Diterbitkan pada 22 Januari 2026, 16:53

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Sebagai seorang penulis pemula, Nurzusilawati Nadzri menyampaikan isi hati pengalamannya berkenalan dengan majalah Dewan Sastera dan versi digitalnya.

Majalah ini bukan sahaja menilai dari sudut estetika, tetapi juga mengasuh nilai budi dan semangat kebangsaan dalam diri penulis.

Majalah Dewan Sastera yang berpegang pada gagasan “Sastera Memanusiakan Manusia” ialah satu-satunya majalah sastera berbahasa Melayu yang sejak tahun 1971 setia bersama-sama rakyat Malaysia, menampilkan karya bermutu tinggi dan wacana dinamik buat penyelidik, pensyarah, mahasiswa, pelajar, serta peminat sastera. Dengan terbitan bercetak dan digital (format PDF) yang mencapai 100 halaman setiap bulan, majalah ini kekal sebagai medan utama pengkaryaan dan pemikiran kreatif di bawah pimpinan editor yang berwibawa.

Secara peribadi, saya tidak pernah meminati sastera ketika zaman sekolah menengah kerana menganggapnya kuno dan meleret, lebih-lebih lagi sebagai anak Pantai Timur yang sudah terbiasa dengan irama rodat, inang, dikir barat, dan menora. Namun begitu, sewaktu pandemik COVID-19, saya menemukan Dewan Sastera secara digital. Kupasan “COVID-19 Menyatukan Penyair Dunia” dalam Bil. 06/2020—khususnya ayat “Penyair lewat puisi sering memotretkan tragedi atau peristiwa untuk menggugah kemanusiaan tanpa pernah mengira perbezaan sosialisasi dan demografi”—benar-benar membuka mata hati saya.

Sejak itu, saya sedar bahawa sastera bukan sekadar luahan rasa, tetapi rakaman terhadap isu semasa, krisis kemanusiaan dan denyut nadi masyarakat dengan bahasa yang indah. Membaca puisi dalam Dewan Sastera seolah-olah menonton berita dunia dalam bentuk seni yang mendamaikan jiwa. Kehadiran versi digital pula menjadikan sastera lebih segar, dekat dan inklusif untuk semua, tanpa mengenal umur dan latar belakang. Inilah kekuatan Dewan Sastera, bukan sekadar merakam sejarah, tetapi menumbuhkan jiwa.

Dalam perjalanan seorang penulis baharu, tidak banyak tempat yang memberikan ruang sebenar untuk belajar dan berkembang tanpa tekanan komersial. Dewan Sastera dan majalah lain terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) melaksanakan tanggungjawab ini dengan halus dan berhemah; memberikan ruang kecil yang bermakna untuk penulis memulakan langkah pertama mereka. Ruangan seperti Surat kepada Editor, Puisi Baharu dan Rencana Bahasa menjadi ruang bernafas bagi mereka yang ingin mencuba, mengasah dan menilai sendiri kekuatan bahasa serta isi.

Majalah ini bukan sahaja menilai dari sudut estetika, tetapi juga mengasuh nilai budi dan semangat kebangsaan dalam diri penulis. Apabila seseorang penulis muda melihat tulisannya tersiar buat pertama kali, lahirlah rasa percaya diri dan tanggungjawab baharu. Hal ini bukan lagi tentang menulis untuk diri sendiri, tetapi menulis demi bangsa dan kemanusiaan.

Dalam hal ini, Dewan Sastera boleh dianggap sebagai “mentor senyap” yang mengasuh generasi baharu melalui penerbitan, bukan pengajaran formal. Setiap tulisan yang diterbitkan menjadi bahan rujukan tentang cara idea diolah, cara bahasa dimuliakan dan cara fikiran dikemudi dengan adab.

Menyemai Jiwa: Sastera sebagai Cermin Kemanusiaan

Sastera bukan sekadar seni kata. Sastera ialah ruang renungan dan penyembuhan. Dewan Sastera menjadi wadah penting dalam mengekalkan fungsi sastera sebagai alat memanusiakan manusia. Dalam setiap edisi, kita dapat melihat bagaimana isu besar—daripada hal politik, pandemik, bencana kepada cinta dan kematian—diangkat dengan bahasa yang bukan untuk menghakimi, tetapi untuk menyedarkan.

Melalui ruangan puisi dan esei, majalah ini memberikan peluang untuk mengenal kembali nilai kemanusiaan yang sering terabai dalam hiruk-pikuk dunia moden. Sastera menjadi ubat bagi jiwa yang penat. Dewan Sastera ialah wadah yang menghidupkan ubat itu dalam bentuk yang dapat dirasai oleh semua lapisan masyarakat.

Pengalaman saya membaca Dewan Sastera menanam satu kesedaran bahawa bahasa bukan sekadar alat komunikasi, tetapi cermin pada jiwa bangsa. Apabila bahasa ditulis dengan kasih, tulisan itu membina akal dan budi. Apabila diungkap dengan kejujuran, karya itu menjadi doa yang menenangkan. Di sinilah fungsi sebenar Dewan Sastera—menyemai bukan sahaja penulis, tetapi jiwa manusia.

Kebangkitan media sosial dan teknologi kecerdasan buatan telah mengubah cara manusia berinteraksi dengan bahasa. Namun begitu, dalam arus deras dunia digital, Dewan Sastera masih berdiri sebagai tiang seri yang menjaga maruah sastera Melayu. Versi digitalnya membuka ruang kepada pembaca muda, tetapi tidak pernah mengorbankan nilai estetika.

Bagi penulis baharu, versi digital ini merupakan jendela penting untuk berkenalan dengan dunia penerbitan yang lebih luas. Laman ini menghubungkan kita dengan pelbagai tokoh bahasa, penyair dan pengkritik, yang selama ini hanya dikenal melalui buku teks atau sejarah sastera. Portal ini menjadikan ilmu itu hidup, interaktif, mudah dicapai, tetapi tetap berakar pada tradisi.

Dalam masa yang sama, kemunculan versi digital tidak menenggelamkan edisi bercetak. Kedua-duanya saling melengkapi; satu untuk menyebarkan ilmu, satu lagi untuk disimpan dan dihayati. Inilah keunikan Dewan Sastera: tidak menolak kemajuan, tetapi menggunakan teknologi untuk terus menanam nilai.

Dewan Sastera sebagai Ruang Pembimbing Pelapis Baharu

Saya mula memahami bahawa Dewan Sastera bukan sekadar medan penerbitan karya, tetapi juga ruang bimbingan secara tidak langsung.

Selepas karya saya tersiar buat pertama kali dalam Dewan Sastera, saya akui, rasa terharu itu bukan sekadar kerana nama saya tercetak pada halaman majalah, tetapi kerana seolah-olah satu pengiktirafan kecil bahawa suara saya—walaupun baharu, polos dan mungkin tidak sehebat penulis mapan—tetap layak didengar. Surat saya kepada editor sebenarnya lahir secara spontan, tanpa jangkaan akan disiarkan. Namun apabila tersiar, saya tersentak. Rupa-rupanya Dewan Sastera masih membuka pintu selebar-lebarnya untuk penulis baharu yang menulis dengan jujur dan tulus hati.

Saya mula memahami bahawa Dewan Sastera bukan sekadar medan penerbitan karya, tetapi juga ruang bimbingan secara tidak langsung. Setiap halaman memuatkan pelajaran. Ulasan kritikan mengajar saya erti kesabaran dan kerendahan diri; ruangan esei dan dialog memperlihatkan cara penulis berfikir secara matang, berlapis dan beretika; manakala karya kreatif seperti cerpen dan puisi memberikan inspirasi bahawa gaya bahasa dan teknik boleh sentiasa diperbaharui tanpa perlu meniru sesiapa.

Saya selalu teringat pesan seorang penyair senior yang saya baca dalam ruangan wawancara Dewan Sastera. Katanya, “Menulis bukan sekadar mencatat perasaan, tetapi menyampaikan kesedaran.” Ungkapan itu membuatkan saya melihat tulisan dengan pandangan baharu. Saya mula menulis bukan kerana ingin disukai oleh pembaca, tetapi kerana ingin memahami manusia dan kehidupan melalui bahasa. Inilah nilai yang Dewan Sastera tanamkan: membina penulis yang berfikir, bukan sekadar pandai menulis.

Lebih indah, Dewan Sastera tidak pernah meminggirkan penulis luar bandar, penulis wanita atau mereka yang menulis dari rumah tanpa jaringan sastera besar. Melalui versi digital, segala batasan geografinya lenyap. Sesiapa pun boleh menjadi sebahagian daripada dunia sastera—asalkan ada niat, ada jiwa dan ada usaha. Saya sendiri ialah buktinya; penulis bebas yang tidak memiliki latar akademik sastera, namun diberi ruang oleh majalah yang berjiwa besar ini.

Saya juga belajar menghargai kerja sunyi para editor. Mereka bukan sekadar penyunting teks, tetapi penjaga roh sastera. Dalam setiap perenggan yang disemak, mereka mengajar kita menulis dengan hati, bukan sekadar dengan pena. Mungkin kita tidak pernah mengenali wajah mereka, tetapi jiwa mereka terasa dalam setiap helaian. Itulah yang menjadikan Dewan Sastera bukan sekadar majalah, tetapi madrasah jiwa bagi penulis muda.

Cabaran Penulis Muda dan Keunikan Dewan Sastera

Menjadi penulis muda dalam zaman yang serba pantas bukan perkara mudah. Dunia hari ini menilai sesuatu berdasarkan jumlah tontonan, tanda suka dan perkongsian di media sosial. Bukan lagi isi atau nilai fikirannya. Ramai penulis baharu yang lahir di media digital akhirnya hanyut dalam arus cepat yang menuntut perhatian segera. Mereka menulis bukan untuk mencari makna, tetapi untuk mengejar algoritma.

Dalam keadaan begini, Dewan Sastera hadir sebagai tapak yang memulihkan semula maruah penulisan. Kesedaran ini mengingatkan generasi saya bahawa sastera tidak pernah lahir daripada gimik atau angka tontonan, tetapi daripada kejujuran hati dan ketajaman akal. Setiap karya yang tersiar dalam majalah ini telah melalui proses penyuntingan, penilaian dan pemilihan yang teliti, menjadikannya wadah yang mendidik, bukan sekadar menyiarkan.

Saya sendiri berhadapan dengan dilema antara mahu menulis untuk pembaca media sosial yang cepat dengan mahu menulis untuk jiwa saya sendiri. Namun begitu, apabila membaca karya-karya dalam Dewan Sastera, saya sedar bahawa tulisan yang baik akan kekal walaupun tidak tular. Tulisan yang berjiwa akan tetap hidup, meskipun sunyi daripada sorakan maya.

Apa yang menjadikan Dewan Sastera unik ialah keupayaannya memadukan penulis pelbagai generasi dalam satu medan yang harmoni. Di dalamnya, ada suara penulis mapan yang sarat pengalaman, ada juga suara muda yang berani mencuba gaya baharu. Pertemuan dua arus ini melahirkan keseimbangan antara tradisi dengan inovasi. Hal ini seolah-olah jambatan yang menghubungkan masa lalu, kini dan masa depan sastera Melayu.

Selain itu, Dewan Sastera turut mengekalkan peranan pentingnya: untuk menyuburkan pemikiran kebangsaan. Dalam setiap terbitan, pasti ada tulisan yang menyentuh akar bahasa, budaya dan nilai Melayu-Islam yang menjadi teras identiti kita. Bagi saya, inilah kekuatan sebenar majalah ini, menulis bukan sekadar untuk seni, tetapi untuk bangsa.

Saya percaya, setiap generasi penulis memerlukan satu “dewan” untuk kembali berteduh. Bagi saya dan ramai lagi penulis muda, Dewan Sastera ialah dewan itu. Ruang kita belajar jatuh, bangun dan tumbuh sebagai insan yang berfikir melalui bahasa. Di sinilah saya mula mengenal erti menjadi penulis, bukan sekadar penyusun kata.

Setiap generasi mempunyai suara dan perjuangannya sendiri, namun tunjangnya tetap sama: menjunjung bahasa dan memartabatkan nilai kemanusiaan. Dalam dunia yang semakin digital ini, penulis muda perlu bijak memanfaatkan teknologi tanpa menggadaikan nilai. Dewan Sastera telah menunjukkan contoh terbaik bagaimana tradisi dan kemajuan boleh berjalan seiring.

Saya percaya, kesinambungan sastera tidak bergantung pada kemasyhuran, tetapi pada keikhlasan untuk terus menulis. Tugas penulis baharu bukan sekadar menambah jumlah karya, tetapi mengekalkan roh sastera agar tidak pupus ditelan zaman. Melalui Dewan Sastera, kita belajar bahawa setiap tulisan yang lahir daripada hati akan sentiasa menemukan pembacanya, walau di mana pun ia tersiar.

Jika dahulu, saya mengenal sastera sebagai bacaan, kini saya melihatnya sebagai amanah. Oleh itu, Dewan Sastera ialah saksi bahawa bahasa Melayu masih subur, selagi ada yang mahu menulis dengan cinta dan membaca dengan jiwa.

Harapan Penulis Baharu: Menulis dengan Jiwa, Bukan Sekadar Pena

Sebagai penulis muda, saya percaya setiap helaian Dewan Sastera ialah universiti senyap yang mengasuh bakat tanpa syarat.

Sebagai penulis muda yang masih belajar, saya melihat Dewan Sastera bukan sekadar medan penerbitan, tetapi rumah tempat kembali setiap kali ilham terasa gersang. Hal ini mengingatkan bahawa menulis bukan sekadar mencari perhatian, tetapi satu ibadah akal dan hati.

Bagi saya, Dewan Sastera sentiasa menegaskan bahawa penulis harus berani berfikir dan berperasaan, tetapi dalam batas adab. Majalah ini mengajar bahawa setiap tulisan ialah amanah, dan setiap perkataan ialah warisan. Oleh itu, penulis muda perlu terus membaca, menulis dan menghantar karya, bukan semata-mata mengejar nama, tetapi kerana ingin memelihara jiwa bangsa agar tidak kering dalam zaman yang serba laju.

Bagi saya, Dewan Sastera ialah rumah yang menyemai jiwa penulis baharu. Daripada ruangan sekecil Surat kepada Editor, saya belajar menghargai nilai bahasa, memahami kekuatan fikir, dan merasai kasih terhadap budaya sendiri. Sastera telah mengajar saya bahawa menulis bukan tentang pujian, tetapi tentang tanggungjawab untuk terus memanusiakan manusia.

Selagi ada pembaca yang setia pada bahasa, selagi itu Dewan Sastera akan terus hidup menumbuhkan harapan, membentuk budi dan melahirkan penulis yang menulis dengan jiwa.

Dalam dunia yang semakin pantas dan digital ini, Dewan Sastera hadir sebagai pelita yang tidak sekadar menerangi jalan penulis, tetapi juga menghangatkan nurani bangsa. Di sinilah tempat seorang insan belajar menulis dengan hati, berfikir dengan akal dan berkarya dengan roh yang tulus. Sebagai penulis muda, saya percaya setiap helaian Dewan Sastera ialah universiti senyap yang mengasuh bakat tanpa syarat.

Oleh itu, marilah kita, para penulis baharu, para penulis pemula, pembaca setia, dan penggerak bahasa, sama-sama menyemai benih adab dalam tanah sastera yang subur ini. Agar kelak, apabila sejarah menoleh semula pada zaman kita, akan terlihat bahawa pena generasi ini pernah menulis bukan untuk kemasyhuran, tetapi untuk kemanusiaan.

Selagi Dewan Sastera terus bernafas, selagi itu jiwa bangsa tidak akan mati.

_________________________

Nurzusilawati Nadzri aktif menulis cerpen, sajak dan artikel dengan kecenderungan terhadap tema keteguhan jiwa, adat budaya Malaysia, hubungan manusia, serta unsur mistik Alam Melayu. Beliau merupakan pemenang Tempat Ketiga (Open Group) daripada lebih 800 penyertaan dalam International Youth Literary Awards 2025, Hong Kong, serta tersenarai dalam calon 10 Teratas bagi 2nd Annual Waterford Competition 2025, Ireland.

Kredit Foto: Firus Fansuri dan Dewan Bahasa dan Pustaka
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi