negara 2023 bagi kategori Buku Biografi Terbaik (Tokoh Kewartawanan).

Buku Hegemoni Kepengarangan A. Samad Ismail merupakan buku yang mengupas dan meneliti karya-karya A. Samad Ismail melalui pendekatan dan analisis Teori Strukturalisme Genetik dan Teori Hegemoni.

Melalui pengaplikasian teori tersebut, maka pembaca dapat mengenali dan memahami jati diri A. Samad Ismail sebagai pengarang yang memiliki idealisme tertentu menerusi pembacaan terhadap novel-novelnya.

Profesor Dr. Azhar Wahid yang sekarang merupakan pensyarah di Fakulti Bahasa dan Komunikasi, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) ketika ditemu bual oleh wartawan JendelaDBP menyatakan bahawa buku tersebut merupakan hasil penyelidikannya ketika melakukan kajian di Peringkat Sarjana dan Doktor Falsafah.

Pada mulanya, saya hanya membaca dan melakukan kajian terhadap cerpennya yang bertajuk ‘Ingin Jadi Pujangga’. Selepas itu, saya mendapati bahawa ada sesuatu yang menarik yang memerlukan penelitian lanjut terhadap novel-novelnya.

Beliau juga menjelaskan bahawa penelitiannya terhadap novel-novel A. Samad Ismail membawanya ke tempat-tempat yang diceritakan dalam novel tersebut seperti di Singapura.

Selain itu, dalam melakukan kajiannya itu, beliau juga sempat menemu bual A. Samad Ismail sendiri bagi mendapatkan maklumat tambahan dan pandangan idealismenya.

Bagi Profesor Dr. Azhar Wahid, kehebatan A. Samad Ismail sebagai seorang penulis sastera ialah kemampuannya dalam menyusun zaman dalam novel-novelnya.

Dalam kebanyakan karya-karyanya, pembaca akan dapat melihat bahawa terdapat peristiwa menarik yang berlaku dalam setiap zaman yang diceritakannya. Ketika ditanya tentang novel terbaik A. Samad Ismail pilihannya, beliau menjawab:

Novel Patah Sayap Terbang Jua

Novel Patah Sayap Terbang Jua merupakan novel terbaik A. Samad Ismail pilihan Profesor Dr. Azhar Wahid.

Pembaca boleh mendapatkan buku Hegemoni Kepengarangan A. Samad Ismail di Kedai Buku DBP atau menerusi pembelian secara dalam talian melalui https://www.dbpniaga.my/Inventori/Detail_Inventori?i=NzY0Ng==

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.