Oleh Suyuthi Yusuf
27 Januari 2023, 11:47

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Baru-baru ini Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) telah menganjurkan Wawancara Hadiah Sastera Darul Ridzuan (HSDR) Ke-7 pada 19 Januari 2023 menerusi Rancangan DBP Sana Sini. Wawancara tersebut menampilkan Puan Nurul Julia Alani Henry  merupakan Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Utara. Turut menjayakannya, Puan Nur Hanim Dato’ Mohamed Khairuddin, merupakan Pengurus Besar PORT dan Puan Nurmalis Musa yang juga merupakan Ketua Pegawai Eksekutif Tourism Perak. Wawancara ini dikendalikan sepenuhnya oleh Encik Rusdi Abd. Rahman.

Tirai wawancara ini dibuka oleh Puan Nur Hanim. Beliau memulakan lembaran bicaranya dengan memberikan penerangan ringkas berkenaan sejarah dan latar belakang Hadiah Sastera Darul Ridzuan. Pihak PORT pada kali ini terlibat secara serius dalam penganjuran HDSR. Dari segi kronologi, HSDR ini pada dahulunya digelar Hadiah Sastera Perak. Melalui kerjasama Kerajaan Negeri dan Karyawan Perak, Persatuan, kemudian dengan PULARA. Berbeza pada tahun ini, Kerajaan Negeri merasakan bahawa agensi-agensi di bawah kerajaan harus mengambil tanggungjawab yang lebih untuk melicinkan perjalanan penganugerahan ini. Justeru bersama-sama dengan Tourism Perak, PORT telah menjadi sekretariat untuk penganjuran anugerah ini dan terlibat secara holistik penilaian serta pengaturan majlis penganugerahan, yang akan berlangsung pada 27 Januari di Ipoh.

Jelas beliau lagi, walaupun majlis tersebut berlangsung secara tertutup yakni hanya melibatkan golongan yang menerima undangan sahaja, namun dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka akan ada siaran langsung terutama bagi mereka yang berminat untuk pengikuti perjalanan majlis tersebut.

“Dari segi kriteria, penyertaan telah dibuka kepada anak-anak Perak yang berwarganegara Malaysia, yang berkarya di negeri Perak atau di luar negara, ataupun warganegara Malaysia yang bermastautin di Perak sekurang-kurangnya 5 tahun. Karya dihasilkan mestilah asli, bukan terjemahan dan bukan saduran. Untuk penilaian, pihak kami telah melantik 9 orang ahli panel penilai yang terdiri daripada tokoh-tokoh dalam bidang sastera dan mempunyai pengalaman besar dalam menilai, yakni pernah membuat penilaian hadiah-hadiah sastera negeri lain”.

Selain daripada hadiah-hadiah eceran, kita ada empat kategori utama;

  1. Hadiah Sasterawan Negeri Perak akan menerima wang tunai sebanyak RM30,000.
  2. Ilmuwan Negeri Perak akan menerima wang tunai sebanyak RM20,000.
  3. Karyawan Sepanjang Hayat akan menerima wang tunai sebanyak RM20,00.
  4. Pejuang Sastera Negeri Perak akan menerima wang tunai sebanyak RM15,000.

Kesemua wang tunai tersebut akan disertakan dengan piala iringan dan watikah daripada Kerajaan Negeri Perak.

Kemudian wawancara ini dilanjutkan lagi oleh Puan Nurul Julia, selaku wakil daripada pihak Dewan Bahasa dan Pustaka. Menurut beliau DBP bukan hanya terlibat untuk penganjuran penganugerahan Hadiah Sastera Negeri Perak. Malah DBP juga terlibat dalam penganjuran penganugerahan Hadiah Sastera di setiap negeri di Malaysia.

“Salah satu perancangan strategik DBP adalah dengan memartabatkan sastera, yakni kaedahnya melalui pengiktirafan. Melalui pengiktirafan ini, kita bersedia menjalin kerjasama dengan pihak PORT Perak dan Kerajaan Negeri Perak. Kerjasama yang dijalinkan bukan sekadar melibatkan majlis, tetapi dalam proses pemilihan panel juga DBP turut terlibat. Malah, pihak DBP juga ada mencalonkan karya terbitan DBP yang ditulis oleh penulis yang berasal dari negeri Perak”.

Setelah itu, diteruskan pula kepada Puan Nurmalis Musa selaku wakil daripada pihak Tourism Perak. “Tourism Perak sememangnya menyokong dan membantu pelbagai aktiviti bagi mempromosikan sektor pelancongan di negeri Perak. Termasuklah dari segi penganjuran acara yang merangkumi seni, budaya, bahasa, pameran pelancongan yang bertaraf domestik dan antarabangsa”.

Tambah beliau, kerjasama yang dijalinkan melalui program-program seperti ini akan merancakkan lagi sektor pelancongan, seperti pelancong domestik ke negeri Perak. Kerjasama dalam menjayakan HSDR tahun ini merupakan kerjasama kali ketiga di antara Tourism Perak dengan Jawatakuasa HSDR sendiri. Tourism Perak juga turut menyumbang peruntukan bagi menjayakan penganjuran HSDR kali ini. Promosi program HSDR ini dilaksanakan melalui platform Digital Tourism Perak, yang dapat diakses oleh orang ramai. Selain itu, promosi turut dilakukan menerusi media arus perdana dalam usaha menguar-uarkan Program HSDR ini.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.