Diterbitkan pada 9 Oktober 2025, 07:42

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Phensi, novel nukilan Prasert Eh Chai yang memenangi Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2021/2022. Prasert menyampaikan pengalaman dan proses penulisannya menghasilkan novel yang mengisahkan kehidupan Phensi, seorang gadis Siam yang buta di sebuah kampung di Semenanjung Malaysia yang mendapat ilmu seni menora secara misteri.

Tuhan tidak mencipta manusia hanya dengan kekurangan sahaja, tetapi mesti ada kelebihan lain.

Menang hadiah bukanlah tujuan utama saya mengarang. Saya rasa, begitu jugalah dengan pengarang lain. Akan tetapi, kemenangan itu satu penghargaan yang sangat bermakna bagi saya.

Prasert Eh Chai

Saya mengolah mimpi menjadi realiti. Mimpi Phensi dan mimpi saya. Kami sama-sama bermimpi. Mimpi Phensi tidak perlu saya ceritakan di sini kerana sudah diceritakan dalam novel. Di sini, saya akan menceritakan mimpi saya. Mimpi pertama, menjadi pengarang karya kreatif, dan mimpi kedua, menghasilkan karya yang bermutu. Niat saya, ingin menyumbangkan sesuatu yang bermakna pada kesusasteraan tanah air.

Saya mengatakan saya bermimpi kerana bagi saya, bidang kepengarangan sangat sukar dan tidak mungkin saya dapat lakukannya dengan mudah. Saya yakin dengan usaha yang gigih, semua orang mampu melakukan apa-apa sahaja yang ingin dicapainya meskipun sukar. Begitu jugalah dengan menulis karya kreatif.

Saya mula menulis pada penghujung tahun 1980-an. Cerpen menjadi genre pilihan saya. Saya suka tema budaya. Beberapa buah cerpen saya membawa persoalan budaya, antaranya termasuklah seni menora dan Muay Thai. Seni menora sentiasa bermain di kepala saya. Ya, saya akan mengarang novel berlatarkan seni menora. Begitu bisikan hati suatu hari yang entah bila saya telah lupa. Sewaktu di sekolah rendah, ketika berumur 11 tahun begitu, saya dan beberapa orang kawan sekampung pernah belajar tarian menora. Beberapa kali kami dibawa pergi membuat pertunjukan tarian menora di sekitar daerah Tumpat, Pasir Mas dan Tanah Merah. Pengalaman tersebut banyak membantu saya menghasilkan novel Phensi.

Selain itu, saya ada pergi berjumpa dengan seorang tua, bekas pemain menora (sekarang sudah meninggal dunia) dan bertanya kepadanya tentang asal usul menora. Beliau bercerita kepada saya dengan panjang lebar, termasuk mantera-mantera yang berkaitan dengan menora. Saya juga menyelongkar kisah menora di internet. Saya mengabadikan kisah menora dalam novel ini agar dapat ditatapi oleh generasi akan datang, terutamanya generasi yang semakin melupakan budaya bangsa. Menora bukan sahaja warisan budaya Siam semata-mata, bahkan budaya Melayu juga kerana menora lazimnya dimainkan bersama-sama pemain makyung.

Gadis buta yang bermain dengan mimpi-mimpi menjadi pilihan saya untuk menjadi penggerak cerita. Saya pernah menyaksikan seorang peniup serunai menora yang buta, tetapi dia boleh ingat semua jenis baju, seluar dan kain sarungnya. Malahan dia boleh ingat warna-warna pakaiannya. Mungkin isteri atau anaknya yang memberitahunya tentang warna pakaian tersebut. Dia tidak nampak warna tetapi dia boleh ingat warna baju yang diberitahu kepadanya. Setiap manusia yang ada kekurangan pasti ada kelebihan yang lain. Begitulah watak gadis buta yang saya berikan nafas dan penghidupan dalam novel ini. Selain watak buta, saya hadirkan watak bisu dan tempang. Selain menora, seni Muay Thai dan juga adat budaya yang lain turut ditonjolkan. Maka terciptalah manuskrip Phensi dan diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) pada tahun 2022.

Novel Phensi mengangkat kisah seni menora yang semakin hilang ditelan zaman. Phensi, kanak-kanak perempuan yang buta ditinggalkan oleh ibunya di pasar. Dia dijadikan anak angkat oleh Mak Su dan Pak Wan. Mak Su, penjual sayur-sayuran di pasar pagi, manakala suaminya, Pak Wan, pengusaha kebun pisang.

Pada mulanya, Pak Wan keberatan mengambil Phensi sebagai anak angkat kerana takut akan menyusahkan Mak Su pada kemudian hari. Akan tetapi ,apabila dirayu oleh Mak Su kerana kasihan akan kanak-kanak itu, akhirnya Pak Wan setuju. Mak Su mengasuh dan mendidik Phensi agar dewasa kelak dia boleh berdikari. Selain itu, Mak Su dan Pak Wan mengajarnya tentang adab dan cara hidup bermasyarakat. Mereka memberikan semangat kepada Phensi supaya tabah menghadapi dugaan hidup. Penduduk Kampung Sungai merasakan Mak Su sengaja mencari kesusahan kerana mengambil budak buta sebagai anak angkat. Namun begitu, Mak Su menepisnya dengan keyakinan bahawa setiap insan ada kekurangan dan kelebihan masing-masing. Begitu juga dengan Phensi. Baginya, Tuhan tidak mencipta manusia hanya dengan kekurangan sahaja, tetapi mesti ada kelebihan lain.

Phensi minat seni menora dan ingin mempelajarinya. Dia minta Mak Su mengajarnya tarian tradisional tersebut. Mak Su, bekas pemain menora, pada mulanya enggan melayan kehendak Phensi. Bagi Mak Su, orang normal pun bukan mudah untuk mempelajari tarian menora, apatah lagi Phensi yang cacat penglihatan. Sekiranya Phensi ingin belajar menyanyi lagu menora, Mak Su sanggup mengajarnya. Akan tetapi, Phensi ingin menari sekali. Keinginan Phensi bertambah kuat apabila mendapat tahu Chau Dam, bekas pemain menora ternama akan mengajar menora kepada anak lelakinya dan kanak-kanak di Kampung Sungai. Beberapa orang kawan sepermainan Phensi turut berminat. Phensi mendesak Mak Su memohon kepada Chau Dam supaya dia dapat menyertai kawan-kawannya. Namun begitu, Chau Dam menolak kerana keadaan Phensi yang buta. Phensi begitu kecewa.

Minat Phensi terhadap menora begitu mendalam sehingga terbawa-bawa ke dalam mimpinya. Suatu malam dia bermimpi berjumpa dengan Mae Sri Mala yang dianggap oleh pemain menora sebagai adiguru menora. Mae Sri Mala menceritakan asal usul menora dan mempertontonkan jenis-jenis tariannya kepada Phensi. Puteri raja itu turut menceritakan kisah hidupnya. Phensi menceritakan mimpi tersebut kepada Mak Su dan Pak Wan. Mereka berasa aneh kerana mimpi yang diceritakan oleh Phensi itu hampir sama dengan kisah asal usul menora.

Cerita “Kinnari”, sebuah cerita rakyat Siam lama dipercayai merupakan asal usul dalam persembahan menora. (Sumber: https://seebeautifulthailand.blogspot.com/)

Jikalau ada orang bertanya, adalah saya berasa gembira? Tentulah sangat gembira …

Begitulah sedikit ringkasan cerita novel Phensi. Dalam novel ini, saya turut selitkan cerita rakyat yang diceritakan secara lisan daripada generasi kepada generasi. Misalnya, cerita “Kinnari” dan cerita “Puteri Dua Belas” (“Nang Sip Song”) yang popular dalam kalangan masyarakat keturunan Siam/Thai. Dipercayai bahawa cerita yang mula-mula sekali dilakonkan dalam persembahan menora diambil daripada cerita “Kinnari”. Watak utama cerita “Kinnari” bernama Nang Manora (Puteri Manora), makhluk separuh manusia, separuh burung. Nama “menora” diambil daripada nama Nang Manora.

Saya tidak menduga sama sekali novel Phensi akan menang Hadiah Sastera Perdana Malaysia (HSPM) 2021/2022. Malah, saya terkejut dan seakan-akan tidak percaya apabila diberitahu melalui e-mel (surat menyusul kemudian) bahawa karya saya menang HSPM. Jikalau ada orang bertanya, adalah saya berasa gembira? Tentulah sangat gembira, sekali gus berbangga apabila novel saya diberikan penghargaan yang begitu tinggi. Bagi saya, HSPM sangat berprestij. Satu pengiktirafan dan penghargaan tertinggi bagi karya sastera tanah air. Kemenangan ini menyuntikkan semangat baharu kepada saya untuk terus berkarya.

Sekiranya sebelum ini saya tidak begitu yakin bahawa novel saya akan diberikan perhatian oleh peminat sastera tanah air memandangkan saya bukan penulis ternama, tetapi HSPM telah menambahkan keyakinan tersebut. Sesetengah peminat sastera menilai pengarang ketimbang karyanya. Karya oleh pengarang yang tidak dikenali kurang diberikan perhatian.

Tentulah sia-sia menghasilkan karya, tetapi tiada pembaca. Bagi saya, HSPM boleh menjadi faktor tarikan kepada karya yang bermutu. Mutu sebenarnya sesuatu yang subjektif. Terpulanglah pada penilaian masing-masing. Namun begitu, saya yakin bahawa panel penilai telah memilih karya-karya yang baik untuk dinobatkan.

Akhir sekali, terima kasih saya ucapkan kepada semua panel penilai, DBP dan semua pihak yang terlibat dalam HSPM 2021/2022.

Novel Phensi boleh dibeli di sini.

Nota Editor: Foto lama yang dipaparkan dalam imej utama artikel ini merupakan foto simpanan koleksi Colonial Office (Pejabat Kolonial) yang diambil pada bulan Julai 1909 dengan judul A Siamese Theatre at Kuala Lebir di Kuala Lebir (kini Kuala Krai), Kelantan. Foto ini tersimpan dalam katalog CO 1069/494 di bawah The National Archives UK.

______________________________

Prasert Eh Chai atau Prasert Chaipradit dilahirkan di Kampung Jambu, Tumpat, Kelantan pada 27 Ogos 1964. Beliau mula menulis pada tahun 1989 dalam genre cerpen dan kemudian novel serta skrip drama televisyen. Antara hasil novelnya termasuklah Gelanggang (DBP, 1994), Samran (UTBM, 2018) dan Phensi (DBP, 2022). Beliau Karyawan Bulan Ini Dewan Sastera Bil. 4 2024.

Kredit Foto: The National Archives UK
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi