Oleh Rosli K. Matari
16 Ogos 2023, 14:46

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Rosli K. Matari yang berjaya tampil sebagai penerima Hadiah Utama bagi sayembara Hadiah Puisi T. Alias Taib baru-baru ini, rupa-rupanya menyimpan beberapa kenangan menarik antara peribadi dirinya dengan Allahyarham T. Alias Taib. Ikuti keindahan kenang-kenangan ini.

Itulah kata-kata suara T. Alias Taib yang pertama kali saya dengar. Di Pasar Seni, Kuala Lumpur, beberapa puluh tahun yang lalu.

Tulisan ini tidaklah kerana ingin menonjolkan diri, justeru saya memenangi Hadiah Puisi T. Alias Taib, baru lepas. Namun dalam merenung, apa-apa yang terselindung di belakang sejarah, menarik juga untuk dikongsikan dan diketahui bersama. Terutama, tidak mustahil, kemungkinan akan ada pemanfaatan kelak pada apa-apa kepentingan tertentu lain lagi.

Pada juring masa ketika usai majlis pengumuman pemenang dan penyampaian hadiah bagi pertandingan Hadiah Puisi T. Alias Taib, antaranya, saya sempat ditanya oleh kawanan tiga empat orang adik muda – semua perempuan – tentang kemungkinan, saya ada apa-apa kenangan bersama-sama tokoh penyair T. Alias Taib.

Tentu kerana pada fikiran mereka, suatu hal yang lumrah, lingkungan penyair adalah saling mengenali. Walau tidaklah semesti secara menyeluruhnya.

“Adik-adik wartawan, ya?” pada awalnya, terfikir begitu oleh saya, justeru salah seorangnya siap di tangan membuka buku nota.

“Tidak,” mereka ketawa, “sahaja ingin tahu.”

Saya senyum, dapat menduga, lalu memberitahu, “Ada juga, satu dua kenangan. Tetapi tidak akan sempat untuk Abang cerita pada ruang dan majlis ini.”

“Abang tulis nanti, ya. Nanti, kami cari, baca.”

Tentu sahaja, saya harus mengangguk, mengelak sombong.

“Ini, Rosli, ya?”

Itulah kata-kata suara T. Alias Taib yang pertama kali saya dengar. Di Pasar Seni, Kuala Lumpur, beberapa puluh tahun yang lalu.

Kami terserempak di situ. Lalu segera bersalaman. Akan tetapi, beliaulah yang paling lambat melepaskan genggaman tangan. Sangat terasa, betapa mudah akrabnya beliau, walau pada pertemuan pertama.

“Abang dapat tahu Rosli ada di sini. Ladin Nuawi beritahu, kelmarin,” beliau membahasakan dirinya sebagai “Abang” – bukan “saya” sebagai ganti nama diri. Lagi sekali, saya berasa betapa bertambahnya akrab dengan beliau. Tentu, Ladin jugalah yang memberitahu atau menunjuk. Saya kebetulan sedang berada juga di situ, petang itu.

Pada masa itu, saya baru awal atau mungkin hampir ke pertengahan usia, sekitar 20-an. Sajak pun hanya sekali dua sahaja mengirim, tersiar pun setahun. Oleh itu, sebagai penyair muda atau mungkin masih sebagai pelapis, gembira hati bukan kepalang dapat bertemu beliau. Tokoh penyair ternama.

Pasar Seni, tempat mudah untuk bersapa dengan penyair.

Mudah untuk terserempak dengan T. Alias Taib di Pasar Seni kerana beliau suka bersiar-siar di situ. Teringat saya pada kata-kata yang diberitahu oleh Ladin Nuawi, “Sekalo, Pak Ku (Tengku) Alias pun ado. Maghi sokmo sini.”

“Abang memerhatikan sajak-sajak Rosli,” kata beliau kepada saya. Terasa bagai kembang dua lapis hidung saya mendengar kata-kata itu daripada penyair terkemuka.

Dan, saya tidak beranggapan yang beliau sengaja ingin memanis-maniskan kata. Justeru, beliau dapat menyebutkan, beberapa judul sajak yang lekat dalam ingatannya. Antaranya, sajak yang saya cipta mengenai dalang tersohor Kelantan, Dollah Baju Merah.

Saya melengung sejenak, kerana tempoh masa tersiar sajak tentang Dollah Baju Merah sudah sebegitu lama benar, dengan jarak masa pertemuan kami ketika itu. Mendalam benar ingatannya.

Beliau mengajak saya beredar ke luar Pasar Seni. Membelanja saya minum kerana saya sudah makan. Dalam perbualan, beliau memberitahu yang beliau suka membaca novel cinta, terutamanya novel popular dari Indonesia. Kami bersama-sama tertawa.

Saya tahu, beliau tentu menduga, saya akan terkejut besar mendengar pengakuan itu. Memanglah. Tentu sahaja saya terkejut besar. Menyangka yang, beliau lebih gemar membaca buku puisi dan sastera umum yang serius. Jika novel sekalipun, tentulah bukan kisah cinta. Namun, bagai suatu pengetahuan terbalik pula, bagi saya, mengenai minat besar bacaan beliau itu.

Saya menduga, antara faktor dan signifikan pada minat bacaan itu, dapat menyegarkan imaginasi, di samping kekadang ditemukan pengucapan bahasa indah.

Namun, kesegaran imaginasi itu bukan terhadap cinta. Sebaliknya, meningkatkan rangsangan dan kebijaksanaan pemikiran kepada pelbagai imaginasi lain. Demikian juga, pada pengucapan bahasa, boleh membantu peluasan imaginasi dan keindahan pengungkapan lain lagi.

“Bacalah,” saran beliau. Saya gelak, tersenyum.

Kami tidak lanjut berkongsi perbincangan tentang hal itu kerana beliau tahu, kami berbeza minat. Namun, saya tetap menghormatinya kerana beliau bijak pada prinsip tersebut. Unik juga mandirinya demikian, fikir saya. Oleh itu, sembang kami saling mencelah pada hal-hal lain, namun lebih banyak seputar sastera dan puisi.

“Pada fikiran Rosli, bagaimana cara hendak menjadi penyair besar?”

“Jangan gelojoh. Simpan draf lama-lama. Baiki dan baiki.”

Beliau mengangguk.

Saya bertanyakan kumpulan puisi pertama beliau, terbit secara stensilan, Laut Tak Biru di Seberang Takir. Tidak saya miliki. Diterbitkannya di Kuala Terengganu, lama sebelum beliau berhijrah, berpindah mengajar di ibu kota.

“Rosli tahu, ya? Tentang kreativiti awal Abang?”

Saya mengangguk. Beliau termenung sejenak, menggeleng dan mengeluh. Meletakkan kedua-dua tangannya pada kedua-dua bahu saya. “Maaflah. Abang tidak ada lagi kumpulan itu. Jika tidak, boleh pinjam untuk fotostat. Abang pun hendak kena cari semula.”

“Kumpulan itu bukanlah puisi Abang yang baik. Banyak juga yang lemah.” Kemudian, beliau menyambung lagi dengan gelak kecil, “Sekarang, kalau fikir balik, rasa malu juga dengan kumpulan itu. Tetapi pada masa itu, Abang didorong oleh rasa ingin memiliki kumpulan puisi sendiri. Mungkin, Abang gelojoh.” Malah, sempat pula dipesan, “Rosli jangan gopoh dan gelojoh.”

Saya senyum, gelak dan mengangguk. Kemudian, saya cepat mencelah, “Semua penyair tidak terus bermula dengan puisi yang sempurna.”

Beliau mengangguk.

Namun, beliau tercengang dan terpaku ketika saya memberitahu, semasa zaman sekolah rendah – darjah lima atau enam – pernah membaca kisah dirinya sebagai penyair. Rencana itu tersiar dalam majalah Mastika. Saya tidak ingat siapa penulisnya.

“Dari zaman sekolah rendah lagi?”

Saya senyum.

“Jadi, Rosli tahu Abang kena marah oleh pensyarah?” beliau bermaksud pada rencana itu.

Saya mengangguk.

Beliau gelak. Tetapi gelaknya sopan, bagai pemalu. Lalu, sayalah yang bercerita kembali akan isi, seputar rencana itu. Beliau mendengar, bagai asyik pula, sesekali senyum lebar dan gelak. Namun pada saya, tingkahnya lebih bagai kasih, melayan dengar tutur adik muda.

“Sejarah yang tidak dapat disembunyikan,” ujarnya.

Saya tidak dapat pastikan, sama ada kata-kata itu sebagai penegasan atau mungkin keluhannya. Pandangannya tepat ke lantai, ketika mengujar demikian. Mungkin, seakan-akan terbayang, terkenang kembali olehnya akan peristiwa itu.

T. Alias Taib di belakang, mengiringi Muhammad Haji Salleh. Dengan tinggi lampainya, T. Alias kacak segak sekali dengan baju jaketnya. Berwarna kuning agak-agak koko. Diperbuat daripada kulit.

T.Alias Taib bermula titik penulisan puisinya dengan memplagiat sebuah puisi. Demikian, antara isi rencana itu menceritakan.

Ketika di sebuah maktab perguruan. Tidak sempat masa untuk menyiapkan tugasan puisi, sementelah tidak yakin akan mahir mencipta puisi bermutu, maka beliau mengambil jalan mudah. Menyalin sebuah puisi daripada akhbar mingguan, terbitan tulisan Jawi. Tanpa meminda, walau sepatah perkataan.

Sama sekali, tidak menyangka bahawa puisi itu, awalnya sudah pun turut dibaca dan diketahui oleh pensyarahnya. Maka, apalagi! Dipanggil. Disoal. Dimarahi oleh pensyarahnya.

Dari titik itulah, bermula T. Alias menekuni kreativitinya sendiri. Tanpa kisah lucu daripada insiden plagiat itu, beliau mungkin tidak dikenal masyhur sebagai penyair besar, sebagaimana kini.

Periode awal kepenyairan T. Alias Taib, jika tidak silap ingatan bacaan saya, adalah dengan menggunakan nama samaran “Ali A.S.” Pada nama ini, kalau ingatan saya masih lagi tepat, jelas beliau, bijak menyamarkan kata nama asalnya, Alias, kepada ubahan anjakan sebagai Ali A.S. Jika dicantumkan semula secara sepenuhnya, tetap kekal berbalik sebagai Alias. Nama asal, sebagai nama sebenarnya.

Dari tempat pertemuan bersembang itu, beliau menghantar saya ke Daya Bumi kerana saya hendak ke sana. Ada janji temu dengan penyair Azmi Yusoff (Allahyarham). Diminta saya menunggu di situ. Azmi bagai abang saya kalau di KL.

“Kalau Rosli hendak datang ke KL, kirim poskad awal kepada Abang. Tak payah bersusah hendak tulis surat. Nanti Abang tunggu di Hentian Putra,” begitu ujar T. Alias Taib, sebelum pamitan. Pada masa itu, poskad ialah kiriman yang popular, selain surat.

“Poskad itu, tulis ringkas, letak tarikh sahaja. Nanti, Abang boleh faham.” Saya gelak mendengarnya. Baik sekali hatinya. Namun, saya tidak pernah mengutus. Segan amat untuk menyusahkan beliau.

Pada ketika kunjungan lain di Kuala Lumpur, daripada beberapa sahabat penyair lain, saya mendapat tahu, dari belakang dirinya – T. Alias Taib mempunyai nama sisi gelar lain – iaitu T.S. Elliot! Popular, dikelakarkan begitu oleh kalangan sahabat sastera di ibu kota. Namun, tentulah tidak di hadapan dirinya.

Gelar dan kelakar itu, sebenarnya, tidaklah bertujuan untuk merendah-rendahkan. Hanya kebetulan, justeru bagai dapat sesuai bersinonim. T.S. Elliot = T. Alias Taib. Konteks ini pun, oleh para sahabat, tidaklah bermaksud membandingkan wibawa dan ketokohan antara mereka berdua. Hal demikian, semata-mata kesesuaian sebutan, sinonim begitu. Itu sahaja.

Namun, suatu imbas lain, bukankah kelakar, sinonim itu hebat? Justeru, T.S. Elliot, tokoh yang disinonimkan itu; bukan alang-alang penyair. Beliau penyair England-Amerika terkemuka, malah antara baris penyair agung dunia.

Pada suatu jarak panjang, tahun lain, beliau hadir bersama-sama Prof. Dr. Muhammad Haji Salleh ke Kota Bharu. Saya sudah lupa, bersempena progam apa dianjurkan oleh Persatuan Penulis Kelantan, semasa M. Husdaini Mamat (Allahyarham) menjawat Ketua Satu PPK.

Ketika itu, penyair terkemuka Muhammad Haji Salleh belum dianugerahi Sasterawan Negara.

“Oh, andalah yang banyak mengumpul foklor itu,” kata-kata pertama Muhammad Haji Salleh kepada saya, ketika saya berdiri di pintu utama Gelanggang Seni, menunggu dan menyambut kehadiran mereka berdua.

Muhammad dimaklumkan oleh beberapa sahabat. Saya mengumpul cerita Selampit, dongeng, pantun, dan beberapa yang lain daripada pewaris di Wakaf Aik, Tawang, Bachok, Kelantan.

T. Alias Taib di belakang, mengiringi Muhammad Haji Salleh. Dengan tinggi lampainya, T. Alias kacak segak sekali dengan baju jaketnya. Berwarna kuning agak-agak koko. Diperbuat daripada kulit.

Petangnya, Ketua Satu Angkatan Penyair Kelantan, Wadi Leta S.A. mengadakan jamuan di kediamannya, di Jalan Dusun Muda, Kota Bharu, meraikan kehadiran mereka .

Saya masih ingat satu peristiwa yang menggelikan hati tentang jaket yang dipakai oleh T. Alias Taib. Beliau tergelak-gelak, “Saya beli di Lorong Haji Taib sahaja.” Oleh itu, kami ikut gelak. Dapat kami bayangkan, rupa-rupanya murah sahaja. Bukanlah mahal seperti disangka-sangka. Memang disebutkan beliau, berapa murah harganya itu. Namun, saya sudah lupa.

Sambung beliau lagi, merendah diri, “Saya ini, kalau pakai jaket, harga berapa mahal pun, orang tetap akan fikir, murah. Muhammad pula, kalau pakai jaket dari Lorong Haji Taib, orang akan sangka mahal, dari USA!”

Tergelak-gelak Muhammad Haji Salleh.

Keesokan, saya membawa T. Alias ke Muzium Kraftangan, di Kota Bharu. Memenuhi hasratnya ingin melawat muzium itu. Dari pertengahan pagi hingga hampir ke tengah hari kami di situ. T. Alias begitu meneliti setiap barangan yang dipamerkan, walau pada kekati (alat kacip pinang) di dalam tepak sirih.

Malam di rumah, saya mengabadikan kenangan kami berdua di muzim itu pada sebuah draf puisi. Turut tidak saya abaikan dalam draf itu, diksi kekati tersebut. Namun, oleh sebab saya selalu memendam lama draf puisi, sayang sekali, akhirnya hilang begitu sahaja di celah-celah tambun kertas.

Sampai kini, sesekali teringat jawapan saya dahulu, timbul juga rasa menyesal.

“Pada fikiran Rosli, bagaimana cara hendak menjadi penyair besar?”

“Jangan gelojoh. Simpan draf lama-lama. Baiki dan baiki.”

Justeru, natijah akhirnya ialah – hilang begitu sahaja dek masa, atau dimakan oleh gegat (ulat kertas/buku) atau anai-anai. Selalu, pada saya, berlaku demikian. Namun, saya tetap menyimpan. Sampai kini, saya tidak pernah berasa pandai, dapat cepat selesai menyiapkan puisi.

T. Alias Taib sewaktu berusia 22 tahun di rumahnya. Foto ini pernah tersiar dalam Dewan Sastera September 2001 sewaktu beliau diangkat sebagai Karyawan Bulan Ini.

T. Alias juga ketika itu sudah mulai mengenal nama penyair muda, Rahimidin Zahari (Allahyarham). Beliau banyak bertanya tentang Rahimidin pada saya kerana tahu penyair muda itu rapat dengan saya.

Oleh itu, pada masa kehadiran tersebut, saya menyarankan beliau untuk berkunjung ke rumah tempat tinggal Rahimidin, di kampung Padang Mokkan, daerah Peringat, tidak jauh dari Kota Bharu dan Kubang Kerian, tempat tinggal saya.

“Boleh lihat dan mengenal sendiri latar desa, tempat tinggal Rahimidin, yang banyak mempengaruhi pemikiran dan sajaknya,” jelas saya. Beliau amat gembira dan bersetuju ke sana.

Namun, saya memberitahu awal kepada beliau. Pada pagi kunjungannya nanti, ke desa dan kediaman Rahimidin, saya tidak dapat iring bersama kerana harus ke sekolah. Saya tidak ingat lagi, dengan siapa beliau ke sana. Gembira Rahimidin Zahari bukan kepalang, dikunjungi oleh tokoh penyair besar ini.

Tidak berapa lama, selepas kepulangan T. Alias dan Muhammad ke Kuala Lumpur, suatu hari minggu, tersiarlah sebuah sajak oleh T. Alias Taib yang khusus didedikasikannya kepada Rahimidin Zahari. Saya sudah lupa, akhbar yang mana satu, sama ada Berita Minggu atau Mingguan Malaysia.

Salah satu ungkapan yang terdapat dalam puisi itu ialah “Kau kerbau …”

Menggeleng-geleng kepala Rahimidin Zahari. Sugul. Merungut, “Adakah patut, saya disebutkannnya – kerbau?”

Saya ketawa terbahak-bahak.

Terang jelas bahawa niat T. Alias Taib baik. Murni. “Sebuah sajak, penghormatan tinggi daripada T.Alias Taib untuk kau,” ujar saya.

“Diksi kerbau itu tepat, sesuai dan indah. Sebagai rasional unsur desa,” terang saya lagi.

Kebetulan, pada beberapa minggu awal sebelum itu, saya sudah mengajarkan Rahimidin tentang beberapa klasifikasi diksi, keperluan dan kepentingan, serta cara untuk keberkesanannya dalam penerapan puisi, termasuk diksi latar peristiwa, sejarah dan zaman.

Tetapi Rahimidin tetap sugul dengan diksi kerbau itu. Penerangan dan bujuk saya agar dia berasa bangga dan kagum, bagai masuk dari telinga kanan, keluar ke telinga kiri.

Namun lucunya, selepas itu, pada beberapa kali bersama saya di kedai kopi, Rahimidin tetap membawa keratan akhbar puisi tersebut. Dikeluarkan dari beg sandang, dibacanya bagai deklamasi ringan.

Saya harus menadah telinga, walau sudah berulang kali mendengarnya. Kadang-kadang dibaca dengan cara membaca teks, secara gaya bacaan lurus sahaja, jika kebetulan agak ramai orang dalam kedai kopi. Jelas, bangga pula dia pada puisi itu.

Masa terus bergerak, bergerak, dan tetap berlalu pergi.

Suratan takdir ditentukan oleh Allah SWT. Pada 17 Ogos 2004, penyair besar T. Alias Taib berpulang ke rahmatullah. Tentu sahaja sebagai berita amat mengejutkan. Sebagai suatu dukacita besar dalam dunia puisi di tanah air. Namun, sudah demikian ketetapan Ilahi.

Saya mendraf puisi sebagai rekwim mengenang beliau. Tetapi, seperti biasa, tetap saya simpan.

Sekali, saya berkesempatan ke Kuala Terengganu kerana suatu program anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Timur (DBPWT). DBPWT menganjurkan forum di Perpustakaan Awam Negeri Terengganu, melibatkan Timbalan Mufti Negeri Terengganu bersama-sama dengan saya. Saya sudah lupa fokus forum itu.

Semasa perjalanan pulang, saya dan pegawai kanan DBPWT, Muhamad Ikhram Fadhly Hussin mengambil peluang singgah, ingin menjejak kaki di Seberang Takir, mengenalinya dengan lebih dekat.

Merenung pantai dan landskap Seberang Takir.

Cepat menerawang ingatan saya pada Allahyarham T. Alias Taib. Meski tahu, beliau tidaklah dilahirkan di Seberang Takir. Namun, laut dan pantai daerah ini pernah turut mendeburkan gelombang dalam beberapa buah puisinya. Terutamanya tajuk pada stensilan kumpulan puisi pertama beliau – Laut Tak Biru di Seberang Takir – yang tidak berpeluang saya temui dan membacanya.

Di samping itu, menerawang juga ingatan saya pada penyair Allahyarham J.M. Aziz. Beliaulah penyair Terengganu yang paling banyak menggelombangkan laut Seberang Takir dalam puisinya. Justeru, beliau menetap di Seberang Takir.

Singgah sejenak di Seberang Takir itu, hari sudah cepat maghrib.

Namun, ketika itu, saya cepat pula berasa terilham untuk mendedikasikan sebuah lagi puisi demi mengenang dan menghormati penyair Allahyarham T. Alias Taib. Malah, beberapa baris, cepat pula terungkap dalam menungan saya.

Nanti, insya-Allah, akan dapat saya teruskan mendrafnya, setiba di rumah. Itu hasrat saya, semasa Ikhram meluncurkan kenderaan untuk bergegas pulang.

Pada awalnya, saya berhasrat untuk turut memasukkan kedua-dua buah puisi, didedikasikan kepada Allahyarham yang sudah selesai draf saya itu.

Laut Tak Biru di Seberang Takir sebagai kumpulan puisi terawal karya T. Alias Taib, baru dapat saya miliki tahun lepas. Lewat berpuluh-puluh tahun. Itu pun, mujur sudah terbit sebagai bercetak. Dibantu beli oleh Pengerusi Liga Penulis Kelantan, Dahri Zakaria, dipesan dari penerbit di Kuala Lumpur.

Draf puisi dedikasi mengenang Allahyarham T. Alias Taib, sepulang dari Seberang Takir dulu, juga sudah lama sempat saya siapkan. Saya simpan, kemungkinan sebagai draf mantap tidak ingin diperbaiki lagi.

Semasa ingin menyertai pertandingan Hadiah Puisi T. Alias Taib yang dianjurkan oleh Kata-Pilar, pada awalnya, saya berhasrat untuk turut memasukkan kedua-dua buah puisi, didedikasikan kepada Allahyarham yang sudah selesai draf saya itu.

Namun, timbul pula rasa segan. Terfikir, mungkin akan dianggap sebagai semata-mata ingin mengumpan, untuk memancing hadiah. Maka, saya undurkan hasrat. Mengabaikan. Tidak menyertakannya ke dalam manuskrip. Sampai kini, kedua-dua buah puisi itu, sebagai mengenang beliau, masih tetap saya simpan.

Semasa berlangsung pengumuman pemenang dan penyampaian hadiah pada majlis Hadiah Puisi T. Alias Taib, di Pusat Dagangan Dunia (WTC), baru lalu, saya gembira dapat bersua dan mengenal pertama kali anak lelaki Allahyarham T. Alias Taib. Diperkenalkan pada saya. Namanya, Engku Roestam. Beliau hadir sebagai tamu khas kepada penerbit Kata-Pilar yang menganjurkan sayembara tersebut.

Kata-kata pertama saya kepada Engku Roestam ialah, “Wah, tinggi lampai juga, macam ayahanda.” Beliau tersenyum dan menggangguk. Terharu, amat mengingatkan saya pada Allahyarham T. Alias Taib.

Al-Fatihah.

_________________________

Rosli K. Matari berasal dan menetap di Kubang Kerian (Bandar D’Raja Muhammadi), Kota Bharu, Kelantan. Beliau merupakan penerima Anugerah SEA Write (Malaysia) 2021. Beliau juga Sasterawan Negeri Kelantan 2019/2020. Kumpulan puisinya, Mengingat Matahari (Kata-Pilar, 2023) memenangi Hadiah Utama Puisi T. Alias Taib 2023.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.