Oleh Karmila Azmi
6 Mac 2022, 13:17

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Terengganu – Dato’ Haji Abdul Rashid Ngah, tokoh yang dinobatkan sebagai penerima Hadiah Bitara, Anugerah A. Rashid Ngah dalam majlis Hadiah Sastera Darul Iman kali kelima (HASDI V) malam tadi bukanlah bermula sebagai penulis. Sebaliknya, beliau seorang guru Matematik.

Pengarang Terengganu, Tuan Sharif Putera dalam majlis Seminar Pemikiran A. Rashid Ngah menyebutkan, beliau pertama kali mengenali Abdul Rashid pada tahun 1957 ketika tokoh itu bertugas sebagai guru di Sekolah Kebangsaan Durian Tunggal.

“Ketika itu, saya ialah muridnya dan dia tidak mengajar subjek Bahasa Melayu sebaliknya Matematik. Dengan kedudukan itu seterusnya beliau menyambungkan pengajian,” katanya.

Tegas Tuan Sharif Putera, hubungannya dengan Abdul Rashid amat dekat malah terbabit sama dalam penubuhan Persatuan Sasterawan Terengganu (Pelita) pada tahun 1966 yang menyaksikan Abdul Rashid dilantik sebagai Ketua Satu.

“Mesyuarat ketika itu melantik beliau kerana ketika itu Abdul Rashid sudah dikenali.

“Beliau sudah pun menghasilkan novel Di Bawah Alunan Ombak terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka pada tahun 1961, malah dijadikan buku teks sastera dan dicetak berulang kali,” katanya.

Seminar itu yang dikendalikan oleh Alias Ismail turut menampilkan pensyarah Universiti Malaya, Prof. Madya Dr. Tengku Intan Marlina Tengku Mohd Ali dan pensyarah Universiti Putra Malaysia, Prof. Dr. Kamariah Kamarudin.

Sementara itu, Tengku Intan Marlina ketika berkongsi kertas kerjanya “Emosi Takut dan Sedih dalam Kumpulan Cerpen Pelita Sebuah” berkata, naskhah yang mengandungi 10 buah cerpen itu berjaya merakamkan emosi dan realiti masyarakat.

Naskhah itu yang diterbitkan pada tahun 1981 katanya sukar untuk diperoleh di pasaran tetapi dianggap sebagai testimoni kepengarangan Abdul Rashid.

“Berdasarkan teori rasa fenomenologi, cerpen-cerpen dalam naskhah ini mewujudkan rasa kepada pembaca melalui gambaran emosi yang dipaparkan oleh pengarang.

“Dalam empat cerpen terpilih, iaitu ‘Pelita Sebuah’; ‘Mak Andak Gila’; ‘Pembeli’; dan ‘Robohnya Benteng Akhir’, setiap watak yang tampil menimbulkan riak emosi kepada pembaca.

“Misalnya watak Salim dalam ‘Pelita Sebuah’, pembaca dapat merasai ketakutan Salim, seorang watak berusia 12 tahun kepada ibunya sehingga dia membohongi ibunya.

“Malah Salim digambarkan menjalani kehidupan yang sukar hingga menghasilkan pelita sendiri kerana rasa takut pada guru jika gagal menyiapkan kerja sekolah,” katanya.

Simpati pembaca lebih tertumpah apabila berlaku kebakaran kecil disebabkan oleh pelita itu yang menjelaskan lagi emosi takut Salim.

Bagi Kamariah yang melihat novel Ibu tulisan Abdul Rashid melalui “Ibrah Surah-surah Pilihan dalam Novel Ibu” berkata, watak ibu kerap diangkat oleh pengarang tempatan dan setiap kali berbuat demikian, watak ibu menimbulkan kesan yang mendalam.

Berdasarkan surah terpilih, iaitu Ali’ Imran; al-Baqarah; Hud; Muzzamil; dan al-Isra, Kamariah memperjelas mengenai watak Mak Nah yang dsifatkan sangat bersabar dalam usaha mendidik anaknya, walaupun anak itu terlalu banyak menimbulkan masalah.

“Watak Mak Nah sangat positif dan sabar walaupun si anak berkelakuan jahat. Novel ini menunjukkan sosok keperibadian wanita yang meletakkan kesabaran sebagai nadi kehidupannya.

“Kesabaran mendoakan anak ini sejajar dengan ibrah yang dikemukakan dalam surah terpilih,” katanya.

Seminar Pemikiran A. Rashid Ngah merupakan sebahagian daripada aturcara program HASDI V.

Tonton acara penuh di sini.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.