Oleh Jack Malik
Diterbitkan pada 15 April 2026, 16:18

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Jack Malik memberikan reaksi terhadap rencana Ridzuan Kamis tentang puisi eksperimental dalam ranah puisi kontemporari Malaysia.

Apabila kita membangkitkan sesuatu perkara, kita perlu berlaku adil dengan memberikan gambaran benar terhadap apa-apa yang ingin kita bahaskan.

Puisi moden Malaysia menetas daripada telur eksperimen.

Bayangkan. Kalendar yang tergantung pada dinding rumah menunjukkan “Mac 1934”. Dingin pagi hening menggigit sampai ke tulang sum-sum. Di luar rumah, seluruh alam sudah mula sibuk. Biru syuruk semakin cair dan langit perlahan-lahan cerah. Kaum ibu di dapur sedang menyiapkan hidangan kecil di pagi hari. Ubi rebus dan kopi kosong tersedia hangat di atas meja sebaik sahaja kaupulang dari surau seusai Solat Subuh.

Di atas meja, sebuah majalah dan surat khabar. “MILKMAID SWEETENED CONDENSED MILK” terpampang pada muka depan The Malaya Tribune. Kau belum mahu membaca berita. Sebaliknya, kaucapai dahulu Majalah Guru edisi bulan ini dan membeleknya secara rawak. Kautiba pada bahagian puisi majalah itu. Pungguk. “Keluh-kesah” judul puisinya. Kau pun baca.

Kau tidak berkeluh-kesah. Kauberasa hairan. Bukanlah kau seorang ahli dalam sastera, tetapi bernasib baik untuk mampu mendapat didikan secukupnya di bangku sekolah, selain selalu mengikuti orang-orang tuamu ke beberapa majlis yang menuntut kemahiran berpantun. Ibumu pula buta huruf, namun pandai bermain kata dan lagu. Keluh-kesah. Kau terus membacanya berulang kali.

Kau yakin ini pantun. Bunyi seperti pantun. “Waktu senja burung terbang/Waktu adinda bersedih cita/Hancur dan lebur di kalbu abang/Sedihkan adik panah dewata.” Kaubaca dan mendengarnya penuh teliti. Kauulang dan ulang baca. Suku kata pertamanya sahaja kurang dua rentak (8-10-10-10). Rimanya genap (a-b-a-b). Walau bagaimanapun, ada sesuatu yang kaurasa canggung. Pantun ini bukan seperti pantun lazim kaudengar. Sa-jak? Ubi rebus dan kopi kosong mulai dingin. Kaututup majalah tersebut dan menjamah sarapan pagimu.

Empat puluh lima tahun kemudian, sebuah antologi puisi yang diselenggara oleh Usman Awang dan Ismail Ahmad diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka. Titian Zaman (1979). Dalam antologi tersebut, penyelenggaranya menyatakan bahawa puisi “Keluh-kesah” ialah titik permulaan bagi puisi moden tanah air. Menurut Usman dan Ismail, sajak Pungguk atau Muhammad Yassin Maamor itu menyimpang daripada kelaziman pantun dengan menggugurkan pembayang dan terus kepada maksud.

Hal bersejarah inilah yang membahagikan “payung besar” puisi kita kepada dua jalur utama, iaitu tradisional dan moden. Di satu jalur: syair, pantun, gurindam, dan seloka berada dalam rumah yang sama. Di satu jalur lain: sajak tinggal bersendirian. Masuk ke abad ke-21, saban tahun, polemik dangkal “puisi lwn. sajak” tetap berbangkit walaupun sepatutnya sudah jelas: semua sajak ialah puisi, tetapi bukan semua puisi ialah sajak. Namun begitu, pengistilahan sering kali menjadi medan untuk pertelingkahan.

Selain pengistilahan, pelabelan juga sering mendatangkan masalah. Ambil contoh empat pemuisi—Frank O’Hara, John Ashbery, James Schuyler, dan Kenneth Koch—yang diberi julukan oleh para sarjana dan pengkaji sastera sebagai the New York School of Poets. Mark Ford, penyelenggara buku New York Poets: An Anthology (2004), dalam kata pengantarnya menyatakan bahawa label “Pemuisi New York” itu berguna tetapi pada masa yang sama kurang tepat.

Misalnya, menurut Ford, kebanyakan gerakan sastera avant-garde abad ke-20 mengkanunkan matlamat mereka melalui manifesto yang menerangkan prinsip politik dan estetika gerakan mereka. Keempat-empat pemuisi ini pula begitu cermat mengelakkan sebarang pembinaan teori atau perwajaran polos tentang kepenyajakan masing-masing. Bahkan, tidak seperti gerakan pemuisi surealisme atau L=A=N=G=U=A=G=E, mereka berempat tidak pernah menentukan sebarang langkah-langkah programatik untuk merevolusikan masyarakat mahupun pemikiran umat.

Maka, antara mudarat dengan manfaat, semua itu bergantung pada niat wacana sekitar penamaan sesuatu perkara atau kelompok serta penggunaannya.

Tuduhan Sdr. Ridzuan—walaupun dilakukan secara umum dan tidak menuding ke arah sesiapa—bagi saya kurang wajar apabila kritikan beliau mempersoalkan kedudukan penulis muda (baharu) sebagai “penulis jadi-jadian … suka-sukaan … ikut-ikutan, atau sekadar menulis tanpa benar-benar memahami hakikat sebuah puisi.”

Perlu diingatkan bahawa setiap penulis mempunyai tahap dan kemahuan yang berbeza. Walau bagaimanapun, ini bukanlah alasan untuk mengizinkan karya mediocre dihasilkan. Pertanyaan yang lebih wajar ditimbang secara adil ialah “apakah yang kita boleh bantu atau sokong pengkarya tunas dalam mengembangkan kemahiran mereka.” Kita harus merenung dan meneliti pelbagai sisi munasabah sebelum menjatuhkan suatu hukuman yang berselindung dalam bentuk penilaian. Ada penulis tidak bercita-cita untuk menjadi Sasterawan Negara. Ada penulis tidak terfikir untuk menjadi guru bangsa. Ada penulis ingin mencabar status quo. Ada penulis lebih bersifat ingin tahu dan berani berdiri di perbatasan pelbagai disiplin.

Dalam soal “kecuaian… [kekaburan] tanpa tujuan … [kekabutan] yang tidak pernah menjernihkan ufuk makna … imej bercampuran … simbol bertindih … kekeliruan yang maha menyesatkan”, semua ini bagi saya tidak ubah seperti bayang-bayang yang bermain pada dinding gua sastera daripada binaan kegelisahan kita sendiri. Melainkan disertakan bukti sahih, saya melihat perkara sebegini seolah-olah suatu demagoguery dalam ranah sastera kita.

Apabila kita membangkitkan sesuatu perkara, kita perlu berlaku adil dengan memberikan gambaran benar terhadap apa-apa yang ingin kita bahaskan. Kritikan tidak mampu didirikan tanpa kehadiran subjek jelas untuk dikritik. Namakan karya yang cuai itu. Bongkarkan susuk maha menyesatkan tersebut. Kalau tidak, kita sekadar menciptakan boogeyman yang tidak pernah wujud pun sebenarnya.

Sebagai contoh, “kerosakan” atau “penjahanaman” apakah yang benar-benar berlaku dalam cakerawala puisi? Huruf “M” berkaki empat Aram Saroyan? “Malam Lebaran” Sitor Situmorang? Atau bahasa rojak yang digeruni serta penyeludupan bahasa Inggeris melalui pertukaran atau percampuran kod?

Setelah sedekad lebih berada dalam dunia sastera, saya dapati peminat dan pengamal bidang ini antara orang seni yang sangat terkurung. Jarang-jarang saya mendengar mereka daripada dunia muzik, filem, teater, seni visual, dan seni persembahan begitu gelisah dengan mengangkat soal “maruah” genre masing-masing. Hal ini bukan bermaksud bidang seni lain tidak ada penjaga gerbang dan elitis mereka tersendiri—saya yakin golongan tersebut tidak kurang sama menjengkelkan seperti “bangsawan” sastera. Demikian, bidang yang saya sebutkan di atas, pada pengamatan saya, lebih mudah melakukan penyilangan.

Adaptasi karya sastera dapat dilihat dalam pelbagai rakaman filem dan pementasan teater; muzik juga mengambil ilham daripada sastera seperti album pop-punk kumpulan The Wonder Years berjudul Suburbia I’ve Given You All and Now I’m Nothing yang memetik secara langsung puisi “America” karya Allen Ginsberg. Malah, tidak perlu pergi jauh—kumpulan Kopratasa juga pernah melagukan puisi “Tetamu Senja” karya A. Samad Said.

Dalam dunia seni visual pula, saya mengetahui kewujudan seorang artis wanita bernama binti. Meneliti kembali “pertanyaan wajar” Sdr. Ridzuan, saya dapati bukan tempat saya untuk meletakkan label kepada binti. Malah, jelas kita melihat binti menampilkan dirinya sebagai seorang artis seni visual dan bukannya artis sastera. Walau bagaimanapun, melihat karyanya meyakinkan saya bahawa ada berlakunya penyilangan disiplin antara—meminjam dua elemen “V” Abdul Ghafar Ibrahim (AGI)—verbal dengan visual. Lihat salah sebuah hantarannya di Instagram beliau dengan kapsyen “Boleh Tahan”:

Binti dengan “Boleh Tahan”.

Di sini, kita boleh melihat bagaimana binti bermain dengan huruf utama namanya (B-T) dengan olahan seperti “Bagus, Tahniah/Bangang Tendencies/Broken Tatabahasa/Bersabarlah Tiger/Betina Thunderstorm/Boleh Try/Betul, Temporary …” dan selanjutnya. Jika ditumpahkan ke atas halaman kertas, “sajak” daripada perkataan “B” dan “T” menciptakan irama dan rentak bukan sahaja daripada rima aliterasi dan asonansi, bahkan daripada percampuran-pertukaran kod bahasa Melayu dan Inggeris. Selain itu, setiap urutan membawa makna dan perasaan yang berbeza.

Maka, tunjukkan kepada saya di manakah berlakunya kerosakan dalam puisi? Mungkin bagi pembaca tertentu, “Bagus, tahniah!” tidak membawa apa-apa erti dan “Betina Thunderstorm” kedengaran seperti sebuah kumpulan feminisme yang berasal dari Kuala Terengganu. Walau bagaimanapun, saya percaya bahawa setiap gabungan kata nama yang dipilih oleh binti mewakili sesuatu yang berkait dengan nama pena si pengkarya.

Demikian, apabila perkataan seperti ‘rosak’ dan ‘jahanam’ memasuki ruang perbincangan seni, tanggapan dalam diri saya bahawa orang sastera kita jarang bergaul dan kurang pendedahan semakin menebal. Jika pelukis, pemuzik dan pelakon boleh memperoleh manfaat daripada sastera, mengapa begitu sukar untuk penulis kita keluar daripada tempurung besi dunia kata-kata dan melihat adanya alam yang lebih luas di luar sana?

Jelas, orang sastera kita jarang bergaul …

Seterusnya, saya juga tidak bersefahaman dengan pandangan Sdr. Ridzuan tentang pemenang Hadiah Sastera Selangor (HSS). Bagi kategori sajak eceran tahun 2022/2024, saya tidak menjumpai apa-apa yang aneh mahupun eksperimental atau avant-garde: “Klise Encik Ben” ialah kritikan sosial warga kota yang terperangkap dalam rat-race; “Parabellum” mengambil inspirasi daripada filem aksi John Wick; “Matahari & Malam” pula sebuah puisi lirik yang menggunakan latar domestik dan imej alam yang kuat seperti “ruang ini tak lagi bercahaya/meski kauanggap dirimu/matahari. meski/kaujadi matahari.” Jika hendak dibandingkan dengan Fadhilah Ad-Deen atau M. Emir, terang-terang lagi bersuluh saudara Nasser Mikraj dan A’riff Mustaffa Hamzah berada dalam lingkungan “konvensional”.

“Keanehan” atau karya avant-garde jarang-jarang mengungguli sayembara atau anugerah sastera tanah air. Bagi saya, karya yang selayaknya aneh tetapi wajar mendapatkan perhatian, antaranya termasuklah puisi Fadhilah Ad-Deen “Pada Malam yang Bising” yang menampilkan diksi dan sintaks yang tidak lazim seperti “timbul bulan melalak tak henti-henti” atau puisinya “Tiga Potret Malam Musim Tengkujuh” dengan mengetengahkan bentuk puisi prosa dan naratif panjang. Penjodoh bilangan seperti “sepulau awan”, metafora dan penggunaan tanda baca “cinta ialah api lilin menunggu diam—ia terpejam—tetapi—kautahu?” lebih cocok dilihat dalam jalur avant-garde berbanding karya pemenang HSS di atas.

Warna Biru adalah Warna Sepi yang Paling Aku Benci” oleh M. Emir juga lebih padan dilihat sebagai karya avant-garde dengan pemenggalan menggunakan palang (/) dan imej surrealisme seperti “aku berjalan di angkasa / kerana angkasa adalah nama lain bagi kamar”.

Oleh yang demikian, para juri HSS pasti mempunyai hujah yang kukuh dalam pemilihan mereka yang saya bayangkan lebih dekat dengan pandangan Sdr. Ridzuan bahawa para pemenang memiliki garapan kefahaman yang mendalam terhadap tradisi(?) dan bahasa ketimbang penulis seperti Fadhilah dan M. Emir. Saya tidak menolak kritikan bahawa karya eksperimental ada kalanya “kelihatan mendalam, tetapi sebenarnya tohor”. Apa yang saya tolak hanyalah serkap jarang atau bola tanggung yang tidak mendatangkan wacana yang membangun dek ketiadaan bukti jelas.

Akhir kalam, titik persetujuan saya dalam rencana Sdr. Ridzuan tiba pada pandangan beliau bahawa tidak wajar kita menolak puisi eksperimental secara mutlak, manakala bentuk pula wajar dicabar setelah memahami perkara asas dalam bidang seni dan sastera. Bahkan—di sinilah titik perpisahan kami kerana saya lebih percaya bahawa—makna juga patut dicabar. Ufuk baharu hanya dapat dilihat oleh mereka yang berani menghampiri perbatasan dan melangkauinya dengan kelengkapan kemahiran, kejujuran dan kejernihan akal-kalbu.

Bukan evolusi atau hakisan sahaja yang patut kita berikan tumpukan semata-mata; soal stagnancy saya kira merupakan isu yang lebih parah sebenarnya (dan hal ini saya bawakan pada perbincangan yang ruang dan waktunya yang lebih sesuai).

_________________________

Jack Malik merupakan seorang penyajak dari Ipoh. Karyanya pernah tersiar dalam Mekong Review, Dewan Sastera, Selangorkini, dan halaman Tukang Puisi. Jack juga sebahagian daripada kolektif seniman Projek Rabak. Beliau mempunyai dua kumpulan puisi, iaitu Wannabe Sasau dan Sajakjakja(c)k. Jack juga merupakan salah seorang penerima anugerah Hadiah Sastera Selangor 2020 bagi kategori sajak eceran.

Kredit Foto: Firus Fansuri
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi