Oleh Karmila Azmi
22 Mac 2024, 14:52

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – “Saya ingin menonjolkan T. Alias Taib sebagai pembaca watak, melihat kehidupan dari sudut pandang seorang penyair,” itu kata pengarang, Wan Nor Azriq ketika mengulas mengenai kumpulan puisi T. Alias Taib yang terkini, Pembaca Watak.

Wan Nor Azriq dalam sesi Moreh Puisi: T. Alias Taib: Membaca Watak Seorang Penyair anjuran Kata-Pilar Books pada Rabu lalu menyebut, ada dalam puisi-puisi tokoh itu merakamkan pandangannya terhadap orang di atas pentas, misalnya opera.

“T Alias Taib sentiasa melihat kehidupan dari sudut pandang seorang penyair dan dia juga seorang yang teliti dengan bahasa yang dipilih,” katanya.

Dalam acara yang dimudahcarakan oleh penulis, Fahd Razy, Wan Nor Azriq menyebut hubungannya dengan penyair kelahiran Terengganu itu agak unik kerana hal itu bermula dengan pembacaan sajak tulisan T. Alias yang dijadikan teks KOMSAS.

“Namun saya tidak berpeluang berkenalan dengannya atau melihatnya berbanding beberapa penyair lain.

“Sebaliknya, saya mengenalinya melalui karya, ruang peribadi di rumahnya dan ahli keluarga. Namun masih rasa intim dengan sajak-sajaknya, walaupun sebenarnya sajaknya bukan memberi ketenangan, ada juga yang bitter,” katanya.

Tegas Wan Nor Azriq, T. Alias Taib dikenali dengan imej kotanya dalam pelbagai sudut dan perwatakan. Pada peringkat awal bacaannya, sajak dalam kumpulan puisi Piramid yang paling menonjol ketika itu.

Katanya, pengalaman membaca puisi T. Alias sebenarnya mengambil masa lama kerana setiap bacaannya kerap membawa pengalaman berbeza.

“Walaupun sebelum ini saya sudah membaca naskhah itu, tetapi apabila hendak menyusun puisi-puisinya, apabila dibaca semula, ia memberi pengalaman baharu atau pentafsiran baharu setiap kali diulang baca.

“Apabila membaca semula untuk terbitan, saya perlu menimbang banyak perkara kerana kebanyakan penulis, dia akan mengulang imej atau latar tertentu. Jadi ada sajak yang lebih kurang sama atau ke arah yang sama.

“Mana-mana yang bertindan saya pilih satu dua saja,” katanya.

Katanya lagi, pada peringkat awal, sajak-sajak T. Alias Taib banyak dipengaruhi oleh Rendra, tetapi beliau mula menemui rentaknya misalnya menerusi Piramid.

Pada peringkat awal juga kata Wan Nor Azriq, puisi-puisi penyair itu terlalu panjang dan seakan-akan luahan perasaan tetapi masih ada keunikannya, misalnya cara beliau memilih imej, metaforanya sangat cekap bermain dengan personifikasi.

“T. Alias Taib tidak berpeluang menghasilkan buku yang teruk,” katanya.

Katanya, jika membaca sajak-sajak Terengganu tulisan beliau, akan sentiasa ada perasaan romantik terhadap kampung halaman dan imej ini dibandingkan dengan kota yang dingin dan kaku tapi menggerakkannya.

“Ironi ialah kekuatan T. Alias Taib. Ironi kehidupan antara apa yang dia ingin secara ideal sebagai penyair dan bagaimana kehidupan adalah bertentangan dengan itu,” katanya.

Beli kumpulan puisi Pembaca Watak di sini.

Kredit Gambar: Kata-Pilar Books

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.