Diterbitkan pada 3 Februari 2026, 09:33

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Za’im Yusoff memberikan reaksi terhadap makna penting kasb yang timbul dalam tulisan “Hakikat Pengkaryaan dan Tempoh Melukis Ketam”.

Ramai pengarang besar sebenarnya tidak menulis sebagai pesta ego semata-mata, bahkan sebagai beban amanah.

Meneliti tulisan Lutfi Ishak mengingatkan saya bahawa penulisan yang benar-benar bernilai tidak lahir daripada keghairahan mencipta kelainan semata-mata, tetapi daripada kehalusan niat dan ketertiban adab yang menyertai setiap kata. Seakan-akan tulisan itu sendiri sedang memeriksa hati penulisnya, bukan sekadar memikat pembacanya.

Dalam kerangka Islam seperti yang disebut oleh Lutfi, manusia tidak pernah diposisikan sebagai pemilik mutlak hasil, tetapi sebagai hamba yang diberikan kasb, iaitu daya usaha yang diizinkan apabila natijah dan keberkesanan makna berada dalam ketentuan Tuhan yang memutlakkan.

Kata kasb tersebut mengingatkan saya pada kata berkenaan dua tempat pada ayat terakhir Surah al-Baqarah, ayat lazim dalam majlis tahlil masyarakat tempatan:

لَهَا مَا كَسَبَتْ وَعَلَيْهَا مَا اكْتَسَبَتْ

Ia mendapat pahala kebaikan yang diusahakannya, dan ia juga menanggung dosa kejahatan yang diusahakannya.” (Surah al-Baqarah, 2:286)

Sedekad lepas, Habib Najmuddin Othman al-Khered semasa Majlis Ta’lim Darul Murtadza pernah memberikan tafsir yang begitu memukau. Baginya, لَهَا مَا كَسَبَتْ (laha ma kasabat) mengandungi dua isyarat halus yang besar nilai maksudnya. Pertama, partikel ‘لَهَا’ bermaksud “baginya” ialah memberi makna rasa naungan atau pemilikan rahmat bagi insan yang berbuat kebaikan.

Kedua, kata kerja kasaba yang dalam pembacaan semantik Arab pula membawa nuansa mengusahakan tanpa memerlukan penekanan keterlaluan apabila kebaikan boleh bermula semenjak gerak kecil dalam hati yang ikhlas, lalu Allah membesarkan kesannya melampaui saiz usaha yang dikemudiankan itu. Di sinilah kita fahami bahawa niat melakukan kebaikan pun sudah berpahala apatah lagi mengerjakannya.

Dalam konteks penulisan, hal ini menerbitkan satu etika yang sering keciciran dalam teori praktik sastera moden apabila niat baik penulisan itu pun sudah bernilai meskipun karya belum siap. Jika penulis menulis dengan maksud membina pembaca dengan menjernihkan budi, menegakkan maruah, mengundang muhasabah, menyembuhkan luka batin, atau sekurang-kurangnya tidak menzalimi sesiapa dan apa-apa pun subjek penulisannya, maka kerja batin itu sendiri ialah kasb.

Pendek kata, penulis tidak menunggu hasil penerbitan hanya sanya untuk dikira sebagai amal kerana amal sudah pun bermula pada detik penulis memilih satu kata yang tidak memfitnah, memadam satu ayat yang mengaibkan waima membetulkan satu fakta yang hampir menipu.

Di sinilah saya melihat satu persilangan yang menarik dengan beberapa tradisi kesusasteraan dunia. Ramai pengarang besar sebenarnya tidak menulis sebagai pesta ego semata-mata, bahkan sebagai beban amanah.

Rainer Maria Rilke, dalam wacana suratnya tentang seni sering menyarankan agar disiplin dalaman yang mendahului karya, seolah-olah karya ialah hasil daripada keperluan batin, bukan semata-mata kehendak yang dipuji. T.S. Eliot pula, melalui gagasan impersonal dalam puisi pula menggesa pengarang menyusutkan ego agar puisi menjadi medan pertemuan tradisi, pengalaman dan bentuk, bukan sebagai medan pengagungan diri.

Dalam tradisi Jerman pula, gagasan Bildung (pembentukan diri) menjadikan karya bukan sekadar gaya, tetapi proses menempakan manusia, dan di sini kita memahami mengapa tulisan yang baik sering terasa seperti latihan akhlak lantaran sifatnya mendidik pembaca untuk menjadi lebih jernih, bukan sekadar lebih teruja.

Semua ini, apabila dibaca dengan suluhan cahaya Islam, menjelma sebagai cermin betapa sastera yang besar sering kali mengintai wilayah tanggungjawab apabila Islam meletakkan garis akhirnya pada tauhid dan hisab; bahawa kejujuran, kebaikan dan kesan bukan semata-mata nilai estetika, tetapi nilai yang akan ditimbang kira.

Di sini, tulisan Lutfi, dalam kecenderungan sastera yang lebih rohaniah dan reflektif, boleh dibaca sebagai latihan menundukkan “aku” agar bahasa menjadi lebih telus kepada makna. Hal ini tidak bermakna “aku” dihapuskan, tetapi “aku” dipertanggungjawabkan.

Kemudian ayat yang sama memalingkan wajahnya melalui وَعَلَيْهَا مَا اكْتَسَبَتْ (wa ‘alaiha ma iktasabat).

Jika diteliti lebih halus, وَعَلَيْهَا مَا اكْتَسَبَتْ tidak sekadar menyatakan dosa, tetapi menyingkap cara dosa itu dihasilkan. Kata ‘عَلَيْهَا’ mengandung makna liabiliti yang menindih bukan milik yang dibanggakan, tetapi beban yang ditanggung.

Sementelahan pula kata ‘اِكْتَسَبَتْ’ (bentuk iftiala) memberi nuansa mengusahakan, memungut, mengumpul keburukan dengan kerja yang bersengaja, berstrategi dan berulang, seolah-olah al-Quran sedang berkata keburukan sering lahir sebagai projek gelap yang ditatah secara berterusan sehingga nampak begitu berkesan lagi meyakinkan kelompok pembaca sasaran.

Keindahan bahasa tidak memutihkan niat yang gelap.

Dalam kesusasteraan dan teks dunia, kita melihat iktisab ini bergerak dalam beberapa contoh yang nyata.

Thomas Dixon melalui The Clansman misalnya, menghalalkan perkauman dengan teknik novel melodrama apabila watak putih dijadikan pusat simpati moral, pihak yang dizalimi dipadamkan kemanusiaannya, lalu pembaca ditarik untuk menyukai kekerasan simbolik sebagai sejenis pemulihan tertib.

Malah, dalam wacana kolonial, banyak teks pentadbiran dan travelog yang kononnya begitu objektif ternyata merasionalkan penjajahan melalui retorik pengukuran dan pengelasan apabila manusia dijadikan data, budaya dijadikan masalah yang perlu diselesaikan oleh penjajah dan penaklukan dijadikan misi suci.

Contohnya, Rudyard Kipling melalui puisi “The White Man’s Burden: The United States and the Philippine Islands” (1899) memahat imperialisme sebagai tugas moral dengan strategi retorik yang sangat tertib apabila hampir setiap rangkap dibuka dengan nada imperatif yang mengarahkan pembaca agar terasa mulia untuk memikul beban empayar.

Masyarakat yang dijajah pula dilukiskan sebagai “new-caught, sullen peoples” dan digelapkan martabatnya melalui frasa seperti “half devil and half child”. Ungkapannya cukup pendek namun melekat, cukup kejam untuk membentuk persepsi, lalu pembaca dipujuk agar percaya bahawa penjajahan ialah didikan terhadap bangsa “yang belum matang”.

Lebih licik, puisi ini turut menormalisasikan kekerasan dengan mengajarkan bagaimana ancaman harus disorokkan di sebalik adab. Misalnya, rangkap yang menyebut “to veil the threat of terror” dan paradoks “the savage wars of peace” mengalih makna perang menjadi damai secara retorik, seolah-olah keganasan ialah ubat pahit yang wajar demi ketertiban.

Di titik ini, kita melihat iktisab keburukan yang paling kemas apabila kebenciannya tidak menjerit, sebaliknya dominasi itu bermelodi; propagandanya tidak terlihat kasar, sebaliknya perintah moral yang berulang-ulang itu menyebabkan pembaca sampai boleh tersilap dengan menyangka betapa penjajahan itu merupakan sebentuk pengorbanan terpuji, bukannya sejenis perampasan keji.

Di sinilah keburukan tampak kemas kerana penulisannya disusun dengan memilih fakta yang hanya menyebelahi sang penguasa, menapis konteks yang boleh mengganggu naratif licik, juga dengan menabur istilah besar agar kezaliman kelihatan terpaling bijaksana dan cerdik.

Di sinilah Islam datang memberikan garis. Kebebasan kreatif tidak menghalalkan keburukan apatah lagi kejahatan. Keindahan bahasa tidak memutihkan niat yang gelap. Darihal itu, ketika Lutfi memetik soal ghibtah, yakni keinginan meniru kebaikan tanpa mahu menjatuhkan sesiapa, hal ini membuatkan saya lebih mengerti bahawa pengaruh tidak sepatutnya menjadi medan iri hati, sebaliknya medan kesinambungan tradisi.

Bukankah dalam Islam risalah kenabian itu bertali arus dari nabi ke nabi, lalu selepas itu ilmu bersambung daripada sahabat ke tabi‘in ke tabi‘ tabi‘in, dan seterusnya dari ulama ke ulama melalui disiplin sanad riwayah dan dirayah?

Demikian seyogia juga arus penulisan kita yang mengalir dari penulis ke penulis, bukanlah untuk menyalin secara beku, tetapi untuk menyambung, memurnikan dan menyampaikan kebenaran serta hikmah, sesuai dengan bahasa zaman.

Lantaran akhirnya, apa-apa pun tradisi yang kita kutip, apa-apa pun teori yang kita bimbit, baik penulis mahupun pembaca, kita sedang menuju ke satu padang yang sama, yakni Mahsyar. Tempat kata-kata tidak lagi boleh disunting dan niat tidak lagi boleh disaring lalu yang tinggal hanyalah pertanyaan terpenting, tulisan dahulu yang kita kerjakan di dunia apakah menjadi “لَهَا” atau “عَلَيْهَا”, ya?

Ya Allah, bi husnil khatimah.

_________________________

Za’im Yusoff yang kini bertugas dalam dunia perbankan juga merupakan seorang penulis yang banyak menyumbangkan puisi dan esei, baik dalam media maya mahupun media bercetak.

Kredit Foto: Europeana/Unsplash
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi