Diterbitkan pada 12 Disember 2025, 11:53

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Abd. Aziz Purba mengulas kumpulan puisi terbaharu Hilmi Rindu, Lingkaran Sunyi dari sudut pandang rohaniah.

Hilmi telah membawa nilai pemikiran yang berbeza di sisi pengalaman dunia kesusasteraan dan kemanusiaan …

Setelah menelusuri semua sajak lewat kumpulan puisi Lingkaran Sunyi (2024), saya dapat mengesan bahawa Hilmi Rindu dengan penuh tawaduk telah menyusun suara gerak rasa dan gerak zihin[i] bersama-sama pancaran mujahadah pencarian diri. Dalam hal ini, mungkin agak melampau jika saya meletakkan Hilmi seolah-olah mengajak pengamal sastera menyelam ke dasar alam metafizik.

Mengapa “Lingkaran Sunyi”? Hakikat kebenaran hadir atas jalan dan lorong yang sunyi. Lantaran itulah sentuhan Hira menjadi premis sunyi (tahannuth) buat Nabi Muhammad SAW menerima perintah Ilahi.

Lingkaran Sunyi menghimpunkan kombinasi akrab antara nilai fikir (thought values) dengan nilai rasa (taste value) Hilmi Rindu. Secara mudah, proses membina ilmu dan kefahaman yang dikaitkan dengan aktiviti mental sering dirujuk sebagai nilai pemikiran. Walaupun wujud kepelbagaian dalam fakulti pemikiran, seperti pemikiran lateral, pemikiran vertikal, pemikiran kritis, pemikiran kreatif (divergent), pemikiran penyelesaian masalah (convergent), pemikiran reka cipta, dan pemikiran celik akal, namun terdapat satu keadaan yang tidak layak ditempatkan dalam fakulti pemikiran, iaitu hal ehwal transendental (kecuali unsur laduniah), yang hanya mampu ditanggung-bawa oleh manusia terpilih.

Secara mudah, nilai pemikiran tidak lain ialah proses aplikasi minda untuk menemukan makna, menyelesaikan segala keraguan (masalah) dan rintangan yang dihadapi.

Hilmi kali ini membawa keunikan tersendiri dalam menyampaikan (ekspresi) pesanan batin seninya. Seperti pernah saya ungkapkan dalam wacana bedah buku kumpulan puisi beliau terdahulu, yang menunjangi gerak zihin beliau sehingga melahirkan Lingkaran Sunyi adalah apabila wujud hasrat untuk menyempurnakan hakikat pencarian dirinya (setelah sekian lama berakar umbi). Hal yang sedemikian ditemukan pada setiap langkah dan duduk dirinya di medan ilmu, seperti yang tertulis dalam prakata buku kecil ini: “Lingkaran Sunyi merupakan sebahagian rasa keinsafan diri dalam mencari erti perjalanan hidup yang diredai Allah SWT. Ia bermula dengan memilih pengajaran daripada jala ilmu yang ditebarkan oleh para da’i di masjid atau musala” (2024: ix).

Hilmi Rindu

Misi Hilmi bertepatan dengan prinsip dan wasilah yang dibawa oleh para anbia, para mursalin, para solihin, dan yang sejalan dengannya, iaitu amar ma’aruf dan nahi mungkar. Dua paksi inilah asas perjuangan abadi dalam membangunkan tauhid-suci sejak Nabi Adam a.s. Hakikat inilah menjadi teras pemikiran beliau yang terpancar sarat dalam Lingkaran Sunyi.

Sungguhpun secara distikon Hilmi Rindu cuba mengelakkan pembaziran kata, seperti dalam “Jujur” (hlm. 13) dan “Masalah” (hlm. 45), namun sajak-sajak ini memberikan impak kendiri yang cukup mendalam kepada khalayak pengamal sastera. Saya tidak berhasrat membedah kumpulan puisi ini atas kontinjen linguistik, seperti pilihan diksi, gaya bahasa (simbol, unsur perlambangan) dan struktur bahasa semata-mata, tetapi saya akan menerokai dan menumpukan aspek nilai pemikiran sebagai subjek penelitian utama yang tersembunyi di sebalik susun jalin kata yang dipilih.

Pada umumnya, melebihi 75%, penyajak mendukung konotasi daripada denotasi dalam Lingkaran Sunyi. Tanpa menafikan yang Hilmi masih tidak mampu membebaskan diri daripada belenggu ambiguiti yang sudah pasti membawa kepada multitafsir, lantas melahirkan sudut pandang berbeza kepada pengamal dan pengkritik sastera. Garapan pemikiran penyajak pada lewat 55 buah sajak ini masih amat terikat dengan pemikiran kritis-kontradiktif. Benar, hasrat murni dan gunung angan beliau ingin berdamai dengan waktu dan takdir yang menerjah dalam kompleksiti kehidupannya. Tidak dinafikan sama sekali hal ini jelas tergambar dalam antologi ini.

Sesungguhnya, buah bicara zihin HIlmi berpangkal dan bersandarkan kehendak-tujuan Allah SWT mencipta manusia itu sendiri: “Dan Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan supaya mereka mengabdikan diri kepada-Ku.” (Surah Adz-Dzariyaat, 51: 56).

Saya menilik Lingkaran Sunyi seiring dengan tujuan di atas. Teradun lima gugusan penting dalam penciptaan “bapa kepada seluruh manusia” Adam a.s., iaitu roh (jiwa), jasad, akal, nafsu, dan kalbu (hati). Saya yakin, kumpulan puisi ini membawa mesej untuk merimbuni pencarian diri ke satu titik temu yang cukup menginsafkan. Ternyata layak sebagai Sasterawan Negeri Terengganu, Hilmi telah membawa nilai pemikiran yang berbeza di sisi pengalaman dunia kesusasteraan dan kemanusiaan, juga mungkin tersembunyi pengalaman spiritual yang tebal, telah mempertemukan kita, selaras dengan maksud penciptaan insan pada posisi yang benar dan menjadikan kita lebih bijaksana serta bertanggungjawab.

Lingkaran 1: Gugusan Roh (Jiwa)

Ketahuilah olehmu wahai sekalian anak Adam, sesungguhnya antara anggota tubuh yang paling panjang di dalam jasad ialah lidah …

Roh tidak dapat diteliti atau dikaji secara empirikal dan fizikal. Bahkan, gugusan roh adalah dalam taklukan dan urusan Ilahi. Namun begitu, gugusan roh ialah komponen kembar pada gugusan jasad. Tajali roh adalah pada nyawa, nafas dan hidup (hayat). Dalam hal ini, antara sajak Lingkaran Sunyi yang termasuk dalam gugusan ini ialah “Kembali ke Diri” (hlm. 1) dan “Lingkaran Sunyi” (hlm. 2).

Dalam “Kembali ke Diri”, penyajak memperingatkan betapa segala gerak tingkah kita (dengan niat), semuanya menjadi “calitan hak-diri sendiri” yang akan dipertanggungjawabkan kelak, sejajar dengan firman Allah SWT: “Sesiapa yang mengerjakan kebaikan seberat zarah pun, nescaya akan dilihat balasannya. Dan sesiapa yang mengerjakan kejahatan seberat zarah pun, nescaya akan dilihat balasannya jua.” (Surah Az-Zalzalah, 99:7–8).

Dalam “Lingkaran Sunyi” pula menghidangkan suapan batin dan bisikan zihin Hilmi pada kesempatan dan detik “bermujahadah membimbing diri”, bersunyi malu di hadapan Azzawajalla Yang Maha Agung. Keakraban sebagai puncak roh kenikmatan dapat dirasakan oleh seseorang insan apabila rasa hina dan lebur diri diakui dan disahkan oleh sifat kehambaan yang sebenar.

Lingkaran 2: Gugusan Jasad (Jasmaniah)

Jasad ialah unsur kedua terpenting dalam penciptaan manusia sempurna.[ii] Sifat sesuatu jasad terbentuk dan terikat pada ruang fizikal lalu berinteraksi secara jasmaniah (sesama anggota jasad). Unsur jasad dikenal, diterima, dipengaruhi, dan mempengaruhi. Saya menempatkan 15 buah sajak dalam gugusan ini, termasuklah “Awal Pagi” (hlm. 4) “Tetapi” (hlm. 6), “Wajah Kesabaran” (hlm. 10), “Mata yang Bersaksi” (hlm.14), “Lidah” (hlm. 15), “Lidah yang Basah” (hlm.18), “Mata yang Tercela” (hlm. 19), “Saat Tangan Tidak Mampu Memberi” (hlm. 23), “Seperti Rambut di Kepalamu” (hlm. 27), “Erti Sepasang Kaki” (hlm. 28), “Tempat Laluan” (hlm. 29), “Ceritera tentang Telunjuk dan Kelengkeng” (hlm. 37), “Keringat” (hlm. 49), “Air Mata” (hlm. 50), dan “Lembut Tanganmu” (hlm. 55).

Sajak “Lidah yang Basah” misalnya, menyedarkan seseorang bahawa lidah bukanlah satu-satunya anggota fleksibel yang boleh dibawa ke mana-mana sahaja (dekat dan jauh). Lidah tidak hanya berfungsi sebagai medium yang melahirkan suara dan bacaan, malah “syurga” dan “neraka” boleh terbina atas sebatang lidah yang tidak bertulang itu. Lidah boleh mengaji, memuji dan mengeji. Anggota badan yang paling jauh berjalan ialah lidah, bukannya kaki. Perhatikan kata-kata ini:

Ketahuilah olehmu wahai sekalian anak Adam, sesungguhnya antara anggota tubuh yang paling panjang di dalam jasad ialah lidah. Maka, ia akan memanjangkan kata-kata seseorang itu ke atas tiap-tiap lidah anak Adam yang lain pula. Dan ingatlah bahawa jauhnya berjalan tiap-tiap kata-kata seseorang anak Adam itu tidak akan berhenti pada sesuatu perhentian seumpama berjalannya dua kaki yang melangkah selagi disebabkan lidah itu tidak mengandung barang sedikit pun tulang yang keras. Begitulah adanya …

(“Gerak yang ke-56” dlm. Asahan Jiwa)

Anggota tangan ibarat anggota paling berkuasa yang mampu mengubah sesuatu. Bersedekah (berinfak) tidaklah bermakna selamanya dengan wang yang besar dan banyak. Semua anggota jasad diberi ruang dan peluang untuk bersedekah, biarpun sekecil-kecil perbuatan laksana mengalih duri[iii] di jalanan. “Saat Tangan Tidak Mampu Memberi” ialah gerak zihin penyajak yang khusus ditujukan kepada insan daif yang tidak berkemampuan ringgit (pitis atau emas).

Mari kita renungi jari-jemari. Dua anggota jasad tumbuh pada daerah yang sama, iaitu jari telunjuk dan jari kelengkeng telah menghasilkan perumpamaan yang benar-benar pedih. Gambaran pada fiil punah dan khianat. Apabila diluruskan, jari telunjuk dan kelengkeng tidak sama panjang sebaliknya berada di kedudukan sama rata apabila semua jari dikepal menjadi satu genggaman. Saya melihat “Ceritera tentang Telunjuk dan Kelengkeng” dalam jalur-pandang yang berbeza:

Maka setiap dari kita diciptakan dua tangan yang setiap satunya adalah tumbuh dengan lima jari. Adapun pemimpin itu adalah ibu jari dan kelengkeng itu hamba. Dan terhimpun sebuah kuasa apabila dikepal oleh bersatunya dua puluh delapan buku dan sendi. Di sinilah berdiri kehidupan.

(“Gerak yang ke-3” dlm. Asahan Jiwa)

Lingkaran 3: Gugusan Akal

Tingkat kefahaman atas keilmuan manusia sering dirujuk sebagai akal fikiran (reason). Sebenarnya, akal fikiran ialah elemen pendalilan atau pembuktian (istidlal), iaitu manifestasi daripada penelitian akal terhadap pelbagai dalil (bukti) untuk menemui maksud atau tujuan yang tertentu. Harus diperhatikan bahawa akal bukan akal fikiran semata-mata, malah akal boleh melepasi makna dan pengertian komprehensif yang boleh mencakupi zihin manusia itu sendiri. Tanggungjawab induk akal ialah memimpin kehidupan.

Saya dapati sebanyak 19 buah sajak dalam gugusan ini, termasuk “Keserian Hari” (hlm. 5), “Bahtera” (hlm. 7), “Kalau Janji Telah Sampai” (hlm. 12), “Tanpa Terkecuali” (hlm. 25), “Penunjuk Jalan” (hlm. 32), “Tidak Semua” (hlm. 33), “Dia Kelihatan Lelah” (hlm. 39), “Menjadi Penyebab” (hlm. 40), “Hakikatnya” (hlm. 42), “Belum Sampai” (hlm. 43), “Tidak Mengapa” (hlm. 44), “Masalah” (hlm. 45), “Pulang ke Akal” (hlm. 46), “Pemberi Nasihat” (hlm. 47), “Tekad” (hlm. 48), “Cahaya yang Tersurat” (hlm. 51), “Tidak Semua yang Luruh” (hlm. 52), “Benih yang Bertunas” (hlm. 53), dan “Tunas yang Mencuar” (hlm. 54).

Sajak Keserian Hari agak ambigius dan tidak terlerai oleh rasional akal konvensional. Manusia sepanjang perjalanan kehidupan tidak dapat melepaskan diri daripada musuh dan bermusuh demi mencapai cita-cita. Mereka sering terbabas daripada pertimbangan akal.

Cuit pemimpin pula tersingkap dalam “Bahtera”. Secara konotasi, bahtera yang dinukilkan di sini merujuk akal yang memimpin diri seseorang. Persepsi saya berdasarkan pilihan kata pada dua baris terakhir: “tidak kelihatan tetapi mencengkam/seperti deru halus dan tajam.” (2024:7).

Pimpinan akal ke atas peribadi jelas dalam tempikan batin Hilmi yang dibingkis lewat sajak “Penunjuk Jalan”. Sebagai pemimpin, akal diberi pilihan ke arah mana ingin dibawa kepemimpinan diri. Sajak ini ialah neraca rasionalisme kepada mereka yang benar-benar berakal.

Antara sajak yang paling sarat diksi ambiguiti, namun hadir dengan penuh makna tentang cita-cita kehidupan insan tergambar dalam “Dia Kelihatan Lelah”. Secara mudah, semua orang mengejar hasrat dan kehendak, sama ada tercapai atau tidak. Kata ‘Dia’ dalam sajak ini merujuk semua orang yang berakal.

Sajak “Hakikatnya” pula membawa makna yang sangat dekat dengan sajak “Dia Kelihatan Lelah” dan “Belum Sampai”. Sajak “Hakikatnya” ialah adaptasi akan hakikat mengenal diri dan makrifatullah[iv] yang belum tercapai (masih cetek).

Lingkaran 4: Gugusan Nafsu

Nafsu (نَفْسٌ) secara bahasa bererti jiwa, diri atau ego. Kewujudan nafsu melahirkan dorongan hati (keinginan) yang kuat ke arah membentuk perkara baik dan buruk (berdasarkan tingkat-tingkat nafsu yang khusus). Sejak zaman-berzaman, umum telah menerima hakikat nafsu ialah peruntuh kejernihan batin dan peribadi. Impak gerak nafsu ialah tanggungan sendiri.

Sekurang-kurangnya, terdapat lapan buah sajak daripada kumpulan Lingkaran Sunyi yang boleh dihimpunkan dalam gugusan ini, iaitu “Bagai Terlihat” (hlm. 3), “Mulut dan Jari” (hlm. 8), “Mata” (hlm. 9), “Dari Dalam Kamar Itu” (hlm. 16), “Penjaja Dusta) (hlm. 17), “Benci” (hlm. 24), “Yang Terlintas, Melintas-lintas” (hlm. 30), dan “Mulut yang Tidak Tersaring” (hlm. 36).

“Mata” ialah anggota jasad yang sangat kuat mempengaruhi nafsu. Memelihara mata bermakna mengawal dan mengehadkan pandangan. Sajak “Mata” ditinta dalam dua rangkap, bertepatan dengan hakikat setiap orang dikurniakan dua mata. Rangkap pertama: mata fizikal (organ pengesan cahaya), manakala rangkap kedua: mata basirah.[v]

Kita tidak seharusnya melihat amalan membenci dan dibenci dalam satu dimensi sahaja. Seseorang akan dibenci apabila membenci. Hakikatnya, seseorang patut dipuji apabila mengamalkan sikap membenci. Tepat sekali, “benci yang terpuji” terpendam dalam sajak “Benci”. Inilah detik hati zihin Hilmi yang berbeza daripada kebiasaannya.

Sajak “Mulut yang Tidak Tersaring” pula berkisah tentang “najis mulut” yang perlu disamak dengan pencuci paling mustajab, iaitu zikrullah.

Lingkaran 5: Gugusan Kalbu-Jiwa (Hati)

Nilai pemikiran yang ditapis oleh penyajak daripada setiap kata dan ungkapan yang tersirat kemas ialah kontradiksi antara gugusan akal dengan gugusan nafsu yang telah sekian lama diam di gubuk hati.

Hal yang saya maksudkan dengan gugusan ini ialah semua lintasan zihin (kalbu lebih zihin, hati lebih zahir) yang diterjemahkan kepada gerak tindak anggota jasad yang zahir.[vi] Kebanyakan sajak dalam Lingkaran Sunyi lebih cenderung kepada proses jerayawara gerak batin penyajak dalam perjalanan pencarian hakikat diri: keimanan dan ketakwaan ialah jambatannya. Bukan mudah berdamai dengan takdir dan waktu kerana segalanya menuntut mujahadah yang seru. Nilai pemikiran yang ditapis oleh penyajak daripada setiap kata dan ungkapan yang tersirat kemas ialah kontradiksi antara gugusan akal dengan gugusan nafsu yang telah sekian lama diam di gubuk hati.[vii] Gugusan-gugusan inilah secara terus-menerus melangkah bersama-sama nafas kehidupan dan kesunyian yang ditempa.

Terdapat sejumlah sajak yang dapat saya guguskan dalam lingkaran ini, termausklah “Mencari Ketenangan Diri” (hlm. 11), “Mata yang Beraksi” (hlm. 13), “Merenung Diri” (hlm. 20), “Ketekunan Sabar” (hlm. 21), “Luka Itu di Mana, Sakitnya Tetap di Hati” (hlm. 22), “Keyakinan Itu” (hlm. 26), “Penyeru Kebaikan, Penunjuk Jalan” (hlm. 31), “Hati yang Lalai” (hlm. 34), “Hati yang Baik” (hlm. 35), “Kesulitan Jiwa” (hlm. 38), dan “Jiwa yang Rusuh” (hlm. 41).

Pandangan zihin penyajak bahawa jiwa senantiasa gelisah, gundah dan musnah kerana asbab kecintaan terhadap dunia ditinta dalam sajak “Mencari Ketenangan Diri”. Ketenangan gagal dicapai melainkan sesudah dirawat dengan penuh yakin. Ramuannya adalah dengan melupuskan kecintaan melampau terhadap duniawi. Renungkan ungkapan dalam rangkap terakhir sajak tersebut: “atau menipiskannya,/pasti darinya muncul ketenangan – /di sana dunia jadi mahkota/yang terbuang” (2024:11).

Sajak “Jiwa yang Rusuh” membimbing diri pada persoalan yang serupa: mendidik jiwa tidak semudah berkata di lidah. Jiwa yang rosak (“yang rusuh”) wajar dihantar ke bengkel mujahadah demi mencari penawar paling mustajab. Rawatan jiwa yang rosak boleh diumpamakan sebagai pendakian di ketinggian yang melampaui Gunung Everest, namun hakikat pendakian tinggi itu hanya diam pada segumpal darah yang bernama hati.

Akhirulkalam, kumpulan puisi Lingkaran Sunyi menarik rapat agar kita mengepal erat manhaj keimanan, bukan sahaja untuk menekuni setiap detik denyutan zihin sang penyajak, tetapi kumpulan ini juga telah membawa pemikiran yang jitu agar khalayak penikmat puisi mencapai dwikejayaan yang diangan-angankan, iaitu falah duniawi dan falah ukhrawi.

Dapat disimpulkan, nilai-nilai pemikiran Hilmi Rindu kumpulan Lingkaran Sunyi ialah:

  1. Memperbaik dan merawat setiap petaka diri yang wujud di atas paksi keimanan dan kesucian tauhid.
  2. Membimbing gagasan zihin demi mengenali diri sendiri dan hubungan dengan Yang Maha Pencipta.
  3. Melatih diri untuk istiqamah dan bermujahadah di taman-taman syurga yang sedang subur merimbun di depan mata, termasuk masjid, surau, pusat kegiatan keagamaan, majlis zikir, dan dakwah.

Nota Akhir

[i] Jiwa: merujuk aspek dalaman seseorang berkaitan kesedaran, emosi, identiti, keyakinan, daya bayang dan pemikiran (akal). Konsep zihin berupa gambaran minda bukan fizikal yang tidak wujud di alam nyata.

[ii] Seperti yang dijelaskan dalam al-Quran pada Surah at-Tin ayat 4–6.

[iii] Konotasi “mengalih duri di jalan” membawa erti mengatasi semua perkara (memudahkan awam) yang menjadi penghalang dan rintangan kepada semua laluan.

[iv] Satu proses domain spiritual (mujahadah seseorang hamba mengenal Allah SWT (zat, sifat dan asma’) secara lebih mendalam melalui hati dan jiwa. Makrifatullah ialah puncak perjalanan spiritual bagi seseorang hamba mencapai keimanan (keyakinan) hakiki kepada Allah melalui amalan zikrullah.

[v] Disebut juga sebagai “mata hati” atau “pandangan batin” yang merujuk keupayaan seseorang melihat hal-hal yang melampaui zahir, memahami hakikat sesuatu perkara, dan membuat pertimbangan tepat berdasarkan intuisi dan kebijaksanaan hati. Pandangan ini terlahir daripada kebersihan jiwa.

[vi] Gerak tindak batiniah manusia: setiap yang dilakukan sama ada baik mahupun buruk. Contohnya berfikir, melawan, penyucian diri, keyakinan, ragu-ragu, cinta, sombong, dan dengki. Kalbu ialah permata segumpal hati yang menjadi pengawal derajat diri seseorang. Di sinilah lahirnya niat (lintasan hati).

[vii] Lihat sajak “Hati yang Lalai” dan “Hati yang Baik” yang membenarkan sudut pandangan ini.

_________________________

Abd. Aziz Purba atau A. Aziz Purba ialah nama pena Abd. Aziz Ibrahim yang tinggal di Kuala Nerus, Terengganu. Beliau mengkaji hal penyucian diri dan rohaniah dalam blog Asahan Jiwa.

Kredit Foto: Firus Fansuri
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi