Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangNordin Saad menceritakan cabaran menghadapi naik turun semangat ketika menulis.
Anehnya pula, pada ketika seseorang penulis itu bergelut mencari idea untuk berkarya, idea pula semakin menjauhkan diri.
Hanya sekadar senyuman sebagai respons apabila seorang rakan (bukan penulis) menyatakan bahawa untungnya menjadi penulis. Masa terluang yang ada, terutamanya pada waktu malam, tidak hilang begitu sahaja. Sebaliknya, boleh diisi dengan menulis atau berkarya.
Pastinya, anda sebagai seorang penulis akan memahami sebabnya saya sekadar tersenyum dan tidak akur seratus peratus dengan kata-kata atau tanggapannya itu.
Mungkin ada kalangan khalayak yang tidak menyedari bahawa menulis bukanlah satu kerja yang mudah dan boleh dilakukan dengan sewenang-wenangnya. Menulis sebenarnya memerlukan kesungguhan, ketelitian dan masa yang sesuai. Tidak semua masa terluang yang kita miliki boleh dimanfaatkan untuk menulis. Inilah antara cabaran sebagai seorang penulis. Walaupun terdapat dalam kalangan penulis yang masih mampu berkarya tatkala sibuk dengan tugas-tugas lain dan persekitaran yang bingit.
Begitu juga ketika menghadapi cabaran untuk mendapatkan idea yang menarik sebagai bekal untuk menulis. Walaupun ada kalanya idea datang tanpa dicari, namun idea yang datang begitu belum tentu boleh dimanfaatkan sepenuhnya untuk menulis. Ada idea yang perlu ditolak dan ada pula idea yang perlu diubah suai untuk dikembangkan dan ditokok tambah di sana sini sebelum boleh dimanfaatkan dalam karya. Kebiasaannya, idea itu perlu dikuatkan lagi terlebih dahulu dengan membuat sedikit pencarian tambahan melalui kaedah tertentu yang semakin mudah diperoleh pada masa ini.
Tidak dinafikan, ada kalanya idea yang menjelma itu, pada mulanya, dianggap begitu menarik dan boleh membuatkan karya yang ditulis nanti boleh “laku keras”, tetapi apabila mula dikembangkan dalam karya, idea itu berubah seratus lapan puluh darjah. Hambar, klise dan tidak mampu menarik khalayak sama sekali. Dalam situasi begini, semangat berkarya secara automatik akan luntur. Besar kemungkinan, karya yang siap itu akan dibiarkan terperap dalam komputer dengan mengharapkan akan muncul idea baharu untuk menyambung atau membaikinya. Biasanya, karya begini akan terus kekal terperap beberapa lama dan ada pula idea yang dibiarkan itu hilang atau lenyap begitu sahaja.
Anehnya pula, pada ketika seseorang penulis itu bergelut mencari idea untuk berkarya, idea pula semakin menjauhkan diri. Jika berlaku situasi begini, sudah tentu penulis yang berada di hadapan komputernya berasa kecewa dan semangat untuk terus berkarya ketika itu menjunam, sekali gus tangannya mulai menggerakkan tetikus ke pelbagai sudut yang terpapar pada skrin monitor, atau menjangkau lebih jauh lagi, seperti memasuki laman TikTok, Facebook dan sebagainya. Sudah tentu masa berharga untuk berkarya akan terjejas. Lebih mengecewakan lagi, apabila semangat untuk berkarya pun turut hanyut. Tidak kurang pula, ada penulis yang terus dibuai mimpi di hadapan komputernya, walaupun kopi kegemaran dan penemannya ketika berkarya sudah tinggal separuh gelas.
Ya, begitulah sedikit penjelasan atau jawapan di sebalik senyuman saya pada awal tulisan ini.
Sebetulnya, melakukan kerja menulis tidak jauh bezanya dengan menjalankan kerja atau tugas yang lain. Ada masa seronok dan sangat bersemangat untuk melakukan dan menyelesaikan sesuatu kerja atau tugas itu agar cepat selesai. Pada masa yang lain pula, keseronokan atau semangat yang berkobar-kobar untuk berkarya itu menurun atau lenyap begitu sahaja, tanpa kita sedari. Situasi begini menyebabkan penulis juga mengalami kehilangan sesuatu yang amat berharga. Malah, karya yang sedang ditulisnya itu sudah tentu mengalami gangguan untuk diselesaikan.
Bukan sesuatu yang pelik juga apabila kehilangan minat untuk berkarya yang pada mulanya dianggap sebagai hanya sekejap atau sementara itu, tiba-tiba sahaja berpanjangan tanpa disedari. Mungkin sehingga seminggu, dua minggu, sebulan, setahun atau lebih lama lagi. Hal ini menyebabkan hobi menulis yang suatu ketika dahulu menjadi hobi utama dan sangat rapat dengan dirinya, kini sekadar menjadi hobi simpanan sahaja. Namun begitu, hobi tersebut mungkin tidak hilang sepenuhnya jika keinginan untuk meneruskan hobi tersebut masih kekal utuh dalam diri. Malah, perkembangan dunia sastera dan penulisan masih bernafas dalam tubuhnya. Cuma hayat menulis sahaja belum mampu disambung lagi.
Fenomena turunnya semangat untuk menulis atau berkarya itu, dialami oleh seseorang penulis kerana pelbagai faktor lain juga. Antaranya termasuk kesibukan kerja atau tugas harian. Hal ini kerana kerja menulis biasanya merupakan tugas sampingan atau hobi sahaja. Bukannya tugas hakiki. Kedudukan tugas menulis atau berkarya begini menyebabkan seseorang penulis itu secara tidak sedar, akan mengabaikan keinginan menulisnya dan dipenuhi pula dengan kerja atau tugas-tugas lain yang lebih mustahak atau mendesak. Kekangan masa atau kesibukan menjalankan tugas hakiki ini pula mungkin ditambah lagi dengan masalah berkaitan hal peribadi atau keluarga. Dalam situasi beginilah juga, karya seseorang penulis akan terperap dalam komputer dan gagal disiapkan dalam tempoh tertentu. Malah lebih malang lagi, apabila ada karya yang belum siap itu terus terperap selama-lamanya.
Tatkala penulis menanti karyanya disiarkan atau diterbitkan itu, kebiasaannya penulis akan terus berkarya …
Bagi seseorang penulis, kejayaan menghasilkan sesebuah karya sama ada novel, cerpen, sajak atau artikel merupakan satu kepuasan yang sukar dibayangkan, walaupun karya tersebut masih belum dikirimkan kepada editor untuk dinilai sebelum disiarkan atau diterbitkan. Jelasnya, kepuasan diri sebagai penulis sudah mulai terasa.
Setelah dikirimkan kepada editor, tempoh penantian untuk disiarkan dalam majalah kebiasaannya memerlukan masa sehingga enam bulan. Manakala akhbar pula tempoh penantian untuk disiarkan mungkin agak pendek. Karya berbentuk buku seperti novel, kumpulan puisi atau kumpulan cerpen pula sudah tentulah memakan masa yang lebih panjang untuk diterbitkan, sehingga menjangkau masa beberapa tahun. Dalam tempoh penantian ini, penulis hanya mampu menunggu sambil berdoa agar karyanya akan terpilih untuk disiarkan atau diterbitkan.
Tatkala penulis menanti karyanya disiarkan atau diterbitkan itu, kebiasaannya penulis akan terus berkarya. Namun begitu, ada juga dalam kalangan penulis hanya sekadar menanti karya yang telah dikirimkan kepada penerbitan itu disiarkan atau diterbitkan dahulu sebelum terus berkarya. Situasi begini mungkin boleh mendatangkan kesan kurang elok terhadap diri penulis. Penangguhan sementara kerja-kerja menulis begini boleh berubah menjadi penangguhan kekal. Semangat untuk menulis, besar kemungkinan akan luntur sedikit demi sedikit.
Sememangnya diketahui bahawa faktor utama yang mendorong pertambahan semangat untuk berkarya ialah penerbitan atau penyiaran karya. Misalnya, seseorang penulis yang karyanya berbentuk buku diterbitkan sudah pasti akan mengalami peningkatan semangat untuk terus menulis. Faktor ini ditambah lagi dengan hasil penat lelahnya berkarya itu diberikan ganjaran kewangan menerusi pemberian royalti.
Begitu juga dengan seseorang penulis yang menghasilkan karya eceran dan karyanya itu seperti puisi, cerpen atau rencana disiarkan dalam akhbar atau majalah. Semangatnya untuk terus berkarya akan melonjak. Ditambah pula dengan pemberian honorarium oleh pihak penerbit, walaupun pada awal pelibatannya dalam bidang penulisan ini tidak terlalu mengharapkan honorarium. Sekadar hanya mahukan karyanya disiarkan atau diterbitkan sahaja.
Jelasnya, seseorang penulis memerlukan ketahanan diri yang tinggi untuk bertahan sebagai seorang penulis setelah mampu menghadapi pelbagai cabaran sepanjang pelibatannya dalam ranah penulisan. Malah, kita amat berbangga kerana terdapat penulis yang masih mampu menghasilkan karya sehingga hujung usia dan seharusnya diteladani. Lebih-lebih lagi, bidang penulisan ini tiada usia persaraannya. Sehubungan dengan itu, kita amat bersyukur dan berbangga kerana pelbagai penerbitan tanah air masih terus memberikan ruang kepada penulis tanpa mengira usia.
_________________________
Nordin Saad tinggal di Beseri, Perlis. Beliau banyak menghasilkan cerpen selain amat aktif dalam penulisan sastera remaja. Antara karyanya termasuk kumpulan puisi remaja Bercakap dengan Kucing (ITBM, 2014), kumpulan cerpen Bihun Goreng Berkuah Laksa (ITBM, 2015) dan Perempuan dalam Ombak (ITBM). Beliau merupakan Karyawan Bulan Ini Dewan Sastera Jun 2016.