Oleh Hidayyah AT Mizi
21 Julai 2023, 10:42

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Hidayyah AT Mizi meneliti kumpulan puisi Warna Manusia & Oyen Melukis Sinekdok.

Sajak-sajak dalam Warna Manusia & Oyen Melukis Sinekdok dapat dikategorikan sebagai puisi esei, tetapi ditulis dalam gaya yang lebih kontemporari.

Ketika membaca kumpulan puisi Warna Manusia & Oyen Melukis Sinekdok (Kata-Pilar, 2023) oleh Afiifah Shariha, saya mencari-cari hubungan antara sajak-sajak dalam buku ini dengan pemikiran, struktur dan emosinya. Buku ini terpilih sebagai antara lima finalis akhir bagi sayembara Hadiah Puisi T. Alias Taib. Tidak dapat dinafikan bahawa “garis kepuasan” (expectation) yang saya letakkan ketika menikmati sajak-sajak dalam buku ini sememangnya tinggi.

Afiifah dalam judul kumpulan ini menggunakan kata ‘sinekdok’ yang bermaksud mewakili. Dalam kumpulan ini, sinekdok yang dimaksudkan merujuk Oyen, iaitu cubaan mewakili kucing sebagai Oyen. Dalam prakata, Afiifah menerangkan bahawa dia menyukai kucing namun tidak mampu meriba haiwan jinak ini. Perasaan itu mampu saya fahami kerana saya juga begitu. Mungkin atas hal ini, maka tercetusnya idea untuk menulis puisi dari dua sudut pandang, manusia dan kucing.

Pada bacaan pertama, saya cuba mengenal pasti perbezaan antara suara penulis, suara kucing dengan fakta. Celaru.

Pada bacaan kedua pula, saya mula menganalisis bentuk dan struktur puisi. Jumpa.

Pada bacaan terakhir, saya mahu diulit perasaan. Gagal.

Jadi, selepas menyudahkan bacaan pada kali ketiga, saya mula menghubungkan ketiga-tiga unsur (pemikiran, struktur dan emosi) dan mendapati hal yang paling dominan ialah struktur. Berbincang tentang struktur, sajak-sajak dalam Warna Manusia & Oyen Melukis Sinekdok dapat dikategorikan sebagai puisi esei, tetapi ditulis dalam gaya yang lebih kontemporari dan relevan dengan hal semasa, serta menggunakan penggayaan bahasa yang minima.

Apa itu Puisi Esei?

Secara asasnya, puisi esei merupakan cerita pendek berbabak yang dipuisikan. Ciri khas sesebuah puisi esei ialah nota kaki.

Pada tahun 2006, John Bar mengkritik puisi kerana bahasa puisi yang susah difahami menyebabkan genre ini tidak berkembang. Ketika menanggapi isu kerumitan bahasa dalam puisi, Danny Januar Ali (Danny JA) mengemukakan secara kreatif sebuah buku yang menggabungkan medium puisi dan esei dalam bukunya bertajuk Atas Nama Cinta (2012). Secara umum, puisi esei mempunyai empat kriteria bagi memenuhi aspek penilaiannya, iaitu:

  1. Menyentuh hati.
  2. Mengungkapkan kehidupan sosial manusia secara konkrit.
  3. Menggunakan bahasa yang mudah difahami dan indah.
  4. Menggambarkan dinamika sosial atau watak utama dalam cerita.

Berdasarkan keempat-empat kriteria di atas, naskhah Warna Manusia & Oyen Melukis Sinekdok menepati struktur sebuah kumpulan puisi di bawah medium puisi esei.

Penggunaan Teknik Alusi Gagal Ditulis dengan Sebaiknya

Penggunaan teknik alusi dapat meningkatkan keupayaan penulis dalam usaha menyelitkan pemikiran dan lapis makna sesebuah puisi. Alusi merupakan gambaran atau hal yang sudah pun diketahui umum. Contohnya kes wabak COVID-19, tsunami, Tun Teja, Nabi Muhammad SAW, Naga Tasik Chini, dan Dayang Senandung. Hal-hal yang dinyatakan merupakan antara contoh jelas yang diketahui umum tanpa perlu diterangkan dengan lebih mendalam. Namun begitu, teknik ini gagal diguna pakai dengan baik oleh penulis sajak buku ini.

Terlalu banyak glosari dan dapatan fakta yang disisipkan, hampir dalam setiap puisi dalam naskhah ini. Saya agak terkilan kerana watak dalam Harry Potter, contohnya, tidak perlu pun diglosarikan. Sisi bijaksana dan kreatif penulis dalam meletakkan imej dan watak-watak lain dalam puisi dihapuskan dengan kehadiran glosari ini. Momen “Wah!” akhirnya berubah “Oww!”

Meski antara kekuatan puisi esei adalah untuk memasukkan maklumat berkaitan sesuatu sebagai rujukan, namun tugas penulis puisi adalah untuk menggunakan instrumen yang ada sebaik-baiknya dalam menghasilkan puisi yang indah.

Puisi akan hilang keindahan jika dimasukkan dengan terlalu banyak disertasi maklumat dan fakta seperti esei. Penggunaan nota kaki jika digunakan sebaiknya mampu menjadi kekuatan untuk sesebuah puisi. Dalam puisi, maklumat digubah menjadi “tanda”. Isu kerumitan bahasa puisi lebih mudah dihuraikan sekiranya penulis bijak menggunakan tingkat komunikatif tinggi dalam puisi, tanpa menjadikan sesebuah puisi bersifat didaktik.

Kegagalan Membezakan Sudut Pandang Penulis dan Watak

Barangkali, kerana terlalu banyak rahsia yang mahu diselindungkan, jadi suara penulis menghilang. Namun begitu, dengan konsep yang penulis pilih, sepatutnya hal sebegini tidak berlaku. Hal ini kerana, penulis bebas menggunakan ruang sudut pandang penulis dan watak bagi menjelmakan pemikirannya. Dan hal ini termasuk unsur rahsia. Penulis sepatutnya perlu lebih banyak bercerita tanpa bercerita, atau menterjemah “rahsia” dalam ruang kelabu antara sudut pandang penulis dengan watak.

Dalam puisi esei, penulis berpeluang untuk bereksperimen dengan ruang kata. Selain tubuh puisi, puisi esei mempunyai nota kaki. Saya berpendapat, naskhah ini akan lebih menyerlah sekiranya suara penulis dibina dalam tubuh puisi manakala suara Oyen diceritakan dalam nota kaki.

Dengan perbezaan yang lebih jelas dan teratur, penulis akan lebih mudah melencongkan pemahaman pembaca kepada hal yang ingin dikongsi, sekali gus menyorokkan “rahsia” yang tidak mahu dibongkar. Dengan dua sudut pandang ini, suara penulis akan menjadi lebih jelas dan terbuka. Selain itu, dengan membina karakter Oyen yang lebih terbuka, nakal, suka memerhati, manja, penting diri, dan batu api, puisi yang ditulis akan lebih hidup dengan emosi-emosi yang pelbagai.

Dalam naskhah ini, Afiifah Shariha berpeluang untuk membina dua suara dominan. Suara penulis dalam puisi dan suara Oyen dalam nota kaki. Namun begitu, ruang ini gagal digunakan sepenuhnya. Watak Oyen tidak mempunyai karakter dan tidak memberikan sebarang impak pada pembinaan puisi. Sebaliknya, watak Oyen menjadi watak tempelan kepada penulisnya. Penulis meletakkan sudut pandangnya kepada watak. Kesannya, watak Oyen sangat biasa dan kewujudannya dalam puisi tidak memberi mahupun mengangkat makna.

Sudah tentu, tidak semua puisi perlu mempunyai pemikiran. Sesebuah puisi kadangkala menjadi puitis kerana nyala rasa dan bahasa yang digunakan. Tidaklah berlebihan kalau saya segmentasikan pemikiran, bahasa dan perasaan sebagai alat yang mengindahkan sesebuah puisi. Namun kita sedang berbincang tentang naskhah calon pemenang dalam sayembara. Oleh itu, meskipun pemikiran merupakan antara alat bantu penciptaan sesebuah puisi, keperluannya dalam membangunkan konsep sesebuah buku sangat penting sebagai penanda aras kepada peserta sayembara seterusnya.

Adakah naskhah ini layak menjadi finalis sayembara?

Semestinya. Kekuatan naskhah ini adalah pada strukturnya. Meski ada beberapa hal yang boleh ditambah baik, namun usaha memperkenalkan puisi esei ini merupakan suatu usaha yang sangat mengujakan.

Manusia takutkan apa yang tidak diketahui. Begitu juga, perlecehan berlaku kerana kita tidak memahami.

Harapan saya, seperti Gaun Bulan (2018) yang berjaya menarik ramai penulis menghargai puisi prosa, diharapkan naskhah Warna Manusia & Oyen Melukis Sinekdok akan menjadi rujukan puisi esei yang lebih menarik untuk dibaca.

Kredit Gambar: Kata-Pilar Books

_________________________

Hidayyah AT Mizi ialah penulis dari Perak. Beliau banyak menyumbangkan puisinya di beberapa media massa. Kata-kata yang Muncul di Cermin (Kata-Pilar, 2021) merupakan kumpulan puisi sulungnya.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.