Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangLabirin dalam Helaian kali ini menampilkan Prasert Eh Chai. Beliau merupakan Karyawan Bulan Ini Dewan Sastera Bil.04/2024. Cari dan telaah buku pilihan dan pengalaman bacaan Prasert.
Buku yang dibaca sekarang | Saya sedang membaca novel Maharaja Yongzheng: Perebutan Takhta Sembilan Putera karya Er Yuehe. Novel sejarah terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka ini diterjemahkan oleh Tan Lai Peng. Novel ini sangat tebal tapi seronok dibaca. Plot ceritanya agak berliku-liku. Watak juga agak ramai dengan nama-nama yang asing bagi saya, namun tidak menghalang saya mengikuti perkembangan ceritanya sehingga habis tanpa rasa bosan.
Membaca novel ini kita dapat mengetahui kisah kehidupan di dalam istana (pada Dinasti Qing, dinasti terakhir sebelum republik mengambil alih) yang jarang-jarang diketahui oleh rakyat jelata. Mungkin kita merasakan bahawa kehidupan di dalam istana begitu membahagiakan, aman dan tenteram. Hakikatnya tidak begitu. Berlaku pergolakan politik sepanjang masa, yang berpunca daripada perebutan kuasa antara putera-putera raja. Mereka bersaing sesama sendiri dengan penuh tipu muslihat. Setiap hari mereka diselubungi kecurigaan dan kepura-puraan. Setiap putera mempunyai rancangan masing-masing untuk mendapatkan kuasa dan kedudukan. Harta negara dicekau sesuka hati. Untuk menampung defisit negara, cukai yang tinggi dikenakan kepada rakyat sehingga rakyat hidup menderita. Akhirnya, berbekalkan kesetiaan, kejujuran dan kesederhanaan, Putera Yongzheng berjaya dalam perebutan takhta. Kisah perebutan kuasa begini sebenarnya bukan sahaja berlaku di dalam istana Maharaja Cina, bahkan juga di istana-istana lain di dunia.
Buku yang digemari sepanjang zaman | Novel Ranjau Sepanjang Jalan karya Sasterawan Negara (SN) Shahnon Ahmad. Saya begitu tersentuh dengan kehidupan Lahuma, Jeha dan anak-anak mereka. Mereka pesawah miskin. Bencana kemarau, banjir besar, angin taufan, burung-burung yang lapar, ular-ular yang bisa, belalang, cacing, ketam, siput, ulat, dan serangga merupakan antara musuh yang harus dihadapi oleh Luhuma sekeluarga dengan tabah. Namun akhirnya, Lahuma tewas oleh duri nibung. Isterinya, Jeha menyambung kerja suaminya. Oleh sebab dia seorang perempuan, kerja yang ditinggalkan Lahuma terlalu berat untuk dipikulnya. Akibatnya, dia menjadi gila. Anak-anak mereka pula meneruskan kerja ibu bapa mereka. Saya cukup terkesan dengan kisah ini kerana saya anak pesawah, dibesarkan di bendang seperti anak-anak Lahuma dan Jeha. Saya cukup memahami kesusahan pesawah untuk mendapatkan sesuap nasi.
Pada tahun padi subur dan hasil tuaian penuh di rumah padi (jelapang), pesawah pasti dapat tidur lena. Akan tetapi, pada tahun padi diancam musuh, hasil padi tidak seberapa, pesawah tidur resah, mendengus kuat dengan lengan bersilang di dahi.
Sebenarnya kehidupan Lahuma dan keluarganya mewakili kehidupan majoriti masyarakat desa, terutama bangsa Melayu. Sebagaimana kata Shahnon Ahmad sendiri dalam bukunya, Sastera sebagai Seismograf Kehidupan, kemiskinan keluarga Lahuma ialah gambaran kehidupan orang-orang Melayu yang tinggal di pedalaman-pedalaman. Mereka menghadapi kesusahan, penekanan, penderitaan, penyakit, dan konservatisme. Mereka hidup di samping feudalisme, kapitalisme, hipokrasi, dan oportunisme yang berkembang biak dalam masyarakat. Namun mereka tidak pernah berputus asa untuk membebaskan diri daripada kemiskinan.
Penulis kegemaran sepanjang zaman | Ada ramai penulis kegemaran saya. Setiap daripada mereka mempunyai gaya penulisan tersendiri yang begitu terkesan pada jiwa saya. Gaya penulisan Shahnon Ahmad misalnya, sering saya jadikan panduan dalam penulisan cerpen dan novel saya. Begitu juga dengan gaya bahasa Anwar Ridhwan yang bagi saya cukup segar. Antara penulis yang menjadi kegemaran saya termasuklah SN Usman Awang, SN A. Samad Said, SN S. Othman Kelantan, Aziz Haji Abdullah, Abdullah Tahir, Othman Puteh, Razak Mamat, Pramoedya Ananta Toer, Hamka, Eka Kurniawan, Ernest Hemingway, Gabriel García Márquez, dan Kazuo Ishiguro. Dan ada sejumlah lagi yang tidak mungkin dapat saya sebutkan kesemuanya.
Watak dalam karya sastera yang digemari | Watak Minke dalam novel Bumi Manusia daripada Tetralogi Pramoedya Ananta Toer. Minke seorang pemuda peribumi Jawa yang bijak, bersemangat dan bercita-cita tinggi. Minke berusaha mengangkat maruah dan kedudukan bangsanya di tengah-tengah penindasan kolonial Hindia Belanda. Pemuda yang berbudi pekerti tinggi itu terjerumus dalam cinta terlarang dengan Annelies Mellema, gadis kacukan Belanda. Dengan kejam, cintanya diragut dan harapannya dibunuh, namun cintanya pada Annelies tidak pernah pudar sehingga ke akhir hayatnya.
Genre penulisan yang seronok dibaca sekarang | Kini, saya mula meminati haiku. Minat ini muncul secara kebetulan. Saya terpandang buku Rempah Ratus tulisan Latiff Mohidin di kedai buku. Dalam buku itu, terdapat 34 buah haiku. Saya membeli buku tersebut. Dari situlah minat saya terhadap haiku berputik. Selepas itu, saya membeli buku Matsuo Basho: Jalan Setapak ke Utara Jauh & 100 Haiku yang diterjemahkan ke dalam bahasa Indonesia oleh Irwan Segara. Haiku mempunyai ciri tersendiri, pendek tetapi padat isinya. Saya sedang mencari buku haiku yang lain untuk dibaca.
Buku yang selalu diulang baca | Buku Falsafah Dunia oleh Ninian Smart, terjemahan Rosiyah Latif. Saya mengulang baca buku ini untuk menambahkan pemahaman terhadap falsafah-falsafah dunia yang terdapat dalam buku ini, yang pada saya agak sedikit sukar untuk difahami. Barangkali kerana sebelum ini saya kurang berjinak-jinak dengan bidang falsafah. Setiap kali saya mengulang baca, saya mendapat pemahaman baharu – melihat dunia dari sudut lain daripada sebelumnya. Namun saya masih seronok membacanya. Saya suka membuat perbandingan falsafah, terutamanya antara falsafah Barat dengan falsafah Timur. Ada falsafah yang mempunyai persamaan dan ada yang sangat berbeza, bahkan ada yang bertentangan sama sekali. Pada masa yang sama, saya akan mengutip dan menyaring falsafah dunia untuk digunakan dalam kehidupan saya.
Buku yang menjadikan saya seorang penulis | Saya tidak pasti buku apakah yang menjadikan saya seorang penulis, tetapi kumpulan cerpen Sangkar (terdapat 22 buah cerpen) karya SN Anwar Ridhwan membakar semangat saya untuk menulis cerpen. Kesemua 22 buah cerpennya memberikan inspirasi kepada saya, terutamanya cerpen “Sesudah Perang”. Watak Masitah amat mengesankan. Apabila membaca kesemua cerpen tersebut memberikan kepuasan kepada saya. Selain cerpen Anwar, kumpulan cerpen Haluan karya Razak Mamat turut menaikkan semangat saya. Cerpen “Gema Gong dan Rebana Rodat”nya saya baca sampai dua kali.
Dunia bacaan ketika kanak-kanak | Saya berterus terang sahaja, saya kurang membaca buku ketika kanak-kanak. Sewaktu kecil, saya hanya banyak mendengar cerita penglipur lara daripada “tuk selampit” Thai di kampung saya. Saya suka membaca buku cerita bergambar, misalnya kisah Sang Kancil, komik-komik, majalah Gila-Gila, Gelihati, dan sebagainya. Sewaktu di sekolah menengah, saya membaca majalah Aktual, URTV, Mangga, dan akhbar Bacaria.
Buku bukan fiksyen yang disukai | Integriti Politik di Malaysia: Ke Arah Kefahaman yang Lebih Sempurna. Saya suka mengambil tahu hal semasa politik negara dan integriti merupakan hal yang paling meruncing dalam keadaan politik kita sekarang.
Buku yang biasa sahaja, tetapi tidak bagi orang lain | Ada beberapa buah buku, tetapi sukar pula untuk saya menyatakannya. Mungkin bukan buku itu puncanya, tetapi diri saya sendiri. Keseronokan membaca bergantung pada angin (mood) juga. Ketika angin baik, kita berasa seronok membaca dan berat untuk melepaskan buku di tangan meskipun sekejap. Akan tetapi, ketika angin terganggu, baca beberapa muka surat kita sudah jemu. Maka, mulalah kita menghakimi buku tersebut. Ha ini tentu tidak adil. Misalnya, novel terjemahan Pekan-pekan Kertas (Paper Towns) karya John Green (terjemahan Shaz Johar) bagi saya, biasa sahaja. Mungkin bukan kerana novel tersebut tidak berkualiti tetapi kerana angin saya ketika membacanya kurang baik.
Buku-buku yang teringin dibaca tetapi masih belum sempat | Buku-buku besar oleh para penulis tersohor dunia. Antaranya termasuklah Mukadimah karya Ibn Khaldun, Faust karya Goethe, Penamat Sejarah dan Manusia Terakhir karya Francis Fukuyama, Joyland karya Stephen King, dan Strategi Rahsia China: Gerak 100 Tahun Atasi Amerika Syarikat oleh Michael Pillsbury. Sebaik sahaja ada kesempatan, saya akan membacanya. Sekarang, ada sejumlah buku yang menunggu giliran untuk dibaca.
Rancangan bacaan yang seterusnya | Buku fiksyen dan bukan fiksyen yang dapat memberikan kepuasan dan ilmu yang berfaedah dalam sisa-sisa kehidupan saya yang semakin dimakan usia. Ini termasuk buku-buku agama.
Rak buku atau pustaka? | Saya mempunyai rak buku yang hampir penuh. Buku bertambah setiap bulan sedangkan ruang untuk menambah rak buku terhad. Saya susun buku tidak ikut susunan yang betul. Buku disusun tidak ikut kategori. Setiap kali saya hendak mencarinya, saya menjadi pening kepala. Oleh itu, saya terpaksa memindahkan sebahagian buku ke dalam kotak dan diletakkan di tepi rak buku. Suatu hari, saya mesti buat perpustakaan mini di rumah.
Beli buku tulisan sendiri? | Ya, saya ada membelinya.
Selera pembacaan | Saya agak kemaruk membeli buku. Buku lebih banyak daripada masa yang ada untuk membacanya.
Suasana ideal untuk membaca | Duduk di kerusi malas atau sofa. Saya tidak pasti adakah betul menyebutnya kerusi malas kerana membaca itu bukan kerja malas.
Pilih seorang penulis untuk menjadi Sasterawan Negara | Zaen Kasturi
______________________________
Kenali Prasert Eh Chai dengan lebih mendalam melalui Dewan Sastera Bil.04/2024. Beli majalah Dewan Sastera Bil.04/2024 versi PDF di sini atau versi bercetak di sini.