Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangMohamad Shaidan meneliti sejauh mana fenomena lambakan puisi sekarang boleh membawa pembaca ke arah sebuah pembacaan puisi yang serius dan penuh estetika.
Menguasai teori-teori penulisan pusi dan membaca puisi-puisi yang bermutu adalah antara jalan mereka ke arah menghasilkan puisi-puisi yang lebih bermutu.
Akhirnya puisi kita dan fenomenanya mendapat perhatian masyarakat puisi. Generasi yang telah lama berkecimpung dalam dunia puisi dan generasi baharu yang memberikan perhatian serius terhadap puisi mula melahirkan keresahan mereka. Mereka berpandangan bahawa puisi-puisi yang dimuat naik dalam media sosial, diterbitkan secara antologi dan kumpulan secara swaterbit (tanpa mendapat pandangan dan sentuhan daripada editor yang mahir) adalah antara punca puisi-puisi kita yang tersebar itu memancarkan kemerapuannya atau dalam bahasa yang lebih halus, lemah dan rendah mutunya.
Tidak kurang menariknya fenomena puisi kita termasuklah kumpulan puisi yang diterbitkan dengan judulnya bahasa Melayu yang bercampur dengan bahasa Inggeris. Fenomena ini menggambarkan kepada kita bahawa penulis puisi dan penerbit yang seharusnya turut bertanggungjawab terhadap bahasa dan memartabatkannya sebagai bahasa kebangsaan negaranya kurang memberikan perhatian dalam soal ini.
Penyiaran dan penerbitan puisi membuktikan kepada kita bahawa genre ini mendapat tumpuan banyak orang. Ia berkaitan juga dengan tanggapan yang salah terhadap puisi. Puisi mudah ditulis. Asalkan menjalin kata dalam bentuk baris dan baris-baris membangunkan rangkap serta memunculkan tipografinya, maka siaplah sebuah puisi. Puisi tersebut kemudiannya dikongsi dengan pembaca.
Hakikatnya tidaklah begitu. Baris, rangkap dan tipografi puisi secara linguistiknya tidak mempunyai erti. Ia aspek visual. Fungsi visualnya secara asas adalah untuk mengisi fikiran dan perasaan (dalam baris), menjadikannya sebagai satu idea (dalam rangkap) dan dengan gabungan beberapa idea yang lain membentuk kesatuan idea secara keseluruhannya pada sesebuah puisi (tipografinya).
Pernyataan tentang tipografi dan aspek visualnya tidaklah mutlak. Terdapat puisi yang dibangunkan serangkap sahaja. Tetapi, bukanlah masalah yang besar apabila kita bercakap tentang aspek visual puisi. Ia dapat dilihat dan memberikan pengetahuan kepada kita bahawa tipografi puisi moden tidak statik sifatnya seperti tipografi puisi tradisional – pantun dan syair.
Baik tipografi puisi moden mahupun tipografi puisi tradisional, persamaan fungsi visualnya pada sesebuah puisi itu tetap sama. Ia harus berfungsi untuk membentuk kesatuan pada sesebuah puisi. Fungsi ini dapat dilihat pada sejarahnya yang panjang dan lama serta secara konvensinya, kesatuan ialah syarat puisi. Maka, bahasa puisilah yang berperanan penting bagi menghasilkan kesatuannya.
Memang terdapat penulis puisi yang bereksprimen dengan tipografi, menyimpang daripada tipografi yang konvensional. Eksprimennya, secara visual mungkin berbentuk burung terbang atau kelihatan seperti teres. Eksprimen seperti ini dan sebagai puisi konkrit juga sia-sia sekiranya bahasa masih memainkan peranan penting dalam pemberian makna.
Pembaca akan mengabaikan tipografi dan mencari makna daripada bahasa. Tetapi jika terdapat beberapa patah perkataan sahaja yang memberikan erti sementara perkataan-perkataan lain kehilangan erti melalui pembalikan secara metatesis misalnya, pembaca mahu tidak mahu dituntut untuk mencari makna pada bentuk visualnya yang secara lingustik tidak mempunyai erti, tetapi secara semiotik ia merupakan penciptaan erti dengan maknanya harus dicari oleh pembaca pada citra yang dibentuk secara grafik itu.
Sejauh ini, puisi-puisi kita pada tipografinya belum memperlihatkan makna tertentu kerana penyair menyediakan tanda bahasanya untuk difahami oleh pembaca. Penulis puisi juga mungkin tidak berani melakukannya dan editor yang tidak ada keberanian tentu tidak akan menyiarkannya.
Sebagai pembaca, kita juga menatap puisi-puisi yang diklasifikasikan sebagai puisi diafan. Puisi-puisi kategori ini begitu polos – tanpa perlambangan, kiasan dan unsur-unsur bahasa puisi yang lain lagi. Diksinya bersifat denotatif. Dengan ertinya yang selapis, puisi-puisi ini menyampaikan sesuatu secara langsung kepada pembaca. Penulis-penulis muda kebanyakannya bermula dengan puisi-puisi ini. Kita dapat menatapnya dalam majalah yang khusus untuk mereka.
Meskipun mereka mengungkapkan subjek ataupun pengalaman yang lebih luas, melibatkan soal sosial dan ekonomi, tetapi pengalaman itu kelihatan masih mentah. Tetapi kita percaya bahawa sering menulis puisi merupakan latihan terbaik untuk mereka mencari dan mematangkan diri dalam penulisan puisi. Menguasai teori-teori penulisan pusi dan membaca puisi-puisi yang bermutu adalah antara jalan mereka ke arah menghasilkan puisi-puisi yang lebih bermutu.
Puisi diafan tidak sahaja ditulis oleh penulis-penulis pemula. Penulis-penulis yang telah dewasa dari segi usia juga ditemukan menulis puisi-puisi seperti ini. Kumpulan dan antologi puisi yang berada di tangan kita sebagai pembaca membuktikannya. Pengalaman-pengalaman yang diungkapkan dalam puisi-puisi kelihatan lebih matang – sesuai dengan usia. Cuma, kematangan itu pula tidak seiring dengan kematangan bahasa puisi. Mereka menyalin realiti seperti seorang jurugambar yang mengambil gambar alam atau tentang sesuatu peristiwa. Ia merupakan penceritaan semula tentang realiti.
Benar bahawa puisi ialah seni yang meniru atau menyalin alam. Dalam kritikan sastera, ia dikenali dengan istilah mimesis. Tetapi seperti kata Riffaterre dalam bukunya, Semiotics of Poetry (1978), jika seni mesti meniru alam, ia mestilah peniruan yang bijak dan tercerahkan. Ia bukan salinan yang hina, tetapi salinan yang memilih objek dan ciri-cirinya, mewakilinya dalam keadaan yang paling sempurna dapat dicapai. Dengan erti kata lain, penulis-penulis puisi seperti orang lain juga, menghadapi realiti atau alam yang sama. Berbeza daripada orang lain, penulis-penulis puisi sepatutnya menghadapi realiti secara aktif dan kreatif.
Mereka mungkin melihat realiti pada sisi yang lain, mencari, merenung dan memberikan makna yang kadang-kadang tidak terfikirkan oleh orang lain. Sisi yang lain itu juga akhirnya diangkat sebagai objek yang menjadi landasan penulisan puisi. Pada objek dengan ciri-cirinya itu, fikiran mengalir jernih, perasaan dapat dirasakan dan sikap yang diambil terhadap objek itu dapat ditimbulkan. Unsur-unsur ini kurang ditemukan pada puisi-puisi diafan yang dihasilkan oleh penulis-penulis dewasa.
Penulis-penulis yang terus-menerus menulis puisi diafan tidak akan ke mana-mana. Bahasa yang mereka gunakan tidak tergolong dalam bahasa puisi. Mereka menggunakan bahasa eksposisi. Bahasa ini digunakan dalam komunikasi sehari-hari dan untuk tujuan pengajaran dan ilmu. Maka, bahasa ini mudah difahami, tetapi tidak akan dapat bertahan lama. Oleh sebab itu, puisi-puisi diafan akan cepat berlalu dan akhirnya hilang begitu sahaja.
Bahasa puisi selalu memperlihatkan adanya peningkatan daripada sistem tanda tahap pertama kepada sistem tanda pada tahap kedua. Sekurang-kurangnya kata yang bersifat denotatif ada yang ditingkatkan menjadi konotatif. Ejaan dan bunyi perkataan ‘laut’ (signifier) secara denotatifnya mengupayakan kita membayangkan air masin yang sangat luas (signified).
Namun, erti seperti ini dalam puisi mungkin telah dihilangkan oleh penyair dengan meningkatkannya pada makna konotatif dengan perkataan laut berdiri untuk makna kehidupan yang penuh cabarannya. Maka laut dengan ertinya yang denotatif dalam puisi sering juga dimangsakan oleh konotatif, muncul sebagai metafora atau simbol.
Simbol dan citra-citra dalam puisi sangat penting dan seperti yang dinyatakan oleh Ali Shariati dalam bukunya, Man and Islam (1981), simbol dapat mencakup makna yang lebih dalam di bawah pengertian yang selapis. Malah, simbol dan citra merupakan bahasa yang paling indah dan paling halus daripada seluruh bahasa yang dikembangkan oleh manusia. Bahasa simbolik menyampaikan pesan-pesannya yang tidak mudah usang dan tidak akan kehabisan makna.
Simbol atau disamakan juga dengan lambang dalam puisi dapat dianggap berhasil mengelakkan penyair daripada menulis puisi-puisi diafan. Tetapi tidak kurang juga lambang yang digunakan dalam puisi mengabaikan logiknya atau logik intuitif. Kita mungkin menemukan baris yang berbunyi, “Lelaki itu mengaut sekolek cahaya”.
Pembaca mungkin membacanya sebagai baris yang segar, bertenaga dan menarik. Tetapi baris tersebut sebenarnya menyajikan kelemahannya dan akan mengakibatkan kelemahan seluruh puisi tersebut. Lemah kerana secara imaginasinya kita tidak dapat membayangkan bagaimana lelaki itu mengaut cahaya sehingga banyaknya sekolek. Diksi “mengaut” bererti mengumpul sesuatu dengan tangan atau mengambil sesuatu dengan banyaknya. Sesuatu itu pula mestilah berbentuk konkrit – dapat dilihat dan dipegang.
Pasir misalnya ialah benda konkrit. Ia dapat dilihat dan dipegang. Kita dapat membayangkan lelaki itu mengaut pasir atau mengumpul pasir sebanyak-banyaknya sehingga penuh kolek atau perahu kecil. Kita tidak dapat membayangkan bagaimana cahaya dapat dikaut. Secara literalnya, cahaya merupakan tenaga berbentuk gelombang yang dapat membantu kita melihat. Maka, cahaya sebagai lambang yang dapat memancarkan lebih daripada satu makna, dalam baris tersebut telah kehilangan fungsinya.
Citra atau imej dalam puisi ialah gambaran mental terhadap sesuatu yang terdapat dalam realiti. Apabila kita menyebut keladi, kita dapat membayangkan daunnya yang berbentuk simbol hati. Pelepahnya yang lembut dan beberapa ciri lain lagi. Jika sewaktu kita membaca tentang keladi yang diungkapkan sebagai simbol atau sebagai bandingan untuk melihat persamaannya dengan manusia, kita temukan juga perkataan dahan, maka kita sebagai pembaca dihadapkan dengan citra yang tidak mewakili ketepatan fakta. Yang berdahan mestilah tumbuhan yang berbatang atau pohon, dahan dan rantingnya. Keladi tidak berdahan. Maka, keladi tidak berpohon dan tidak tumbuh tinggi. Sasterawan Negara Dato’ Rahman Shaari melihat hal-hal seperti ini sebagai imej bertabur dalam puisi. Imej seperti ini melemahkan puisi dan menghilangkan apresiasi pembaca.
Sentuhan kecil dan agak umum pada fenomena puisi kita bererti masih banyak aspek lain yang turut melemahkan puisi. Hal-hal yang telah disentuh juga mungkin berterusan dalam penulisan seseorang penyair bersama-sama dengan peningkatan usianya.
Kemungkinan ini kerana terdapat tanda-tanda bahawa penyair-penyair tidak suka puisi mereka dikritik – dianggap menunjukkan kelemahannya. Mereka lebih menyenangi puji-pujian daripada teman-teman, malah mahu saling mengangkat. Kritikan puisi tenggelam dalam fenomena ini. Panel penilai hadiah sastera mula disalah-salahkan dengan anggapan memilih pemenang daripada kalangan kawan-kawan. Pandangan-pandangan seperti ini mendedahkan falasi dalam berfikir dan membuat pernyataan.
Barangkali kita suka pantun lama yang berbunyi:
Jangan dibuka pintu lukah,
Kalau dibuka ikan meluru;
Jangan suka mencari salah,
Salah sendiri baiki dahulu.
Kredit Foto: Oleg_Hasanov/Unsplash
_________________________
Mohamad Shaidan lebih menumpukan penulisannya dalam kajian dan analisis puisi. Latihan ilmiah, tesis sarjana dan tesis PhD nya yang menjurus pada kajian puisi dengan bahasa puisi sebagai sistem tanda sering menjadi landasan kajian dan analisisnya.