Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Terengganu – Sastera dan budaya merupakan cerminan jiwa bangsa, sekali gus menjadi wadah yang memantulkan nilai budi, keindahan bahasa dan keluhuran pemikiran masyarakat yang beradab.
Demikian ditegaskan oleh Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, YB Ustaz Sulaiman Sulong yang mewakili Menteri Besar Terengganu ketika merasmikan Majlis Penyampaian Hadiah Sastera Darul Iman VII (HASDI VII) 2025 di The Grand Puteri Hotel, Kuala Terengganu, semalam.
Menurut beliau, bangsa yang tinggi martabat sasteranya ialah bangsa yang halus budinya, kerana karya yang lahir daripada jiwa yang bersih mampu membentuk manusia menuju ketakwaan dan kesejahteraan. “Sastera yang sejati ialah sastera yang mengangkat martabat manusia menuju ketakwaan,” ujarnya.
Beliau berkata, Kerajaan Negeri Terengganu sentiasa memberikan perhatian dan penghargaan tinggi terhadap kegiatan sastera kerana bidang ini mempunyai peranan besar dalam pembentukan intelektual, jati diri serta tamadun bangsa.
Sastera, katanya, tidak sekadar perhiasan kata atau luahan emosi, malah turut berfungsi dalam pembangunan insan yang mampu menyentuh hati, mencelikkan akal dan membimbing tindakan masyarakat.
Dalam dunia moden yang dipenuhi pelbagai aliran pemikiran dan nilai budaya yang bersilang dan bercampur, beliau menegaskan bahawa betapa pentingnya sastera dibangunkan mengikut acuan Islam berpaksikan al-Quran dan Sunnah.
Katanya, sastera yang bersumberkan wahyu ibarat pohon yang akarnya teguh pada iman, cabangnya menjulang memberikan manfaat dan buahnya membawa kebaikan kepada masyarakat.
Beliau turut menekankan bahawa budi bahasa dan nilai budaya tinggi merupakan lambang ketamadunan bangsa Melayu-Islam. Kehalusan bahasa, jelasnya, menyimpan hikmah, manakala keindahan sastera pula mencerminkan akhlak dan iman yang mendasari jiwa penulis serta pembacanya.
Majlis tersebut turut meraikan para sasterawan dan penulis yang memainkan peranan penting dalam memperkaya khazanah intelektual negara melalui karya bermutu dan berjiwa rakyat. Menurut beliau, karya-karya inilah yang membantu dalam membina masyarakat yang berfikir, berakhlak dan berbudaya tinggi.
Mengakhiri ucapannya, beliau menyeru para sasterawan, penulis dan penggiat budaya agar terus menulis dengan jiwa yang luhur, berkarya dengan pemikiran yang tajam serta membina, dan berperanan sebagai penyuluh minda serta nurani bangsa.
“Semoga sastera terus menjadi alat pembangunan manusia dan tidak sekadar elemen dalam mengindahkan bahasa, tetapi mampu memuliakan akal, memperkaya jiwa serta memperkukuh tamadun,” katanya.
Majlis HASDI VII 2025 turut dihadiri Ahli Lembaga Pengelola Dewan Bahasa dan Pustaka, Dr. Fahd Razy; Ketua Satu Persatuan Sasterawan Terengganu (PELITA), Kamarulzaman Ismail; Presiden Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (GAPENA), Datuk Haji Zainal Abidin Datuk Wira Borhan; Presiden Pertubuhan Peradaban Melayu Malaysia Kelantan (PERADABAN), Datuk A. Aziz Deraman serta Presiden Dewan Persuratan Melayu Pahang (DPMP), Dato’ Profesor Mohd Mansor Abdullah.