Oleh Hidayyah AT Mizi
5 Disember 2023, 19:39

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Hidayyah AT Mizi memberi reaksi balas terhadap tulisan Aliff Awan yang mempersoalkan kerelevanan sajak “healing”.

Sejak bila pula karya sastera bukan barang perdagangan?

Isu sajak pop telah dibincangkan sejak tahun 1988 oleh Zaihasra yang kesal dengan kemunculannya. Mungkin sebelumnya lagi. Malah, perbincangan tersebut tidak pun menemui kesimpulan. Sehingga kini, isu dan persoalan yang sama masih dibangkitkan dan diperkatakan dalam kalangan penyair dan kritikus sastera.

Saya teringat yang Teratai Abadi secara peribadi pernah bercerita tentang pengalaman sajaknya dikritik sebagai sajak sampah. Kemudian, wujudnya polemik sajak mi segera dan sajak-sajak indie. Mutakhir ini, polemik sajak merapu dan sajak healing juga sudah masuk dalam kategori yang sama. Kesemua isu ini mempunyai tunjang permasalahan yang sama, iaitu penghasilan sajak lemah dalam kalangan penggiat sastera.

Saya tidak dapat menangkap maksud Aliff sepenuhnya apabila beliau menyatakan bahawa perbincangan sebelum ini mengunjuk dan menyalahkan penulis. Siapa yang menyalahkan penulis? Dan, saya juga tidak faham mengapa hal-hal begini disalahkan pula kepada rumah penerbit.

Juga, sejak bila pula karya sastera bukan barang perdagangan? Orang dulu-dulu, menjual pantun ketika majlis sambut mempelai. Mempelai perempuan akan menjual pantun kepada mempelai lelaki dan pantun yang dijual akan dibayar dengan wang tunai. Mempelai lelaki akan membeli pantun dan membalasnya, sebelum dibenarkan melangkah beberapa tapak menuju pengantin perempuan yang menunggu di atas pelamin.

Kalau ditanyakan secara hati ke hati kepada semua penulis; jika dengan menulis sahaja kamu mampu cari makan, adakah menulis akan menjadi pilihan pertama? Barangkali ramai penulis akan senyum lebar dan bersedia mempertaruhkan kemahiran yang ada untuk menulis tanpa perlu risaukan poket bocor pada pertengahan bulan. Malangnya, rungutan yang kita terima; kerja menulis di Malaysia susah cari makan.

Setiap kemahiran (termasuk kemahiran menulis) mempunyai nilai dagangannya. Jadi, tindakan mudah melabel sajak healing sebagai barang dagangan kapitalis; kedengaran sangat keanak-anakan dan semberono.

Dalam buku Catatan (2010) Latiff Mohidin, ada menyatakan, “makna sesebuah sajak itu tidak begitu penting, tetapi yang lebih penting ialah kita pernah mempunyai pengalaman membacanya.” Sudah tentu catatan ini langsung tidak berkaitan dengan isu sajak lemah, tetapi apa yang perlu diperincikan dalam perbincangan ini ialah konteksnya. Bahawa pengalaman membaca sesebuah sajak itu lebih penting daripada maknanya.

Mengapa membaca sajak itu penting? Antara sebabnya ialah, membaca akan dapat membantu pembaca dan penyair dalam memahami serta mendalami poetic sense. Apabila poetic sense semakin baik, minat membaca dan mendalami sajak-sajak sastera akan berkembang. Khalayak akan lebih bersedia untuk menerima bahan bacaan yang lebih berat dan mendalam.

Untuk sesebuah sajak itu sampai kepada khalayak, pembaca perlu sudi untuk memiliki atau paling tidak, membacanya. Apa yang berlaku dalam pasaran semasa ialah— pembaca mengelak untuk mengenali sastera perdana; lebih tepat sajak-sajak sastera. Agak memalukan apabila 3,000 naskhah buku sajak healing habis terjual dalam tempoh tiga bulan, tetapi buku-buku sajak sastera semput menghabiskan stok 1000 naskhahnya dalam tempoh tiga tahun.

Kalau dalam polemik penulis tua-muda kita digagaskan dengan pertembungan gelembung sastera yang beraktiviti dan aktif berjuang dalam kelompoknya, bagi saya, isu sajak healing ini juga berada dalam kerompongan isu yang sama.

Agak kelakar apabila Aliff menyatakan, “sikap menolak puisi healing bukanlah satu bentuk pilihan untuk menjadi ‘penjaga pintu’ sastera tetapi menyampaikan suatu sikap risau akan kelahiran komuniti baharu yang mula mengekspresikan perasaan terlalu sedih untuk hidup.”

Sejak 30 tahun lalu, polemik yang membangkitkan sentimen sebegini terus-menerus digusarkan di hadapan khalayak tanpa ada niat untuk diselesaikan. Namun begitu, kita telah pun saksikan sendiri bagaimana hari ini, penyertaan kumpulan-kumpulan mandiri dan indie dalam menerbitkan karya berkualiti seiring dengan sastera perdana sudah pun mengorak langkah, menuju ke tahap yang lebih baik.

Bukankah satu masa dahulu, gerakan-gerakan ini dicemuh dan dilabel dengan macam-macam? Selain penerbitan buku mandiri atau penerbit kecil yang semakin mengikuti garis panduan Gaya Dewan, terdapat minat para penulis untuk mengikuti sayembara peringkat nasional dan mendapatkan pengiktirafan badan-badan sastera tanah air. Aktiviti-aktiviti ini turut menarik lebih ramai minat baharu daripada kalangan khalayak muda.

Inisiatif-inisiatif ini turut mengajak penulis-penulis sajak healing khususnya untuk memahami dengan lebih baik keindahan sastera untuk diterapkan dalam penulisan mereka, seterusnya memperkenalkan bunga sastera kepada pengikut dan khalayak pembaca mereka dalam tulisan-tulisan mereka yang seterusnya.

Apabila sastera tidak disantuni dengan baik, mereka mencari alternatif yang lebih dekat untuk difahami.

Aliff perlu membaca lebih banyak buku healing sebelum menghukum penulis-penulis buku healing hanya menulis tentang kesedihan untuk hidup. Hal ini sebenarnya bertentangan. Dalam buku-buku healing, inti pati tulisan lebih kepada motivasi-motivasi untuk meneruskan kehidupan dan memperkukuh jati diri. Jika ditelusuri, buku-buku motivasi sebegini sudah ada di pasaran sejak dulu. Cumanya, buku-buku healing (termasuk sajak healing) menggunakan bahasa polos dan tidak memakai pakaian sastera. Tentu sahaja, kerana karya-karya healing berada dalam genre pop. Sudah tentu cara penyampaiannya akan berbeza daripada karya-karya sastera perdana.

Jika analogi kelas yang Aliff gunakan digunakan semula, hal ini seolah-olah seperti pelajar dari kelas pemulihan dipaksa mengambil SPM tanpa diajar terlebih dahulu mengenal huruf, membaca dan menulis dengan betul. Sudah tentu pelajar terbabit akan gagal total.

Dalam dunia kesusasteraan, pelajar dalam kelas pemulihan ini merupakan khalayak pembaca dan masa depan kita. Apabila sastera tidak disantuni dengan baik, mereka mencari alternatif yang lebih dekat untuk difahami. Penguasaan tahap demi tahap ini ialah jalan sukar untuk mereka juga. Jadi, mengapa tidak kita perkenalkan sisi sastera yang lebih mesra kepada mereka agar perjalanan untuk sampai ke dalam gagasan sastera perdana menjadi lebih ringkas dan cepat?

Dalam konsep pemasaran, wujudnya penjenamaan semula. Konsep inilah yang saya cuba perkenalkan ketika menjawab Akmal dalam tulisan terdahulu: Memperkenalkan buku-buku sajak sastera dengan cara yang paling mudah didekati oleh khalayak pembaca.

Menjenamakan semula sesebuah produk bukanlah bermakna perlu mengubah produk tersebut daripada sajak sastera yang anggun kepada sajak healing yang manis. Tidak. Produknya masih sama, cuma sisi penjenamaan dan pasarannya diberikan pakaian yang berbeza.

Bukanlah saya terlalu ingin mengangkat sajak healing sehingga masuk dan mempengaruhi sastera perdana, tetapi mengapa sastera perdana tidak cuba belajar sesuatu daripada kemandirian sajak healing, terutamanya dalam konsep pemasaran produk? Bagaimana, sajak-sajak healing dengan mudah dapat didakapi oleh khalayak, sedangkan sajak-sajak sastera perdana begitu sukar didekati?

Sampai bila kerisauan akan lahirnya komuniti baharu yang berbeza aliran dengan sastera perdana perlu dijadikan polemik tanpa gagasan?

Saya percaya, permasalahan tunjangnya adalah tentang perbezaan. Apabila berbeza aliran, sudah tentu gaya dan persembahannya akan berbeza. Apa yang sebenarnya dirisaukan? Kematian sastera? Rasanya sastera tidak pernah mati, dan akan terus hidup selagi ada bahu-bahu yang sudi bekerja di bawah bumbungnya. Yang kita perlukan saat ini, adalah untuk mencari cara bagaimana mengajak kelompok daripada gelembung dan aliran berbeza untuk sama-sama tertarik pada sastera tanah air.

Saya tegaskan, kitalah yang perlu berubah dengan memperkenalkan produk kita dalam cara yang mesra pengguna. Produk sastera kita sudah bagus, tetapi kalau tidak laku; sayanglah jika ia hanya akan berakhir dan terbiar menjadi longgokan liabiliti dalam gudang simpanan sebelum dilupuskan dan dibakar.

Kepada Aliff: “Tak ghisau aih. Sastera kita sudah ada garis panduan yang masih relevan untuk dipatuhi. Kita cuma perlu pandang isu ini sebagai isu yang lebih daripada sekadar membicarakan hal-hal inklusif dalam sastera perdana.”

Kredit Foto: Timothy Newman/Unsplash

_________________________

Hidayyah AT Mizi ialah penulis dari Perak. Beliau banyak menyumbangkan puisinya di beberapa media massa. Kata-kata yang Muncul di Cermin (Kata-Pilar, 2021) merupakan kumpulan puisi sulungnya.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.