Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Utara (DBPWU) bersama-sama People of Remarkable Talents (PORT) bagi pihak Kerajaan Negeri Perak akan menganjurkan Hadiah Sastera Darul Ridzuan (HSDR) ke-9 untuk mengiktiraf dan memartabatkan karya serta penggiat sastera negeri Perak.
Menurut Pengurus Besar PORT, YBrs. Puan Nor Hanim Mohamed Khairuddin, penganjuran HSDR merupakan komitmen tahunan kerajaan negeri dalam membangunkan serta memantapkan bakat penulis yang berasal dari Perak atau bermastautin di negeri itu.
“Program ini bertujuan memberikan pengiktirafan kepada penulis sekali gus memperkasa perkembangan sastera di Perak,” katanya ketika ditemu bual dalam slot Cakna Bahasa menerusi Bernama Radio.
HSDR kali ini menampilkan dua kategori, iaitu Kategori Anugerah Utama dan Kategori Karya. Kategori Anugerah Utama dibahagikan kepada beberapa anugerah lagi, iaitu Sasterawan Negeri Perak, Ilmuwan Negeri Perak, Karyawan Sepanjang Hayat Negeri Perak, dan Pejuang Muda Sastera Negeri Perak.
Bagi Kategori Karya, anugerah dibahagikan mengikut kategori A, B dan C. Kategori A ialah Buku atau Kumpulan, Kategori B merujuk kepada karya Eceran, Kategori C pula khusus untuk karya ilmiah.
Dalam sesi bual bicara yang sama, Pengarah DBPWU, YBrs. Encik Sharrul Rizal Hashim menyatakan bahawa Kategori Karya pada kali ini dibahagikan lagi dengan lebih terperinci. Bagi Kategori Buku atau Kumpulan terdiri daripada karya meliputi puisi, cerpen, novel dewasa, novel remaja atau kanak-kanak dan karya esei atau kritikan sastera. Bagi Karya Eceran pula merangkumi puisi, cerpen, esei atau kritikan atau rencana sastera dan skrip drama. Kategori Karya Ilmiah pula terdiri daripada karya citra Perak (buku) dan karya citra Perak (Eceran).
Pencalonan bagi HDSR 2026 telah dibuka bermula 25 Februari 2026 dan akan ditutup pada 13 April 2026. Individu yang berminat untuk mendapatkan maklumat lanjut boleh melayari laman sesawang Dewan Bahasa dan Pustaka Malaysia serta membuat carian dalam laman sesawang www.portipoh.com.