Diterbitkan pada 5 November 2025, 09:18

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Ubud – Penulis prolifik, Faisal Tehrani menyeru pengarang Malaysia agar tampil membawa suara masyarakat dan identiti negara ke pentas festival penulis antarabangsa.

Faisal atau Dr. Mohd Faizal Musa berpendapat bahawa ramai penulis tempatan yang dijemput sebagai panelis di festival luar negara cenderung menumpukan pencapaian peribadi, sekali gus gagal memperlihatkan wajah sebenar sastera serta realiti masyarakat Malaysia.

“Kita harus membawa suara sastera Malaysia dengan menceritakan keadaan negara secara serba-serbi, contohnya kebangkitan golongan kanan dan isu penapisan yang berlaku.

“Kita bukan sahaja perlu menonjolkan sisi positif Malaysia, tetapi juga berani menyatakan kelemahan tanpa niat memburukkan. Pada masa sama, kita mengangkat karya sendiri,” katanya, ketika ditemui pada Festival Penulis dan Pembaca Ubud (UWRF) 2025, baru-baru ini.

Menurut pemenang Hadiah Sastera Perdana Malaysia itu, ada segelintir pengarang Malaysia, khususnya yang bukan menulis dalam bahasa Melayu, beranggapan bahawa mereka dijemput atas dasar peribadi semata-mata.

“Sesetengah pengarang hanya bercakap tentang diri mereka, sedangkan mereka turut membawa nama rumah penerbitan dan nama negara.

“Dalam bidang lain seperti perfileman, pembikin filem akan memastikan mereka membawa nama Malaysia, tetapi hal ini jarang-jarang dilakukan oleh penulis Malaysia,” ujarnya.

Tambah Faisal, setiap jemputan antarabangsa harus dimanfaatkan untuk memperkenalkan budaya dan identiti Malaysia secara meluas.

“Sebagai contoh, saya dijemput membicarakan novel The Prau with the Silent Soul, namun di sebalik buku itu, terdapat konteks penting, bahawa novel ini diterbitkan sempena ulang tahun ke-50 Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).

“Karya asalnya disunting oleh Zawiyah Baba, kakak kepada pengarah Shuhaimi Baba. Saya gunakan peluang ini untuk menjual nama Malaysia, bukan hanya membawa nama sendiri,” katanya.

Oleh hal yang demikian, Faisal berpandangan, penulis dari negara lain lazimnya bijak membawa identiti, masyarakat dan konteks sastera mereka ke pentas dunia, sesuatu yang wajar dicontohi oleh pengarang Malaysia.

“Rakan saya dari Indonesia, Okky Madasari, ketika beliau bercakap, keakuannya lebur bersama-sama konteks masyarakat dan negaranya. Itulah yang kita boleh pelajari.

“Ramai penulis Malaysia apabila ditanya oleh moderator, hanya menumpukan karya tanpa memanfaatkan peluang untuk memperkenalkan konteks Malaysia,” katanya.

Terdahulu, Faisal Tehrani diundang menjadi panelis untuk beberapa acara di UWRF, sekali gus mempromosikan novel Bedar Sukma Bisu yang kini diterbitkan semula oleh Penguin Random House SEA dengan judul The Prau with the Silent Soul.

Kredit Foto: UWRF 2025
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi