Diterbitkan pada 23 September 2025, 08:44

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Abdul Mubin Ismail menyatakan beberapa maklum balas, cadangan dan rasionalisasi tentang idea menyeragamkan hadiah sastera di seluruh negeri.

Dalam masa yang sama, amat disedari, masih ada negeri yang langsung tiada Hadiah Sastera Negerinya sendiri, selain masih ada negeri-negeri yang tidak mampu mengendalikan/membiayai Hadiah Sastera Negeri secara tekal …

Cadangan mewujudkan dan menyeragamkan hadiah sastera di seluruh negeri dalam Malaysia telah dilontarkan dalam Simposium Sastera Malaysia bertempat di salah sebuah hotel di bandar raya Johor Bharu pada Mei 2023. Simposium anjuran Persatuan Penulis Johor (PPJ) dan Majlis Permuafakatan Penulis Malaysia (MPPM), dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Wilayah Selatan serta beberapa pihak lain telah melahirkan satu resolusi yang antara lain, mencadangkan agar Hadiah Sastera Negeri (HSN) di seluruh Malaysia (termasuk Wilayah Persekutuan) dianjurkan dan ditunjangi perbelanjaannya oleh Kerajaan Persekutuan.

Kemudian dalam Mesyuarat Agung Tahunan Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (GAPENA) tahun 2024, Persatuan Sasterawan Terengganu (PELITA) sekali lagi membawa usul agar GAPENA membawa perkara ini kepada pihak berautoriti untuk pelaksanaannya. Manakala pada September 2025 yang lalu, PPJ bersama-sama MPPM selaku penganjur Simposium Sastera Malaysia 2023, telah mengambil inisiatif tambahan dengan mengemukakan semacam “memorandum khas” kepada pihak berkepentingan tentang cadangan ini.

Pada Simposium Sastera Malaysia 2023 dan usul Mesyuarat Agung GAPENA 2024, penulis yang mewakili PELITA telah memberikan beberapa rasional, peri pentingnya HSN ini diselaraskan, dan yang lebih penting, tunjangan kewangan bagi pelaksanaan HSN ini dibiayai oleh Kerajaan Persekutuan (melalui kementerian/agensi kerajaan yang berkaitan). Sudah tentu, dalam hal memartabatkan bahasa dan sastera tanah air, institusi unggul dan tunggal negara ialah DBP. Apatah lagi, DBP sudah tersedia dengan pejabat-pejabat wilayah dan cawangan di beberapa negeri yang bertindak menaungi aktiviti bahasa dan sastera di semua negeri dalam Malaysia.

Sebagaimana kita semua maklumi, HSN merupakan “pengiktirafan dan penghargaan tertinggi” peringkat negeri kepada para penulis, karyawan dan sasterawan di semua negeri di Malaysia. Dalam masa yang sama, amat disedari (sehingga artikel ini ditulis), masih ada negeri yang langsung tiada HSNnya sendiri, selain masih ada negeri-negeri yang tidak mampu mengendalikan/membiayai HSN secara tekal, mengakibatkan ada penulis, karyawan dan sasterawan yang tidak berpeluang untuk diiktiraf di negeri/tanah kelahiran mereka. Oleh itu, sudah sampai masanya, cadangan agar HSN yang dikendalikan oleh institusi induk bahasa dan sastera negara serta ditunjangi kewangannya oleh Kerajaan Persekutuan perlu diberi perhatian serius.

Seperti yang sudah dimaklumkan, DBP sebagai institusi induk yang bertanggungjawab memartabatkan bahasa dan sastera tanah air mempunyai pejabat-pejabat cawangan dan wilayah di seluruh Malaysia untuk menjadi penyelaras utama pelaksanaan HSN ini. Selainnya, GAPENA atau MPPM yang mempunyai kerabat gabungan di semua negeri dalam Malaysia yang boleh bertindak dan bekerjasama untuk menyelenggarakan HSN di negeri masing-masing.

Bagi negeri yang sudah menerima tunjangan daripada Kerajaan Negeri, andai Kerajaan Negeri ingin terus menaja, pembiayaan daripada Kerajaan Persekutuan tetap perlu disalurkan. Pelaksanaannya mungkin akan lebih meriah, selain berkemungkinan ada “Anugerah-anugerah Khas” yang diwujudkan mengikut kehendak Kerajaan Negeri itu sendiri.

Pembiayaan oleh Kerajaan Persekutuan (kerajaan pimpinan siapa atau apa sekalipun selepas ini/akan datang), akan lebih menjelaskan lagi kecaknaan dan keprihatinan Kerajaan Persekutuan pada sastera di semua negeri (terutama negeri yang tidak sama teraju pemerintahannya), selain dapat menyelesaikan banyak kekangan dan masalah dalam penganjuran HSN ini, serta seterusnya boleh memanfaatkan banyak perkara, termasuklah:

Pertama: Syarat dan format yang sebaik-baiknya perlu digariskan. Dibiayai oleh agensi kerajaan persekutuan dan dilaksanakan di semua negeri termasuk Wilayah Persekutuan (Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan). Syarat penyertaan ditetapkan kepada anak negeri sahaja, walau di mana mereka berada, tetapi berpandukan negeri tempat lahir mereka (mengikut kod dalam kad pengenalan, misalnya Terengganu kod “11”).

Kedua: Tiada karyawan/sasterawan yang tercicir untuk sama-sama menerima pengiktirafan dari negeri kelahiran mereka, walau di mana sahaja mereka berada. Seorang karyawan/penulis, tidak akan mendapat hadiah/pengiktirafan di dua negeri yang berbeza (lahir di negeri A dan bermastautin di negeri B), kerana syarat penyertaan mestilah menyertai hanya negeri mereka dilahirkan, walaupun mereka bermastautin dan sudah tinggal secara tetap di negeri lain. Polemik pemastautin tetap/pemastautin kurang daripada sekian-sekian tahun tidak akan berbangkit lagi. Syarat ini juga memberi peluang sama rata kepada semua penulis/karyawan di mana sahaja mereka berada kerana negeri kelahiran mereka telah wujud HSN.

Selainnya, syarat berkenaan akan lebih memberi keadilan kepada penulis/karyawan yang negeri mereka tidak pernah ada HSN atau ada secara tidak konsisten (bergantung pada dana Kerajaan Negeri semata-mata). Adil kepada penulis/karyawan yang tidak berpeluang dapat lebih daripada satu hadiah dalam HSN kelahiran mereka sahaja berbanding penulis/karyawan yang mungkin mendapat lebih daripada satu hadiah (karya yang sama/berlainan) atas status anak kelahiran dan pemastautin (contoh penulis A, anak kelahiran Johor [kod negeri kelahiran 01] tetapi telah 20 tahun tinggal/bermastautin di Wilayah Persekutuan). Andai kedua-dua negeri mensyaratkan anak kelahiran dan pemastautin layak untuk sertai HSN, dengan karya yang sama, A layak menyertai kedua-dua HSN dan sekiranya karyanya kuat dan bermutu, A layak mendapat dua kali hadiah atas karya yang sama pada peringkat HSN.

HSN sepatutnya hanya untuk anak negeri dan sekali menang HSN sahaja. Kalau ada rezeki dan karyanya benar-benar bermutu, kemenangan pada peringkat Hadiah Sastera Perdana Malaysia (HSPM) nanti misalnya, sudah dikira selayaknya. Dalam hal ini, tiada penulis/karyawan yang tertinggal, kecuali mereka yang tidak berminat untuk menyertainya.

Ketiga: Negeri penganjur sudah tidak “sakit kepala” untuk mensyaratkan perihal pemastautin tetap/pemastautin melebihi sekian-sekian tahun dan sebagainya. Perlu diinsafi, HSN bukan seperti sayembara-sayembara penulisan yang ada yang biasanya menjurus kepada subjek tempatan, penetapan tema dan fokus pada negeri-negeri berkenaan sahaja, penulis warganegara yang tinggal dalam negeri penganjur sahaja, dan pelbagai syarat tempatan lainnya. HSN sifatnya pengiktirafan kepada anak negeri yang berada di mana-mana, menulis di mana-mana, karya mereka menjurus tema yang universal atau tempatan, karya diterbitkan dalam Malaysia dan tiada batas-batas kesempadanan negeri yang lainnya.

Keempat: Penyeragaman dalam penilaian, kategori hadiah/pengiktirafan, tahun pelaksanaan (contohnya semua negeri ditetapkan supaya HSN dilaksanakan secara dwitahunan). Setelah diseragamkan tahun penilaian, kategori dan genre yang dinilai, pemenang kategori karya sastera (genre yang diseragamkan dengan genre yang dinilai pada peringkat negara seperti HSPM misalnya), keputusan dan pengiktirafan yang diterima dan menang semasa HSN sahaja dibawa untuk penilaian HSPM (Sekretariat HSN akan uruskan penyertaan ke peringkat kebangsaan). Sekretariat HSPM peringkat kebangsaan tidak lagi akan menerima karya-karya penyertaan yang masih dipertikaikan dari segi kualiti dan standardnya, selain lambakan penyertaan yang tidak terbatas. Hal ini kerana penyertaan untuk HSPM hanya akan dibuat oleh Sekretariat HSN berdasarkan karya-karya yang menang HSN masing-masing. Dalam erti kata yang lain, hanya pemenang HSN sahaja yang diterima untuk dinilai dalam HSPM.

Kelima: Pemenang kategori tokoh seperti Sasterawan Negeri, Sasterawan Muda Negeri, Penulis Harapan Negeri, Penggiat Sastera Negeri, dan sebagainya (dalam HASDI adalah bagi kategori Hadiah Bitara Sastera), boleh dibawa untuk penilaian kepada pencalonan Anugerah Sasterawan Negara, SEA Write Award, Anugerah MASTERA dan pelbagai hadiah, pengiktirafan peringkat nasional, Nusantara dan antarabangsa. Mutu dan ketokohan yang dicalonkan oleh negeri-negeri sekurang-kurangnya telah teruji pada peringkat negeri, untuk melayakkan mereka dicalonkan pada peringkat kebangsaan/Nusantara/antarabangsa. Panel pada peringkat tertinggi itu juga, akan menerima calon-calon yang sudah diperakui dan diiktiraf di negeri-negeri, tidak seperti sekarang yang agak terhad oleh pencalonan bebas, sehingga ada kalangan yang dianggap “tokoh” selayaknya diabaikan oleh tiadanya pencalonan atau segan diri untuk dicalonkan secara terbuka sebegitu. Panel peringkat tertinggi juga akan menerima calon-calon dengan lebih berwibawa, yang sebelumnya mungkin berada “di luar radar” panel-panel yang dilantik.

Keenam: Panel Penilai HSN dipilih bukan daripada anak negeri (membuka peluang untuk “panel penilai” turut menyertai HSN dan mengurangkan bias). Panel penilai HSPM pula sebaik-baiknya dipilih daripada kalangan bukan panel yang telah menilai karya di HPN, selain kepakaran yang sudah teruji dan amat berintegriti (bukan asal ada “PhD” dan berstatus “Prof.” sahaja).

Ketujuh: Sekurang-kurangnya dengan wujudnya HSN di negeri-negeri dengan syarat dan peraturan yang diseragamkan serta menggunakan kayu ukur penilaian yang seragam pada peringkat negeri dan kebangsaan, beberapa pertikaian dan ketidakpuasan yang sering didengar sebaik sahaja selesai setiap kali berlangsungnya HSN, HSPM, pemilihan pelbagai tokoh dalam pelbagai anugerah (peringkat nasional/Nusantara/antarabangsa) akan dapat dikendurkan. Demikian juga dalam aspek kualiti karya. Tiadanya lambakan penerimaan karya (yang entah ke mana mutunya dan entah apa-apa karyanya) diterima pada peringkat HSPM. Sekurang-kurangnya perakuan dari segi kualiti dan kekuatan sesebuah karya (buku/eceran) sudah diperakui pada peringkat negeri. Karya-karya yang dikirim ke HSPM merupakan karya-karya yang telah terpilih dan menang pada peringkat HSN.

Atas budi bicara mereka (Kerajaan Negeri) untuk menetapkan syarat penyertaan, sama ada untuk anak jati negeri sahaja, mahupun terbuka kepada pemastautin. Maaf berkata, ‘Duit mereka, mereka selayaknya yang memutuskan kehendak mereka.’ Masyarakat luar tidak wajar pertikaikan.

Pengalaman Hadiah Sastera Darul Iman (HASDI) boleh dijadikan antara contoh terbaik dalam hal ini. Beberapa contoh karya yang telah menang dalam HASDI, kemudiannya menang dalam HSPM. Pada HSPM 2021/2022 lalu (sekadar satu contoh terdekat), yang agak riuh pertikaiannya, secara senyap-senyap telah memunculkan dua buah karya yang telah memenangi Hadiah Utama HASDI 2023 bagi kategori masing-masing, iaitu buku kajian sastera, Hegemoni Kepengarangan A. Samad Ismail karya Azhar Wahid dan kumpulan sajak remaja Bulan di Langit Malam karya Nawawee Mohammad. Apabila disemak, ternyata kesemua panel penilai bagi kategori yang dimenangi dalam HASDI dan HSPM merupakan orang yang berbeza. Penulis percaya, HSN di negeri-negeri lain juga ada.

Dalam konteks HSN di beberapa negeri yang dilangsungkan sekarang, perlu disedari bahawa tunjangan HSN ialah Kerajaan Negeri masing-masing. Makanya, atas budi bicara mereka untuk menetapkan syarat penyertaan, sama ada untuk anak jati negeri sahaja, mahupun terbuka kepada pemastautin. Maaf berkata, “Duit mereka, mereka selayaknya yang memutuskan kehendak mereka.” Masyarakat luar tidak wajar pertikaikan. Cuma untuk melegakan, dalam konteks HSN yang tidak semua negeri wujud hari ini, penganjur boleh atas budi bicara mereka untuk memutuskan syarat penyertaannya. Terimalah hakikat bahawa tidak semua negeri dalam Malaysia yang mampu atau yang diutamakan oleh Kerajaan Negeri untuk melihat pentingnya pengiktirafan dan penghargaan kepada penulis atau sasterawan di negeri masing-masing.

Oleh sebab itu, kita menuntut agar HSN diseragamkan dan ditunjangi oleh Kerajaan Persekutuan. Apabila telah ada, disediakan syarat dan peraturan yang seragam dan kemas sempurna, tiada sesiapa boleh mempertikaikan bahawa HSN ialah “hak negeri masing-masing”. Hal ini sudah menjadi hak negara untuk negeri-negeri. Pertikailah pada peringkat negeri masing-masing andai masih ada yang tidak puas hati. Namun yang jelas, jika semua negeri sudah ada HSN masing-masing, tiada lagi perkara yang berbangkit (terutamanya dari aspek untuk anak jati atau pemastautin – kecuali yang mungkin tetap ada [sampai bila-bila] ialah pertikaian dari segi mutu penilaian), selain sedikit isu bagi mereka yang tidak mahu menyertainya. Hal itu bukan lagi masalah umum. Walau bagaimanapun, sekurang-kurangnya, sudah banyak isu atau masalah dapat diselesaikan, seterusnya semua pihak dapat memanifestasikan HSN sebagai pengiktirafan dan penghargaan tertinggi di negeri oleh Kerajaan Persekutuan kepada anak jati negeri masing-masing.

Untuk menutup mulut daripada semua pengkritik dan ketidakpuasan hati beberapa pihak terhadap HSN/HSPM, malah pada hampir semua bentuk anugerah/sayembara termasuklah Anugerah Sasterawan Negeri, SEA Write Award, Hadiah Sastera MASTERA atau Anugerah Sastera Negara sekalipun (dalam pelbagai isu), tetap tidak dapat dielakkan. Hal yang boleh dibuat, kita berusaha membatasinya dengan kaedah dan cara yang dirasakan tepat dan munasabah.

Kalau sehingga mengkritik pelantikan panel penilai, sememangnya diakui, kita tidak dapat menghalangnya. Cuma marilah kita sama-sama mencadangkan kepada mereka yang berspesies begini (senantiasa tidak puas hati dalam semua hal) dan merasakan bahawa dunia sastera Malaysia hari ini seolah-olah kepunyaan mereka sahaja dan merekalah yang paling bijak bestari yang melahirkan para teoretis sastera berkelas dunia, bukalah “dunia sastera” mereka sendiri dengan teori-teori mereka sendiri. Wujudkanlah hadiah sastera dalam kalangan mereka sendiri. Pedulikan “dunia sastera perdana” yang telah ada ini. Katakan, “Lantak kaulah sastera Malaysia, apa pun nak jadi. Itu bukan urusan kami lagi. Kami sudah ada dunia sastera dan anugerah kami tersendiri.”

Maka, kami penerus dunia sastera mapan ini dengan rela dan redanya akan menjawab seikhlasnya, “Ada aku kisah?”

_________________________

Abdul Mubin Ismail, penulis dan aktivis berpengalaman lebih 40 tahun dalam organisasi bukan kerajaan penulisan, seni budaya negeri dan kebangsaan. Pencetus Hadiah Sastera Darul Iman (HASDI) anjuran Kerajaan Negeri Terengganu dan diberi amanah selaku Pengerusi Sekretariat Pelaksanaan HASDI semenjak HASDI I/2013.

Kredit Foto: Firus Fansuri
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi