13 Mac 2024, 09:39

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuching – Penerbit Universiti Teknologi Sarawak (UTS Publisher) mengadakan kunjungan hormat kepada Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka Cawangan Sarawak (DBPCS) pada hari Jumaat yang lepas.

Kunjungan tersebut membincangkan kerjasama antara UTS dengan DBPCS dalam bidang penerbitan, promosi, penyelidikan dan program bimbingan kepada penulis.

Prof. Madya Dr. Muhammad Firdaus Abong Abdullah (tengah) dan Pegawai Penerbitan, Abdul Wahid Bejuri membentangkan beberapa program kerjasama kepada Pengarah DBPCS, Abang Haliman Haji Abang Julai.

Dalam pertemuan tersebut, pengarah UTS Publisher, Prof. Madya Dr. Muhammad Firdaus Abong Abdullah menyatakan hasrat ingin bekerjasama dengan DBPCS dalam menjayakan program Borneo Authors Readers International Symposium 2024 (BARIS24) yang bertujuan untuk meraikan para penggiat dan peminat sastera dari segenap pelosok dunia.

Beliau menjelaskan simposium tersebut turut dilihat signifikan sebagai sebuah pelengkap kepada usaha Kerajaan Persekutuan untuk mengangkat nilai sastera. Ujarnya;

“Simposium ini akan menjadi acara antarabangsa pertama dalam bidang kesusasteraan sekali gus mampu memberi impak positif terhadap imej dan wibawa wilayah Sarawak ke arah mencapai visi Sarawak Maju Makmur 2030”

“Penganjuran acara ini seumpama Georgetown International Literary Festival di Pulau Pinang dan Ubud Writers & Readers Festival, Indonesia wajar untuk digerakkan di wilayah ini”.

Pengarah DBPCS, Abang Haliman Haji Abang Julai menyifatkan penganjuran simposium ini sebagai tepat pada masanya, sesuai dengan pertambahan penulis, trend positif pembaca dan peningkatan penerbitan karya-karya yang bermutu.

“DBPCS akan memberikan kerjasama penuh dalam penganjuran acara itu kelak, dari pelbagai aspek yang diperlukan”.

Beliau turut mencadangkan agar simposium tersebut tidak terhad kepada lingkungan penulis semata-mata, sebaliknya turut mempertimbangkan pelibatan penerbit tempatan dan antarabangsa agar memperoleh manfaat yang lebih luas untuk perkembangan sastera secara umum.

Selaras dengan objektif pelaksanaan simposium tersebut, DBPCS turut mengusulkan keterlibatan pihak UTS dalam penganjuran Festival Penerbitan anjuran DBPCS yang dijadualkan pada bulan Jun 2024.

Turut disentuh dalam pertemuan hampir tiga jam itu adalah tentang pengadaptasian cerita-cerita rakyat Sarawak ke medium animasi, penerbitan semula buku-buku terbitan UTS Publisher ke Bahasa Melayu dan pelaksanaan bengkel tesis ke buku.

Perbincangan tersebut turut dihadiri oleh Ja’afar Haji Hamdan, Timbalan Pengarah Pengembangan Bakat, Sastera dan Penerbitan, Abdul Rasid Haji Subet, Timbalan Pengarah Pembinaan dan Penyelidikan dan pegawai-pegawai DBPCS.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.