Diterbitkan pada 12 September 2025, 21:58

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Klang – Lapan karya eceran terbitan majalah Dewan Sastera memenangi Hadiah Sastera Selangor (HSS) bagi tahun 2022, 2023 dan 2024 yang diumumkan pada malam tadi.

Kemenangan itu sekali gus melayakkan penulisnya menerima hadiah sebagai pemenang utama dan hadiah penghargaan dalam sayembara HSS pada kali ini.

Enam karya tersebut merangkumi tiga genre yang dipertandingkan, iaitu cerpen, sajak dan esei.

Bagi genre cerpen, penulis Zainal Rashid Ahmad dinobatkan sebagai Pemenang Utama HSS 2022 menerusi cerpennya yang berjudul “Matinya Sepasang Anjing Jadian”, Sasterawan Negara Dato’ Dr. Anwar Ridhwan dan Aliaa Alina diumumkan sebagai penerima Hadiah Penghargaan HSS 2023 menerusi cerpennya, “Bangsawan Bertopeng” dan “Saya Katakan pada Tuhan, Apa yang Diperlukan Hanyalah Waktu”.

Menerusi genre sajak, Abdullah Hussaini diumumkan sebagai penerima Hadiah Penghargaan HSS 2022 menerusi sajaknya “Turis-turis Jelma” dan Istajib Mokhtar menerima hadiah yang sama bagi tahun 2023 dengan sajaknya “Kafein Marhaen”.

Sementara itu, bagi kategori esei pula Dewan Sastera meraih dua kemenangan bagi Hadiah Penghargaan untuk tahun 2022 dan 2023.

Bagi tahun 2022, Dr. Shaiful Bahri Md. Radzi dan Dr. Mohamad Shaidan memenangi hadiah tersebut menerusi esei bertajuk “Semangat The Waste Land T. S. Eliot dalam ‘Perempuan’ Baha Zain”.

Manakala bagi tahun 2023, pemenang Hadiah Penghargaan bagi esei ialah Dr. Saiful Akram Che Soh dengan tajuk esei, “Kecerdasan Buatan: Gelora Baharu dalam Dunia Sastera serta pasangan Nur Adilla dan Hazman Baharom  dengan tajuk esei, “Menilai Keterangkuman Wacana Sastera Inklusif”.

Majlis penyampaian HSS disempurnakan oleh Menteri Besar Selangor, YAB Dato’ Seri Amirudin Shari yang berlangsung di Hotel Wyndham Acmar, Klang.

Hadir sama pada majlis tersebut termasuklah Tokoh Wartawan Negara, YBhg. Tan Sri Johan Jaaffar dan Ketua Pegawai Eksekutif Media Selangor Sdn. Bhd., YBrs. Encik Mohamed Fareed Mohamed Ashaaree.

HSS diperkenalkam hasil ilham Dato’ Seri Amirudin sejak tahun 2015 semasa beliau menyandang jawatan sebagai Pengerusi Pembangunan Belia, Sukan, Kebudayaan dan Keusahawanan Negeri Selangor.

Hadiah tersebut dianjurkan dengan penyertaan Dewan Bahasa dan Pustaka serta Tukang Puisi bagi mengiktiraf pencapaian penulis kreatif, selain mendorong perkembangan karya sastera berkualiti tanah air.

Pemenang utama menerima hadiah wang tunai berjumlah RM6,000, manakala bagi hadiah penghargaan RM1,500 setiap seorang.

Kredit Foto: Arina Musthafa
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi