Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangDi manakah penulis yang dahulunya cukup aktif dan menyerlah karyanya? Mengapa mereka hilang secara tiba-tiba? Astral Dyn menyoal hal ini.
Chairil Anwar ada menyebut bahawa dunia peribadi ialah nasibnya dan nasib ialah kesunyian masing-masing.
Memori yang diulang siar dalam notifikasi Facebook mengheret saya ke kampung retrospektif. Saya membelek kembali album dengan beberapa nama yang sudah berhabuk. “Apa khabar mereka sekarang?” Soalan itu yang pertama sekali melapor diri dalam kepala saya. Saya cuba mencari jawapan dengan menjejak akaun media sosial mereka. Rata-rata mereka sudah tidak aktif dengan hantaran paling terkini adalah sekitar beberapa tahun lalu. Malah, ada yang sudah menyahaktifkan akaun mereka atau mungkin saya yang kebetulan sebelum ini cuma memakai gambar profil kura-kura berkaca mata hitam telah dihalang daripada melihat profil mereka.
Situasi dihalang ini cuma kuman dalam galaksi persoalan di manakah rakan-rakan penulis yang ada, yang antara mereka pernah disebut-sebut sebagai manikam sastera masa hadapan? Ke manakah mereka telah menghilang? Atau mereka sebenarnya masih ada dan sedang menikmati hari-hari penuh wibawa sebagai seorang Sasterawan Negara dan mungkin juga penerima Hadiah Nobel bagi Kesusasteraan, tapi mungkin di sebuah semesta yang lain? Oleh itu, dalam tulisan ini, izinkan saya untuk berprasangka. Mana tahu, tulisan ini boleh menjadi jampi serapah yang akan memanggil roh-roh yang bergentayangan di luar orbit sastera ini kembali merasuk dengan karya yang membuatkan kita dihantui sehingga misalnya, tanpa sedar, telah membuatkan kita membeli semua barangan yang sebelum ini cuma ditambah secara suka-suka ke dalam troli TikTok Shop dan Shopee.
(1) Mereka Menjadi Irfan Fikri
Ini bukan umpan klik. Sebagai rakyat yang telah dinormalisasikan dengan demokrasi berparlimen, saya telah menghimpun semua poin dalam kepala sebelum meminta mereka untuk saling mengundi. Maka, pemenangnya ialah poin seperti yang tuan puan baca di atas. Revolusi Industri 4.0 ini menjadikan sesiapa boleh menjadi siapa-siapa sahaja di media sosial secara spesifik, tanpa mengetengahkan profil dirinya yang sebenar. Tidak mustahil, kalau akaun-akaun palsu yang meninggalkan komen provokatif dan bersifat jelik di media sosial, sebenarnya dikendalikan oleh seorang budak berusia tujuh tahun yang ketika menulis komen tersebut, hingusnya meleleh dan dia menyekanya dengan lidah.
Irfan Fikri dalam konteks ini bukan merujuk figura peribadi atau individu seperti yang tuan puan maklumi. Irfan Fikri ialah jenama atau label. Irfan Fikri boleh dilabel sebagai apa-apa sahaja. Saya membayangkan Irfan Fikri sebagai sebuah kultus yang menghimpunkan semua penulis berkebolehan yang hiatus dalam kelompoknya.
Perekrutan juga pastinya tidak mudah. Setiap ahli kultus harus bermain di padang karya-karya sarjana Barat, seperti T.S. Eliot, Roland Barthes atau Margaret Atwood. Buku-buku itu diratah dari kulit ke kulit. Tiap perkataan biarpun sekadar yes dan no dibahaskan dan diperdebatkan. Ahli-ahli saling bertukar baton hujah dengan larian fakta dan huraian yang kencang. Sesekali, mereka akan keluar dengan jenama Irfan Fikri, menyusup dalam gelanggang sastera hanya untuk memberikan tumbukan keras ke mana-mana karya sebelum menghilang secara misteri.
Dalam konteks ini, para penulis yang dimaksudkan tidak menghilang, tetapi sedang menjadi orang lain atau membina alter ego yang tidak mustahil mendaki makam yang lebih tinggi dengan mengkritik karya sendiri suatu hari nanti.
(2) Mereka Tidak Lagi “Sunyi”
Chairil Anwar ada menyebut bahawa dunia peribadi ialah nasibnya dan nasib ialah kesunyian masing-masing. Goenawan Mohamad dalam Puisi dan Antipuisi (2011) pula menyebut bahawa menulis ialah sebuah kemustahilan untuk secara stabil mengenang kembali kesunyian masing-masing. Sebelum menyorot bagaimana “tidak lagi sunyi”, perlu diperhatikan terlebih dahulu hal sunyi dalam kategori yang boleh menimpa seseorang penulis.
Kamus Dewan (Edisi Keempat) menyebut sunyi sebagai tidak kedengaran sebarang bunyi (suara), hening dan senyap. Namun begitu, makna sunyi yang menjurus kepada penulis, sifatnya tidak literal. Sunyi menjadi subjektif.
Sunyi kerana sendiri? Sunyi selepas dianggap terlalu baik oleh calon? Sunyi kerana ramai kawan lari ke gua selepas kekalahan konsisten sebuah pasukan bola sepak pakar sejarah di Liga Perdana Inggeris? Sunyi selepas jadi menteri? Sunyi itu sunyi ini. Sunyi bla bla bla bla.
Pasti senarai untuk sebab musabab tragedi sunyi yang menimpa para penulis ini panjang meleret, sebagaimana karya mengenainya dihurung penuh berselera oleh mereka-mereka yang dalam gelembung puisi terutamanya. Malah, sunyi menjadi antara sebab seseorang itu menulis juga menawarkan pilihan jawapan sama ada ya, tidak, mungkin, atau semua di atas.
Robert S. Weiss dalam bukunya Loneliness: The Experience of Emotional and Social Isolation ada menggambarkan bagaimana seseorang yang apabila dia mengenangkan kembali keadaan sunyinya, dia mendapati bahawa dia telah berubah menjadi tidak lagi sunyi. Saya berprasangka bahawa kesunyian penulis yang menghilang ini telah habis untuk dikenang semula atau sememangnya mereka tidak lagi sunyi.
Penulis bujang kini disibukkan dengan rumah tangga, memenuhi keperluan dalam plot yang lebih realistik, lebih menuntut daripada plot imaginatif dalam karya. Apatah lagi tanggungjawab kian membukit selepas mereka dikurniakan cahaya mata. Penulis yang dulunya aktif sewaktu tidak bekerja juga kini disibukkan dengan komitmen kerja selepas mempunyai kerjaya. Apatah lagi kewujudan medium seperti WhatsApp yang memungkinkan sesuatu arahan kerja boleh mengekori seseorang sehingga ke dalam mimpi, sehingga ruang lapang yang ada dimaksimumkan sepenuhnya dengan berehat dan healing.
Malah, menulis bukan lagi ruang eskapisme utama daripada kesunyian ketika dunia menawarkan banyak pilihan untuk menghiburkan diri. Pawagam boleh dibawa masuk ke dalam bilik. Jual beli boleh berlangsung kendatipun dalam bilik air. Bercakap seorang diri depan kamera dalam siaran langsung dengan taburan hadiah dan bintang lebih menggiurkan berbanding menulis dalam kesunyian, yang menurut seorang eseis tanah air, biarlah sekadar menjadi coretan dalam diari peribadi sahaja.

(3) Menangguhkan Karya
Sastera bukan lagi objek yang memberikan nilai sentimental, tetapi medan yang penuh sensitif.
Ciri khas seorang penulis ialah cara mereka mengikat emosi terhadap sesuatu. Penulis ialah sentimentalis yang baik. Menurut Winnicott (1971), manusia sedari kecil belajar mencintai melalui objek seperti selimut, patung atau barang kenangan yang lain. Proses ini melahirkan nilai sentimental melalui hubungan antara emosi dengan sesuatu yang menyimpan makna diri. Nilai inilah yang menjadikan penulis melihat sesuatu yang kecil menjadi besar dalam hubungan emosinya. Akan tetapi, nilai ini tidak mustahil akan menjadi labirin yang akan memerangkap penulis itu sendiri. Menjadi sentimentalis juga akan membuatkan penulis menjadi cepat terasa dan sensitif. Bayangkan saja jika anda sedang berpapasan dengan seorang penulis yang tersenyum penuh mesra, tetapi anda tidak membalasnya. Nah! Bersedialah menjadi subjek puisi atau watak jahat dalam karyanya. Begitu pula sebaliknya.
Tiada sesiapa yang membaca karyanya, tidak pernah menang hadiah sastera, nama tidak disebut-sebut biarpun sudah lama menulis, tidak dijemput sebagai juri atau panel dan sekian-sekian alasan adalah antara trigger yang boleh meletupkan keterasingan dalam diri seorang penulis. Sastera bukan lagi objek yang memberikan nilai sentimental, tetapi medan yang penuh sensitif. Kemunculan gelembung-gelembung tertentu dan assabiyah dalam tanah sekangkang kera ini kian memberatkan keadaan, apabila anda antara mereka yang mungkin mula menarik gear undur dari litar yang dipenuhi kereta-kereta lama yang bising enjinnya.
Namun begitu, koleksi alasan ini tidak terpakai untuk penulis yang karyanya dicari dan dibaca, yang namanya sudah ada dalam senarai pemenang, biarpun hadiah belum dianjurkan. Disebut-sebut dalam setiap acara namun tiba-tiba menghilang. Mereka mungkin hiatus atau sebenarnya sedang parkir di tepi litar untuk menikmati suasana sehingga terlupa cara untuk kembali membawa kereta. Apatah lagi apabila di litar yang sama, kereta-kereta baharu mendesup laju dengan enjin lebih berkuasa tinggi. Apa yang membuatkan mereka hiatus? Saya berprasangka yang mereka sebenarnya sedang menangguhkan karya. Proses kematangan menjadikan karya yang terbengkalai setahun lalu misalnya, menjadi serba tidak kena apabila cuba ditulis semula tahun ini. Maka, proses penggubahan berlangsung semula sebelum sekali lagi terbengkalai. Maka, stereotaip yang sama berulang.
Keadaan ini juga boleh jadi bertitik-tolak daripada suasana menulis yang hilang sebagaimana yang disebut oleh Carl Jung (1961) tentang bagaimana persekitaran membentuk seseorang lebih daripada dia yang membentuknya. Komuniti penulis yang kecil tidak memungkinkan suasana sentiasa ada untuk seorang penulis sekurang-kurangnya dapat mengekalkan semangat untuk berkarya. Malah, acara-acara sastera yang lebih banyak tertumpu di Kuala Lumpur dan sekitarnya tidak begitu intim untuk mereka yang harus meredah turbulence di Laut China Selatan misalnya. Rasa untuk terus menulis juga boleh terbunuh terus apabila orang yang paling dekat untuk membaca karya mereka seperti isteri atau suami mengerutkan dahi dan bertanya: “Kamu tulis apa ni?” Namun saya yakin, karya yang menandakan kemunculan semula sang manikam sastera ini pasti akan siap sepenuhnya selepas trofi Champions League berjaya mengisi rak trofi Arsenal di Stadium Emirates.
(4) Writer’s Block
Sampai pada poin ini, saya juga dilanda perkara yang sama …
_________________________
Astral Dyn seorang penulis yang bercita-cita besar, biarpun baru satu puisi yang tersiar di laman Tukang Puisi. Beliau pernah memenangi beberapa hadiah sastera dengan nama yang lain.