Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKlang – Karya-karya yang diteliti secara mendalam menjadi keutamaan dalam proses penjurian Hadiah Sastera Selangor (HSS) ke-10 bagi memastikan setiap pemenang benar-benar menepati standard kualiti yang ditetapkan.
Ketua juri HSS, Dr. Mohd Faizal Musa atau lebih dikenali dengan nama Faisal Tehrani menegaskan bahawa kekuatan sesuatu karya bukan sahaja bergantung pada tema, tetapi juga penelitian yang teliti dari segi kajian, bentuk penceritaan dan keaslian persembahan.
“Sesebuah karya yang meyakinkan, khususnya cerpen berunsur sejarah, memerlukan kajian yang rapi dan penjelasan yang secukupnya.
“Penggunaan bahasa tidak semestinya indah semata-mata, tetapi mestilah sesuai dan seimbang dengan genre yang dipilih,” katanya ketika menyampaikan ulasan juri dalam majlis penganugerahan HSS ke-10 di Hotel Wydham Acmar, Klang, pada malam Khamis lalu.
Menurutnya, karya cerpen dinilai berdasarkan kematangan naratif yang lahir daripada proses pengeraman, penyelidikan dan penulisan yang rapi.
“Kami mencari karya yang masak, matang dan tidak tergesa-gesa, yang jelas melalui proses penelitian mendalam sebelum diterbitkan,” tegasnya.
Faisal menambah, cerpen yang hanya berupa wacana atau ulasan yang disolek dengan sedikit penceritaan dianggap gagal memenuhi ciri naratif sebenar.
Bagi kategori esei, penelitian hujah dan struktur turut menjadi tumpuan utama penjurian. Panel juri menilai kejelasan tesis, kekuatan logik dan keaslian pandangan peribadi, selain kemahiran pengolahan bahasa.
“Esei yang baik tidak hanya menumpahkan fakta, tetapi memerlukan pengamatan yang segar, jujur dan diyakini pembaca,” ujarnya.
Penilaian bagi kategori sajak pula memberikan perhatian pada keseimbangan antara isi, tema dengan teknik puitis termasuklah ritma, pilihan kata dan perlambangan.
Puisi yang menampakkan usaha pengamatan mendalam dan ketelitian dalam menyusun kata lebih menonjol daripada karya yang hanya bereksperimen tanpa kawalan.
Faisal turut memaklumkan bahawa sepanjang proses penjurian, semua juri hanya membaca karya daripada senarai saringan yang identiti penulisnya telah dipadam. Kaedah ini, menurutnya, memastikan setiap karya dinilai secara objektif berdasarkan kualiti, bukannya reputasi pengarang.
“HSS berpegang pada prinsip bahawa karya yang dinilai mesti segar, tidak jenuh dan boleh diingati sepanjang zaman. Elemen-elemen ini ialah teras untuk memastikan karya yang dipilih benar-benar memberikan sumbangan kepada masyarakat pembaca,” jelasnya.
HSS ke-10 menilai karya majalah terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka, Svara dan Tukang Puisi bagi tahun 2022 hingga 2024, dengan panel juri mewakili pelbagai latar belakang.
Panel juri HSS ke-10 ini dipilih dengan teliti bagi mewakili pelbagai lapisan usia, gender, latar belakang seni, dan bidang, termasuk penerbit, aktivis budaya, kurator festival, penyunting, wartawan sastera, penterjemah, dan ahli akademik, bagi memastikan proses penjurian berlangsung secara adil dan menyeluruh.