6 Oktober 2023, 18:05

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Seberang Takir – Program “Petang Condong di Seberang Takir: T. Alias Taib dalam Kenangan” diilhamkan daripada buku kumpulan sajak T. Alias Taib bertajuk Petang Condong (1996).

Persatuan Penyair Malaysia (PENYAIR), Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Timur (DBPWT) dan Kementerian Pelancongan Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) dengan kerjasama Universiti Malaysia Terengganu (UMT) mengambil inisiatif melaksanakan program tersebut bagi mengingati dan mengenang jasa beliau dalam dunia kepenyairan, sastera dan budaya.

T. Alias Taib (1943-2004) dilahirkan dan dibesarkan di Terengganu. Beliau berpindah ke Kuala Lumpur pada tahun 1974 dan menghabiskan profesion perguruan sehingga bersara. Beliau mula menulis sejak tahun 1960-an lagi. Antaranya karya yang dihasilkannya ialah Laut Tak Biru Di Seberang Takir (1972), Pemburu Kota (1978), Seberkas Kunci (1985), Opera (1988), Piramid (1990), Petang Condong (1996) dan Pasar Pengalaman (2004).

Beliau mencari makna hidup di luar dan di dalam dirinya, serta melebarkan cakerawala pengalaman dan pemikirannya di dalam dan di luar tanah air. Beliau pernah menghadiri Persidangan Penyair Asia di Seoul, Korea Selatan, mengikuti penataran sastera anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka di Jakarta, Indonesia, mengikuti delegasi Persatuan Penulis Nasional (PENA) ke London, Paris, Frankfurt, Istanbul, Amman dan Kaherah serta pernah dilantik sebagai penulis tamu di Taipei, Taiwan serta pernah mewakili Malaysia dalam Festival Puisi Antarabangsa, Taipei.

Seterusnya pada tahun 2004, beliau dipilih untuk menjadi penulis tamu menerusi program The International Writing Program (IWP) di Universiti Iowa, Amerika Syarikat tetapi akhirnya beliau menemui pencipta-Nya, hanya beberapa hari sebelum berangkat ke sana. Beliau meninggal dunia pada 17 Ogos 2004 di kediamannya.

Dari kiri: SN Rahman Shaari, Dr. Mohamad Shaidan, Dr. Azman Ismail, dan Tuan Sharif Putera.

Sasterawan Negara (SN) Rahman Shaari selaku Presiden PENYAIR dalam ucapannya berkata bahawa program ini memberikan pendedahan kepada generasi baharu tentang jasa dan pelibatan T. Alias Taib dalam mengembangkan sastera, khususnya tentang penulisan puisi selain menanamkan minat kepada khalayak tentang hal tersebut.

Muhamad Ikhram Fadhly Hussin, mewakili Pengarah DBPWT berharap agar karya T. Alias Taib terus diterbitkan agar dapat dibaca dan dikaji oleh masyarakat dan pencinta puisi.  Selain itu, puisi-puisi T. Alias Taib yang sesuai juga boleh dijadikan teks untuk pertandingan puisi pada peringkat sekolah dan peringkat yang lebih tinggi. Usaha penganjuran seperti Hadiah Puisi T. Alias Taib oleh Penerbitan Kata Pilar juga wajar diraikan dan dikembangkan.

Salmah Ayub (kanan), isteri Allahyarham T. Alias Taib berkongsi pengalaman tentang kehidupan T. Alias Taib.

Program tersebut dimulakan dengan sesi “Bicara Tokoh T. Alias Taib” melibatkan SN Rahman Shaari, Sharif Putera (Sasterawan Terengganu) dan Dr. Azman Ismail (ASWARA) dan dipengerusikan oleh Dr. Mohamad Shaidan. Pada sebelah malamnya pula diadakan acara “Baca Puisi mengenang T. Alias Taib” yang melibatkan 30 orang pendeklamasi yang disulami dengan persembahan lagu puisi, lagu rakyat Terengganu dan puisi tari oleh pihak UMT.

Persembahan lagu puisi T. Alias Taib.

Sharif Putera merupakan antara penulis paling akrab dengan T. Alias Taib. Beliau menyatakan bahawa beliau mengenali T. Alias Taib sejak tahun 1963 lagi. Ujarnya,

Tempat kami bertemu ialah di Kedai Buku Yusof di stesen bas dan di Pejabat Mergastua. Penulis yang kami selalu temui ialah Yusof Al-Bakri, wartawan sambilan BH dan NST di pejabatnya. Kami sudah menjadi guru pada waktu itu. Pergaulan dengan Yusof mendorong kami untuk menulis. Saya menulis berita, rencana, cerpen dan sajak. Tengku pula berminat menulis sajak dan cerpen.

Beliau juga turut menyatakan bahawa pada peringkat awal penulisan, T. Alias Taib menggunakan nama pena Ali A.S (Alias) dan cerpen awalnya terbit dalam majalah Angkatan Baru.

Dr. Azman Ismail dalam sesi yang sama berpandangan bahawa T. Alias Taib sering meletakkan dirinya sebagai seorang yang neurosis dan manusia tragik yang merenung, mencari dan mengeksplorasi pelbagai isu yang kemudian diadun serta dicerakin menjadi imej-imej emosi dan konflik psikologi dalam setiap puisinya. Setiap isu tersebut digambarkan dengan wacana metaforik yang begitu teliti dan bijak sebagai jalan keluar (escapism) untuk dikongsi dengan para pembacanya. Jelasnya,

Membaca puisi-puisi beliau telah membawa para pembaca untuk turut belayar di lautan emosi kata yang penuh dengan simbol-simbol tentang kemanusiaan, ketuhanan, pengalaman dan pengembaraan diri.

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.