23 September 2023, 23:59

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Terengganu – Mohd bin Abdullah atau lebih dikenali sebagai Hilmi Rindu diumumkan sebagai Sasterawan Negeri Terengganu dalam Majlis Penyampaian Hadiah Sastera Darul Iman VI (HASDI VI) malam tadi di Hotel Grand Puteri, Kuala Terengganu, Terengganu.

Hilmi Rindu dinobatkan sebagai Sasterawan Negeri Terengganu 2023.

Beliau yang pernah membina lebih daripada 800 buah puisi turut merangkul satu Hadiah Karya Sastera bagi Kumpulan Puisi Remaja dalam Kategori Buku (Perseorangan) dan tiga Hadiah Karya Sastera bagi Kumpulan Puisi Remaja dan Puisi Umum dalam Kategori Karya Eceren.

Selain itu, penulis Marzuki Ali diumumkan sebagai penerima Anugerah Cekal Sastera Negeri Terengganu, iaitu anugerah yang pertama kali diperkenalkan pada tahun ini untuk memberikan pengiktirafan kepada individu yang cekal dan tekal memberikan sumbangan kepada perkembangan sastera dan persuratan di Terengganu.

Manakala Anugerah A. Rashid Ngah diberikan kepada Abdul Mubin Ismail yang merupakan Ketua Dua Persatuan Sasterawan Terengganu (PELITA) atas komitmen dan kegiatan aktif beliau dalam dunia sastera terutamanya melalui badan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bahasa, sastera, seni dan budaya.

Majlis dimeriahkan dengan kehadiran Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO Negeri Terengganu, YB Haji Hishamuddin Abdul Karim selaku wakil Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO Negeri Terengganu, Yang Berhormat Haji Hishamuddin Abdul Karim ketika menyampaikan teks ucapan alu-aluan Menteri Besar Terengganu.

Ujar beliau semasa menyampaikan ucapan Menteri Besar Terengganu,

Para sasterawan dengan karya-karya sastera mereka menyemai pemikiran dan arus fikir, dan mereka jugalah yang menumbuhkan segugus nurani dan setangkal peribadi. Tanpa sasterawan, tanpa penulis, negara ini tandus dan mati.

Sementara itu, Ketua Satu PELITA, Encik Kamarulzaman Ismail pula menyatakan bahawa pemilihan pemenang dilakukan oleh panel penilai yang diiktiraf pada peringkat Asia Tenggara seperti penerima dan panel SEA Write Award serta para sarjana sastera yang berkelayakan.

Ketua Satu PELITA, Encik Kamarulzaman Ismail semasa menyampaikan ucapan alu-aluannya.

Para intelektual atau pakar sastera dalam kalangan anak Terengganu dikecualikan sebagai panel penilai bagi mengelakkan pengaruh sentimen negeri dan daerah.

Berlangsung dalam majlis yang sama ialah Sesi Pelancaran Buku Simpang Jodoh: Antalogi Cerpen Penulis Terengganu dan Hadiah VI: Kompilasi Penerima Hadiah Sastera Darul Iman VI.

Buku Simpang Jodoh: Antalogi Cerpen Penulis Terengganu dan Hadiah VI: Kompilasi Penerima Hadiah Sastera Darul Iman VI.

Turut hadir dalam tersebut ialah Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Timur (DBPWT), Puan Ariza Haji Che Ismail; wakil Pengerusi Majlis Permuafakatan Penulis Malaysia (MPPM), Encik Mokhtar Omar; dan Presiden Gabungan Persatuan Penulis Nasional (GAPENA), Datuk Zainal Abidin Borhan.

Panel Penilai bagi HASDI VI 2023 ialah Dr. Ghazali Lateh, Dr. Abang Patdeli Abang Muhi, Dr. Mohamad Shaidan, Encik Zainal Palit atau Zaen Kasturi, Haji Hamzah Hamdani dan Encik Mohd Ridzuan Harun.

Senarai Penerima HASDI VI

1. Hadiah Bitara Sastera

Sasterawan Negeri Terengganu: Hilmi Rindu
Anugerah Cekal Sastera Negeri Terengganu: Marzuki Ali
Anugerah A. Rashid Ngah: Abdul Mubin Ismail

2. Hadiah Karya Sastera

Bahagian A – Buku (Perseorangan)

Kumpulan Puisi Kanak-kanak: Tiada pemenang

Kumpulan Puisi Remaja
Hadiah Utama: Bulan di Langit Malam (Nawawee Mohammad)
Hadiah Penghargaan: Di Ruang Taman dan di Meja Hidangan (Hilmi Rindu)

Kumpulan Puisi Umum
Hadiah Utama: Harapan (1977 – 2019) (Marsli N.O)
Hadiah Penghargaan: Ratib Fikir dan Qasidah Zikir Terakhir (Husna Nazri)

Kumpulan Cerpen Kanak-kanak: Tiada pemenang

Kumpulan Cerpen Remaja: Tiada pemenang

Kumpulan Cerpen Umum: Tiada pemenang

Novel Kanak-kanak
Hadiah Utama: Sahabat Sejati.com (Nurimas SN)
Hadiah Penghargaan: Kampung Ayah Jauh di Mata (Ghazali Ngah Azia)

Novel Remaja
Hadiah Penghargaan: Sukarelawan nan Lima (Nurimas SN)

Novel Umum
Hadiah Penghargaan: Penghujung Kasih (Embong Muhammad)

Buku Sastera (Esei Sastera)
Hadiah Penghargaan: Membakar Sastera (A. Muziru Idham)

Buku Sastera (Kritikan/Kajian Sastera)
Hadiah Utama: Hegemoni Kepengarangan A. Samad Ismail (Azhar Wahid)
Hadiah Penghargaan: Proses Kreatif Model & Pengalaman Penyair (A. Halim Ali)

Biografi/Autobiografi/Travelog
Hadiah Utama: Travelog Haramain (Ayob Mamat)

Bahagian B – Eceran

Puisi Kanak-kanak
Hadiah Utama: “Nasihat Buat Anak” (Romaini Mustafa)

Puisi Remaja
Hadiah Utama: “Sayap Bahasa” (Hilmi Rindu)
Hadiah Penghargaan: “Terima Kasih Usia” (Husna Nazri), “Bahasa Sang Hujan” (Nur Akmaliah Alias), “Nafas Malam Pertapa” (A. Muziru Idham), “Peluru” (Alias Ismail), “Kota Ilmu” (Hilmi Rindu)

Puisi Umum
Hadiah Utama: “Kata-kata yang Melekat di Jendela” (A. Muziru Idham)
Hadiah Penghargaan: “Cerita antara Dua Kota” (Awang Abdullah), “Nyanyian Bulan Dua Belas” (Wikunila MS), “Tanpa Tajuk” (Marsli N.O), “Kebenaran” (Hilmi Rindu), “Hadiah Kebenaran” (Husna Nazri)

Cerpen Kanak-kanak
Hadiah Utama: “Tuah Kebenaran” (Sharif Putera)
Hadiah Penghargaan: “Pewaris Tuk Wan” (Nurimas SN), “Tragedi Gunung Jerai” (Husna Nazri)

Cerpen Remaja
Hadiah Utama: “Debu-debu Ogos” (Zulaikha Adam)
Hadiah Penghargaan: “Badak” (Alias Ismail), “Sepasang Tangan nan Berdoa” (Zulaikha Adam), “Cerita Rumah Api di Kampung Kami” (Husna Nazri), “Hadiah Jadi Saksi” (Zulaikha Adam), “Perahu” (Alias Ismail)

Cerpen Umum
Hadiah Utama: “Semenjak Kali Pertama Bertemu Rem” (Husna Nazri)
Hadiah Penghargaan: “Imam Sulong” (Sharif Putera), “Hari-hari Sunyi Kartini” (Zulaikha Adam), “Adik Hafsah, Nantikan Kak Ngah!” (Kamariah Kamarudin), “Seorang Wanita Terlucut Baju Senyawa Kuningnya” (Nurimas SN), “Pemilu Ranahku yang Satu” (Nurimas SN)

Skrip Drama Pentas
Hadiah Utama: “Titah Mandalika” (S.M. Noor)

Skrip Drama Radio: Tiada pemenang

Bahagian C – Eceran (Penulis berusia 21 tahun ke bawah)

Karya Kreatif: Tiada pemenang

Kredit Foto: Khairul Azhar Baharuddin

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.