Oleh Suyuthi Yusuf
2 Mac 2023, 12:48

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Jack Malik, penyajak yang sangat bertenaga umpama molotov, berkongsi kepada kami tentang buku-buku pilihannya, dan tidak lupa secara tidak langsung beri pesan tersirat, kenapa kena membaca.

Dunia pembacaan saya lebih indah sekarang sebab masa kecil terdapat banyak perkara indah yang saya belum benar-benar faham dan tahu untuk menghargainya.

Apakah buku yang sedang anda baca sekarang? Seronok?

Saya baru habis baca Nothing is Sacred dan On Writing Well. Penulisan Salleh Ben Joned dalam Nothing is Sacred seronok! Terutamanya membaca Salleh mempertahankan penobatan Prof. Muhammad sebagai Sasterawan Negara—makin bertambah rasa hormat saya terhadap Salleh. William Zinsser On Writing Well bacaan yang bagus tetapi tidak seseronok bacaan sebelumnya, iaitu Writing Tools oleh Roy Peter Clark.

Sekarang saya membaca A Sense of Style oleh Steven Pinker sebagai sebuah pencuci selera (palate cleanser) selepas membaca The Elements of Style oleh William Strunk Jr. dan E.B. White.

Ada buku tertentu yang digemari dan diulang baca sepanjang masa?

Jarang saya ulang baca melainkan ada keperluan untuk menulis, melakukan kajian atau sahaja-sahaja belek semula. Selain masa yang terhad, kurang desakan untuk membaca semula.

Penulis kegemaran (tempatan dan antarabangsa) sepanjang masa?

Luar Negara: Jack Kerouac, Anis Mojgani, Zeina Hashem Beck, Hanif Abdurraqib, Buddy Wakefield, dan Kaveh Akbar.

Dalam Negara: Abdul Ghafar Ibrahim, Salleh Ben Joned, Pyanhabib Rahman, Affendi Salleh, Mohd Jayzuan, dan Mimi Morticia.

Penulisan mereka membuatkan saya ingin menjadi penulis yang setaraf atau lebih baik.

Anda lebih memilih buku yang boleh membuat anda menangis atau ketawa? Atau memilih buku yang boleh membuat anda berperasaan selain menangis atau ketawa?

Saya pilih buku yang boleh buat saya rasa. Kalau ia tidak menimbulkan apa-apa perasaan, buku itu bukan untuk saya. Hidup ini terlalu singkat untuk membaca sesuatu yang bukan untuk kita. Berlaku adillah kepada diri sendiri dan karya orang lain.

Bagi anda, siapakah penulis terbaik sekarang dalam genre penulisan (novel, cerpen, puisi, esei, buku bukan fiksyen?)

(Luar Negara | Dalam Negara)

Puisi: Anis Mojgani | Affendi Salleh
Novel: belum jumpa | Nadia Khan
Cerpen: belum jumpa | Mohd Jayzuan
Esei: Hanif Abdurraqib | Abdullah Hussaini
Bukan fiksyen: Roy Peter Clark | Hadi M. Nor dan Johan Radzi

Apakah genre penulisan yang seronok dibaca sekarang?

Puisi dan bukan fiksyen (esei tentang penulisan dan puisi). Berseronok-seronok membaca sambil mengasah kemahiran kedua-dua genre ini.

Jika anda boleh memberi buku tertentu untuk dibaca oleh ahli politik, apakah buku tersebut?

Subuh oleh Atan Long.

Ada baiknya kalau kita semua baca balik perihal pembangunan negara bangsa.

Apakah filem berkaitan buku yang anda minat? Atau mungkin filem tertentu yang ada imej buku di dalamnya?

Howl (2010). Saya peminat Beat Generation dan kepenyajakan saya juga terbina oleh kumpulan ini. Ketiga-tiga kumpulan sajak saya ada unsur Beat. Holy! Holy! Holy!

(Pak AGI pernah bergambar dengan Ginsberg! Patutlah saya suka mereka berdua.)

Apakah buku tertentu yang menjadikan anda seorang penulis sekarang?

Blues untuk Aku oleh arwah Aie dan trilogi Lagenda Budak Setan oleh Ahadiat Akashah. Saya dah out-grown Ahadiat Akashah. Karya arwah Aie saya masih kagumi.

Walau bagaimanapun, pembentukan pandang sarwa penyajakan saya terhasil daripada dua buku puisi ini: Yang Yang oleh Abdul Ghafar Ibrahim dan Sajak-Sajak Saleh oleh Salleh Ben Joned. Saya fikir dua kumpulan sajak ini wajib dibaca oleh penyajak muda. Kredo AGI dan bahasa Salleh betul-betul membuka mata saya tentang penyajak yang macam manakah saya ingin jadi dan tidak ingin jadi. Selain buku, sebenarnya, Projek Rabak yang banyak membentuk saya menjadi seorang penulis. Rabak is the Reason. Kolektif artis outsider inilah akar saya—Viva La Rabak!

Bagaimanakah dunia bacaan anda semasa zaman kanak-kanak? Ada penulis atau buku tertentu yang mengingatkan anda betapa indahnya dunia pembacaan ketika itu?

Semasa kecil saya banyak baca komik. Majalah Gempak, Utopia, dan Kreko adalah bahan bacaan utama. Selain itu, komik Hong Kong seperti siri Wira Tunggal pun antara saya suka.

Kalau ada pun buku “susastera” saya baca semasa kecil—Ranjau Sepanjang Jalan. Mak saya suruh baca semasa saya darjah lima. Betul kena ranjau.

Dunia pembacaan saya lebih indah sekarang sebab masa kecil terdapat banyak perkara indah yang saya belum benar-benar faham dan tahu untuk menghargainya.

Sekarang saya gilakan buku.

Siapakah watak dalam karya sastera atau bukan sastera yang anda gemari? Jika ada watak fiksi yang mana anda ingin jadi sepertinya, siapakah watak tersebut?

Gabungan antara Wirt dan Greg dalam Over the Garden Wall. Semua penulis patut tonton Over the Garden Wall.

Dalam karya anda, apakah teks (perenggan atau baris) yang bermakna dan puas apabila dapat menulisnya?

Saya paling puas dan rasa teks saya bermakna kalau berjaya menerap tiga perkara yang Salleh Ben Joned beritahu diperlukan untuk menulis (sajak): “kejujuran, kemahiran, kejernihan kalbu dan akal.” Setiap karya saya yang tersiar dan terbit, selalunya, saya berpuas hati dan (untuk diri sendiri) rasakan ia bermakna sebab sekurang-kurangnya ia diterima oleh seseorang—sama ada editor atau penerbit.

Bilakah anda membaca dengan serius?

Soalan sepatutnya: “Bila Jack Malik tidak membaca dengan serius?” Jawapannya: Bila saya menatal fon atau membaca label di belakang botol syampu sebab fon saya kehabisan bateri dalam bilik air. Bila saya membaca, saya hanya membaca (bersama sebatang pen berdakwat biru muda).

Apakah subjek atau perkara tertentu yang anda fikir penulis sekarang patut jelajahi?

Terlalu banyak untuk dinyatakan. Tetapi saya sendiri inginkan penyajak kita tulis lebih banyak mengenai petempatan mereka—tentang kampung, kawasan perumahan, pekan kecil dan bandar raya mereka. Selain politik, alam sekitar, dan isu semasa, penulis kita perlu rajin membaca karya luar dan lihat subject matter apakah yang sudah (lama) ditulis tetapi Malaysia belum? Kadang-kadang tidak perlu pergi jauh—Indonesia ada tulis tentang permainan video dalam sebuah esei siaran Tengara.id (Hari Ketika Sastra dan Video Game Tidak Lagi Dipertentangkan). Dalam ruang pengaruh puisi, banyak subject matter yang belum kita sentuh. Kita juga perlu rajin “inginkan” untuk jelajah dan cari sesuatu yang kita suka, dan kita harus tulis tentang apa yang kita jumpa dan suka itu. Siapa lagi kalau bukan kita?

Adakah selera pembacaan anda berubah mengikut perubahan umur anda juga?

Semestinya. Masa lima tahun pertama saya masuk dunia penulisan, saya cuba membaca semua. Sejak bertemu Pak Teh (Faisal Tehrani) di George Town Literary Festival (GTLF) empat tahun lalu dan beliau memberitahu betapa pentingnya untuk seorang penulis itu “curate” bahan bacaannya, saya lebih jelas dan jujur. Saya tidak segan untuk kata: “(Buku dan bacaan) ini bukan untuk saya.” Novel dan cerpen saya kurang bernafsu. Saya lebih cenderung ke arah puisi, kraf penulisan, bahasa dan sastera (yang berkaitan dengan puisi). Selain itu, karya bukan fiksyen tentang Islam (sebab bidang kerja memanggil untuk membaca lebih banyak tentang ini). Short History of Islamic Thought oleh Fitzroy Morrissey antara bacaan terbaik untuk tahun 2023 saya. Namun, apa yang tidak berubah ialah minat membaca manga dan mahwa (webtoon): One Piece, Return to Mount Hua Sect, Solo Leveling, Peerless Dad, dan Legend of Northern Blade antara yang sedang saya ikuti.

Adakah ada buku tertentu yang apabila anda membacanya anda rasa biasa sahaja, tetapi tidak bagi orang lain?

Saya percaya banyak buku yang saya suka dan angkat, ada ramai di luar sana anggap ia biasa sahaja—dan vice versa. Selera kita adalah himpunan pengalaman dan pengetahuan yang dipengaruhi oleh pelbagai sebab dan “kerana”. Soal cita rasa jarang membuahkan hasil. Bazir masa, sebenarnya. Apa saya boleh katakan tentang buku yang luar biasa atau tidak: ia bergantung. Trust yr gut!

Apakah suasana ideal membaca anda? (di mana, bila, bagaimana?)

Suasana ideal ialah tempat yang saya boleh duduk dan ada pen berdakwat biru muda (untuk bacaan umum) atau hijau (untuk bacaan agama); pen ini akan digunakan untuk menggaris baris yang menangkap perhatian saya atau untuk menulis semula maklumat penting. Saya paling suka membaca di kafe dan di rumah. Di dalam MRT pun sesuai jika saya mendapat tempat duduk. Komuter jarang sesuai sebab sukar untuk saya menconteng dek gegaran. Saya tidak ada waktu tetap. Walau bagaimanapun, saya hanya akan membaca jika saya ada pen di tangan (pfft…tak true langsung). Setakat ini paling saya suka tiga jenama: Faber-Castell True Gel Colour (0.7), Pilot G2 (0.7), dan Pentel Energel-X (0.7). Kafe pula saya akan cari yang ambiennya tidak terlalu bougie.

Rumah penerbitan yang digemari yang selalu anda lihat katalog terbarunya?

New Directions Books, Graywolf Press, Everyman’s Library, University of Arkansas Press (khususnya, Etel Adnan Poetry Series), Tin House Books, dan Write Bloody Publishing.

Kalau anda suka terjemahan puisi, esei, novel dan cerpen, New Directions bagus. Kalau anda suka puisi, ikut Graywolf Press dan Tin House Books. Etel Adnan Poetry Series kalau sukakan penyajak berketurunan Arab dan sajak-sajak avant-garde (saya paling suka A Theory of Birds oleh Zaina Alsous). Untuk puisi Inggeris gaya Indie, Write Bloody Publishing (saya paling suka In the Pockets of Small Gods oleh Anis Mojgani dan A Choir of Honest Killers oleh Buddy Wakefield).

Kedai buku kegemaran?

Nyata: Kinokuniya KLCC dan Riwayat
Maya: Book Depository

Kino sebab banyak buku best (Wan Nor Azriq selalu buat rerantai di Twitter; saya ada juga buat rerantai untuk Puisi). Riwayat sebab chill dan kool.

Book Depository tempat saya bergantung harap kalau Kinokuniya tiada stok buku yang saya nak. Book Depository setakat ini tiada pengalaman buruk. Cuma sekali sahaja buku rosak sebab tukang hantar tinggalkan bungkusan saya di atas pagar rumah mak saya dan waktu itu hujan. Pernah juga buku tak sampai dan saya membuat aduan: ada sekali mereka bayar balik, ada juga yang mereka hantar semula. Paling saya tak boleh lupa, saya buat aduan dan mereka hantar semula. Buku selamat sampai.

Dua bulan kemudian ada bungkusan di dalam peti surat. Judul sama yang sampai.

Book Depository ambil masa 20-40 hari bekerja.

Tiada penjejakan nombor pesanan.

Hati kena keras, boi.

Apakah rancangan bacaan anda seterusnya?

Saya ini apa yang orang panggil sebagai Tsundoku. Falsafah saya: beli dulu, baca kemudian (Iman Danial Hakim mesti setuju). Ada 50+ judul yang saya menunggu giliran untuk dibaca. Pada masa yang sama, saya masih aktif membeli buku baharu (sekurang-kurangnya satu sebulan). Doa-doakanlah saya. Saya sasar untuk habiskan baca 50 judul tahun ini. Bismillah. Baru habis baca sembilan judul dan nampak gaya kena beli lebih banyak pen.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.