Diterbitkan pada 6 Disember 2025, 14:49

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kini timbul istilah “penulis sesumpah” dalam kalangan penulis. Ismail Hashim menerangkan makna istilah tersebut.

Sesumpah jenis plagiat ini mahu menukarkan warna kulitnya supaya karyanya diberikan perhatian …

Semua kenal haiwan yang dipanggil sesumpah atau sumpah-sumpah. Kulitnya boleh berubah warna apabila berada dalam sesuatu keadaan atau cuaca bagi menyesuaikan dirinya. Menariknya, “sesumpah” juga dipanggil kepada penulis yang lebih memahami iklim yang terdapat dalam sesebuah akhbar dan majalah ketika menghantar karyanya. Hal ini menjadikan karyanya kerap tersiar.

Inilah caranya memancing perhatian editor terhadap karya kirimannya itu. Memanglah pun, karyanya sering tersiar dan menjadi tanda-tanya kepada penulis lain yang tidak mendapat layanan yang sebegitu. Sesumpah jenis ini boleh menyesuaikan diri dengan mana-mana rumah penerbitan apabila karyanya sering kali disiarkan.

Saya kurang pasti mengapa cuplikan gelaran sesumpah diberikan oleh rakan penulis saya ini. Mungkin hal ini didorong oleh rasa cemburu atau sekadar gurauan sahaja. Akan tetapi, saya tertanya-tanya, apakah tidak ada haiwan lain untuk diberikan gelaran “sesumpah” itu?

Dalam hal ini, saya menganggap bahawa penulis yang diberikan gelaran sesumpah itu hanya akan ketawa sahaja,  tidak mengambil hati. Tetapi seperti yang saya katakan tadilah, tulisan-tulisannya sering mendapat tempat di pelbagai rumah penerbitan.

Saya pula berpendapat, penulis yang sedang membina namanya ini ialah seorang yang rajin membaca. Melalui pembacaan, timbul idea-idea baharu lalu dicernakan dengan cermat dan disalurkan melalui karyanya.

Setiap penulis mempunyai mata hati yang membolehkannya melihat sesuatu perkara yang bersifat klise diperbaharui dengan nafas baharu. Penulis itu mengekalkan tema klise itu dan menambahkan pembaikan, menjadikan karyanya bukan klise lagi. Ilham yang datang ke dalam diri penulis ini seperti pelita yang menerangi penulisannya.

Saya lebih menekankan penulis yang memplagiatkan penulis lain yang sudah ada nama dan mengaku karya itu hasil karyanya sebagai sesumpah sebenar yang lagi licik dan merbahaya. Kehebatannya hampir sama dengan hasil tulisan yang dihasilkan oleh penulis sebenar.

Apa yang tidak sedap didengar jika si fulan yang melakukan kerja-kerja plagiat ini memenangi sesuatu anugerah yang berprestij. Selain rumah siap pahat berbunyi, hal ini memberikan tempias kepada panel penilai yang melibatkan integriti mereka dalam penilaian, apatah lagi untuk mengangkat suatu karya pada tempat yang lebih tinggi dan diberikan anugerah.

Sesumpah jenis plagiat ini mahu menukarkan warna kulitnya supaya karyanya diberikan perhatian. Ternyata, sesumpah ini tersalah langkah apabila pihak editor berjaya mengesan dan membuktikan karyanya yang disiarkan itu merupakan plagiat, bukannya tulen (ada makluman yang disampaikan kepada saya bahawa editor juga mempunyai perisik di belakang tabir dalam kalangan penulis yang memaklumkannya sama ada sesuatu karya itu tulen atau ciplak).

Setiap penulis merasakan adab jatuh bangun menjadi penulis. Kalau ditanyakan kepada penulis yang mapan, mereka pun melalui laluan yang sama sebelum menuju jalan ke puncak. Bagi saya, hanya penulis yang cekal dan tabah melalui pelbagai ujian dan rintangan yang akan berjaya timbul ke permukaan.

Saya merasakan penulis yang dikatakan menjadi sesumpah itu mempunyai semangat yang waja dalam menghasilkan karyanya dan berjaya menempatkan karya-karyanya dalam pelbagai rumah penerbitan.

Momentum hayatnya sebagai penulis berjaya dikekalkan dengan lebih berkesan. Sebagai penulis, hal ini diibaratkan sebagai pelita dan halangan dan rintangan pelita itu ialah angin yang bertiup ke arah pelita itu, mendorong pelita itu terpadam. Akan tetapi, pelita yang sentiasa bertemankan angin sememangnya tidak dapat dielakkan.

Berbalik pada sesumpah yang memakai warna plagiat itu tadi, setelah pihak editor atau penilai mendapati tulisannya bukanlah karya yang asli, akhirnya dia gagal berpaut pada ranting yang rapuh dan akhirnya jatuh ke tanah jua.

Titik noktah hayat sebagai penulis sampai ke situ sahaja. Mungkin ranting yang dipaut itu ranting yang rapuh, menjadikannya terjatuh ke tanah, manakala ranting yang hijau dan kulkuh dibina dari semasa ke semasa, melalui kecekalan dalam diri penulis itu sendiri.

Apa-apa juga sayembara atau pertandingan, baik novel, puisi, cerpen, dan genre lain, pihak urus setia pertandingan selalu mengingatkan para penulis bahawa karya yang dihantar kepada urus setia sayembara dan pertandingan hendaklah karya yang belum pernah diterbitkan di mana-mana media cetak dan digital.

Urus setia berkehendakkan karya yang asli, bukannya plagiat bagi mengelakan rumah siap pahat berbunyi. Bunyi-bunyian itulah angin tadi yang memadamkan hayat pencahayaan pelita itu yang sedang menyala.

Peliknya, rumah siap dan pahat berbunyi bukan ditukang oleh buruh biasa, tetapi kadang-kadang ditukangi oleh tenaga profesional yang terlatih dalam bidang masing-masing. Hal inilah yang mengejutkan dan menyedihkan kita!

______________________________

Ismail Hashim ialah penulis bebas dari Negeri Sembilan. Beliau menulis novel, cerpen, puisi, dan drama radio.

Kredit Foto: Pierre Bamin/Unsplash
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi